Pendirian Kami
Dengan nama Allah Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Hanya kepada-Nya kami mohon pertolongan dalam perkara dunia dan agama. Salawat dan salam buat Rasul junjungan Penutup kenabian Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan buat keluarga dan para sahabat Baginda. Tidak ada daya dan kuasa melainkan dengan pertolongan Allah Maha Tinggi Maha Agung.
Sukacitalah terlebih dahulu sebelum kami nyatakan pendirian kami, untuk kami nyatakan bahawa alhamdulillah, kami dan juga para akabir mengikut mazhab imam dari silsilah kenabian, mujtahid agung sepanjang zaman, zahid dan wali Allah, imam Muhammad ibn Idris al-Syafiʿi رحمة الله عليه, dalam perkara berkaitan fiqh.
Kami mengikut mazhab para imam yang benar, Abu al-Hasan al-Ashʿari dan Abu Mansur al-Maturidi رحمة الله عليه, dalam perkara aqidah. Silsilah kami dalam tasawwuf berkesinambungan dengan kaedah suci tariqah Chistiyyah, kaedah terbilang tariqah Naqshabandiyyah, kaedah murni tariqah Qadiriyyah, dan kaedah yang diridhai tariqah Suharawardiyyah.
Seterusnya, kami tidak berbicara dalam perkara yang berkaitan dengan agama melainkan kami mempunyai bukti dari al-Qur’an, al-Sunnah, ijma para ulama atau pandangan daripada salah seorang imam mujtahid.
Di sebalik kenyataan ini, tidak kami isytiharkan bahawa kami maksum dari melakukan sebarang kesalahan, sama ada kesilapan daripada coretan pena atau tutur-kata. Oleh itu, jika nyata kami melakukan kesalahan dalam kenyataan kami, tidak kira sama ada ia mengenai usul atau furu, malu tidak menghalang kami daripada menarik-balik pendapat kami dan mengistiharkan kesilapan tersebut.
Mengapa tidak, jika para imam yang kami ikuti menarik-balik banyak pandangan mereka sehinggakan imam masjid il-haram, imam kami, Imam al-Syafi’i رحمة الله عليه, menarik-balik pandangan beliau dalam banyak perkara. Para Sahabah رضي الله عنهم juga menarik-balik pendapat-pendapat mereka dalam banyak perkara dan mengikut pandangan Sahabah yang lain, ini adalah jelas bagi mereka yang mengkaji hadis.
Oleh itu, jika para ulama berpendapat bahawa kami telah melakukan kesilapan dalam sesuatu perkara, jika kesilapan itu mengenai perkara ‘aqidah, adalah perlu bagi mereka menyatakan pandangan mereka dan bukti daripada ulama ‘aqidah. Jika kesilapan tersebut adalah berkenaan masalah fiqh, maka adalah perlu untuk mengemukakan hujjah daripada pandangan fuqaha. Jika sedemikian, dengan kehendak Allah, maka kami akan menerimanya dengan hati yang terbuka dan lapang dada, dan kesyukuran dari ruh dan jiwa kami.