إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
(آل عمران : 19)

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
(الحشر : 7)

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
(الأحزاب : 21)

عن أبي محمد عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لِما جئت به
(حديث حسن صحيح في كتاب الحجة بإسناد صحيح، وفي الجامع الصغير)

Allah Taala meletakkan sempadan dalam kehidupan dunia. Dan sempadan itu adalah agama. Begitu juga usaha di madrasah mempunyai maksud dan tujuan yang sama lebih-lebih lagi kepada orang yang mengendalikan madrasah itu sendiri. Usaha kita ialah membawa keseluruhan anggota badan hidup dalam batas-batas (agama). Begitulah maksud dari belajar agama iaitu mendapatkan keredhaan Allah Taala.

Dasar madrasah adalah berqiblahkan para ulama khususnya ulama Deoband. Bukan bermaksud ulama lain tidak diterima tetapi pada kehidupan mereka wujud muawafaqah ilmu dan amal serta lebih aqrab kepada sunnah.

Apabila kita memasang niat untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala, setiap rintangan, ujian dan halangan tidak menjadi sebab untuk kita berpaling ke belakang dan berputus asa.

Dasar di dalam madrasah ada tiga :

  1. Ilmiyyah – dengan tujuan melahirkan seorang yang mudaqqiq (sangat mendalami) dan alim yang sangat berhati-hati dalam ilmu.
  2. Tarbiyyah dan tazkiah seperti yang dinukilkan daripada Muhaddith Maulana Zakariyya r.a :

    عالم بانا نافل هى
    انسان بانا فرض هى

  3. Da’wah – dengan tujuan melahirkan seorang yang mukhlis di dalam ta’lim dan dakwah. Kerana itu pelajar perlu dididik atas fiqrah da’wah.

Perkara-perkara di atas akan dimuzakarahkan satu-persatu.

Al-Quran Kalam Allah

Ya Allah, jadikan aku cinta al-Quran,
Ya Allah beri taufiq kepadaku untuk
baca al-Quran
hafal al-Quran,
faham al-Quran,
amal al-Quran,
sebar al-Quran,
khidmat al-Quran,
hidup dengan al-Quran,
mati dengan al-Quran.

Berdoalah tujuh kali setiap pagi dan petang, insya Allah kita akan lihat keajaiban dalam kehidupan kita bersama al-Quran.

ILMIYYAH

Syubah di dalam ta’lim (ilmiyyah) terbahagi kepada tiga:

  1. Nazirah (termasuk di dalamnya pengajian Iqra).
  2. Tahfiz.
  3. Syahadah.

Usaha kita adalah membawa pelajar kepada tahap hafalan sehingga menjadi hafiz yang tidak hafiz(1).

Sepertimana yang disebut tadi, nazirah terpecah kepada dua iaitu iqra dan nazirah.

Apakah maksud iqra?

Maksud iqra ialah supaya pelajar kenal. Contohnya jika pelajar sudah mengenal huruf, maka dia tidak perlu baca iqra jilid 1. Dan iqra tidak perlu khatam (bukan bermaksud jika ingin baca sampai habis, ia dicela). Maksudnya ialah ia bukan seperti al-Quran yang perlu dibaca setiap muka surat.

Apakah maksud nazirah?

Maksud nazirah ialah melahirkan bacaan yang mantap .Pengertian nazirah pula ialah membaca dengan melihat. Kerana itu, jika pelajar dalam pengajian nazirah membaca sambil melihat tempat lain, ia bercanggah dengan konsep pengajian. Setiap yang dipelajari daripada iqra dibawa dalam nazirah.

Jadi bagaimana kalau pelajar nazirah tersebut sudah boleh membaca dengan lancar dan baik? Adakah dia boleh melangkah terus ke pengajian tahfiz?

Tidak boleh sama sekali kerana mengkhatamkan al-Quran itu sendiri merupakan satu ibadah.

Apakah maksud tahfiz?

Maksud tahfiz ialah mengingati setiap lafaz al-Quran dan membacanya pada tahap yakin seperti contoh apabila seseorang ditanya tentang namanya sendiri. Maka pasti dia yakin menjawabnya walaupun orang lain mempertikaikan jawapan tersebut.

Adakah kelancaran dan kemantapan itu diukur melalui tiada kesilapan dalam bacaan?

Tidak, bahkan kelancaran itu diukur dengan keyakinan pelajar tersebut membaca hafalannya walaupun ketika situasi dia tersilap dalam bacaanya.

Contohnya : Ketika pelajar tersebut membaca hafalannya lalu berlaku kesilapan, dia mampu untuk membetulkannya sendiri tanpa ditegur oleh ustaz. Dan perlu difahami, tahap ini adalah sekurang-kurang tahap kelancaran yang perlu dicapai.

Apakah maksud syahadah?

Maksud syahadah ialah mencapai tahap kelancaran yang sama bagi setiap juz yakni menyama-ratakan kelancaran setiap juz.

TARBIYAH DAN TAZKIAH

Maksud dari usaha tarbiyah dan tazkiah ialah membentuk pelajar sehingga setiap amalan mereka bertepatan dengan akhlak dan tingkah laku Nabi salla Allah alaihi wa sallam dan para sahabat radi Allah anhum.

Nabi salla Allah alaihi wa sallam bersabda di dalam potongan sebuah hadith riwayat Sayyidina Jabir radi Allah anhu :

خير الناس أنفعهم للناس (رواه الطبراني في الأوسط)

Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah yang paling memberi manfaat kepada yang lain.

Kerana itu, asatizah perlu faham bahawa dasar tarbiyah adalah lebih luas berbanding ta’lim kerana waktu pengajian terhad pada masa tertentu sedangkan tarbiyah merangkumi seluruh kehidupan pelajar.

DAKWAH

Maksud dari usaha da’wah ialah supaya amalan agama dapat dihidupkan di madrasah iaitu di dalam diri setiap asatizah dan pelajar serta membentuk mereka menjadi da’ie agama.

NASIHAT BERMANFAAT

  • Dalam menguruskan madrasah, jangan meletakkan akal di hadapan, bahkan perlu disandarkan pada al-Quran dan sunnah. Perkara ini hanya dapat dicapai apabila kita meletakkan para ulama sebagai perantaraan dalam setiap pengurusan kerana merekalah ahli yang memahami kehendak al-Quran dan sunnah. (Jika di madrasah ini, rujuklah ulama aliran Deoband).
  • Tugas seorang mufti bukanlah hanya memberi fatwa, bahkan melahirkan mustafti (orang yang meminta fatwa).
  • Asatizah di madrasah perlu diuruskan dengan baik dan penuh hikmah. Contohnya, jika sesuatu perkara itu tidak boleh maka tidak semestinya menggunakan perkataan ‘tidak boleh’.
  • Allah subhanahu wa taala berfirman :

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ  ]النحل : 125[

  • Usul bagi orang yang mengurus : Sabar dan tahammul.
    Usul bagi orang yang diurus : Taat.
  • Jika dilihat dari sudut kemampuan, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang mampu. Tetapi perlu diingat, tidak ada insan yang lebih dibebani berbanding Nabi  dan tidak ada insan yang lebih tenang berbanding baginda .
  • Menjaga masa asatizah juga adalah sebahagian tanggungjawab pengurusan.