Home/Pengajian Takhassus Tafsir/Keadaan Pada Hari Kiamat

Keadaan Pada Hari Kiamat

وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا
(Surah al-Kahfi, ayat 47)

Seperti Debu-Debu yang Berselerakan

( ويوم نسير الجبال )

Maknanya : Dan sebutkanlah wahai rasul mengenai kisah suatu hari yang kami mencabutkan gunung-ganang dari tempat-tempatnya dan kami menerbangkannya di udara seperti awan dan kami menjadikannya seperti debu-debu yang berselerakan.

Huru Hara Hari Kiamat

( وترى الأرض بارزة )

Maknanya : Dan kamu akan melihat “wahai orang yang melihat” keseluruhan pelusuk muka bumi seperti padang pasir yang terang kerana tidak akan kekal di atas muka bumi sesuatu perkara pun sama ada bangunan-bangunan atau gunung-ganang atau pokok-pokok maka tidak ada sesuatu yang menutupi muka bumi. Oleh kerana itu, keseluruhan makhluk itu jelas bagi tuhan mereka yang mana tidak tersembunyi ketakutan bagi urusan-urusan mereka.

Seluruh Manusia Dihimpunkan

( وحشرناهم فلم نغادر منهم أحدا )

Maknanya : Dan kami menghimpunkan orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian untuk penghisaban selepas kami membangkitkan mereka dari kubur- kubur mereka. Maka kami tidak akan meninggalkan seorang pun dari kalangan mereka sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Celaan Kepada Orang Kafir

وَعُرِضُوا عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ
(Surah al-Kahfi, ayat 48)

Maknanya : Akan dibawa seluruh makhluk di hadapan ALLAH dalam satu barisan. Dikatakan kepada mereka dalam keadaan mencela dan mengkritik :

Sesungguhnya pasti kamu semua akan datang kepada kami dalam keadaan hidup sepertimana keadaan kamu ketika kami menciptakan kamu pada permulaan hidup iaitu dalam keadaan:

  • berseorangan,
  • tidak berpakaian,
  • tidak beralas kaki,
  • tidak mempunyai harta,
  • tidak mempunyai anak.

Pada ayat ini, telah diherdik kepada orang-orang musyrikin yang ingkar terhadap hari kebangkitan lagi yang berbangga terhadap orang-orang yang faqir lagi beriman berkenaan harta dan pembantu di dunia.

Keadaan Buku Catatan Amal

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
(Surah al-Kahfi, ayat 49)

Maknanya : Maka telah diletakkan kitab ( iaitu buku catatan amal dan ketika itu bertaburan buku-buku catatan amal kepada pemilik-pemiliknya seumpama salji ). Maka kamu akan melihat orang-orang yang berdosa (iaitu orang-orang musyrik dan munafiq ) dalam keadaan ketakutan kerana perkara (iaitu amal-amal buruk) yang terdapat dalam kitab tersebut (iaitu mereka takut akan diseksa oleh ALLAH kerana dosa-dosa mereka dan juga takut akan dimalukan oleh ALLAH kerana akan dibentangkan seluruh keburukan-keburukannya di hadapan khalayak ramai).

Maknanya : Dan diletakkan kitab ( suhuf-suhuf amal ) sama ada secara :-

  • حسي (yang boleh nampak)

iaitu diletakkan suhuf setiap orang di tangannya iaitu yang baik di tangan kanannya dan yang jahat di tangan kirinya ataupun diletakkan di neraca timbangan.

  • عقلي ( secara fikiran )

iaitu dengan menzahirkan amal setiap orang samaada yang baik atau yang buruk dengan penghisaban yang akan berlaku pada hari tersebut.

Pada hari yang menakutkan ini, diletakkan kitab (suhuf) setiap orang di tangan kanannya sekiranya dia adalah orang yang beriman dan di tangan kiri sekiranya dia adalah orang yang kafir.

Keadaan Para Pendosa Pada Hari Kiamat

( و يقولون ياويلتنا مال هذا الكتاب لا يغادر صغيرة و لا كبيرة إلا أحصاها )

Maknanya : Dan mereka berkata ( berkata oleh para pendosa dalam keadaan terkejut ketika mana mereka mengetahui keburukan-keburukan yang terdapat dalam buku catatan amal mereka). Aduhai celakanya kami ( marilah ! Inilah masa penentuan kamu, mereka memanggil diri-diri mereka sendiri dengan celaka kerana kejatuhan mereka ke dalam kecelakaan). Mengapa keadaan buku catatan amal ini demikian keadaannya ? Ia tidak meninggalkan perkara yang kecil (daripada dosa-dosa) dan tidak perkara yang besar (daripada dosa yang dilakukan oleh pendosa. Didahulukan dosa yang kecil kerana ia perlu diambil berat. Dan sekiranya ingin dihitung dosa-dosa maka dosa besar yang sepatutnya didahulukan). Melainkan Ia mengiranya.

( و وجدوا ما عملوا )

Maknanya : Mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan ( iaitu maksiat-maksiat yang akan dibalas dengan seksaan di dunia )

(حاضرا)

Maknanya : itu hadir (ditulis dan tetap didalam buku catatan amal mereka).

(ولا يظلم ربك أحدا )

Maknanya : Dan tuhanmu tidak menzalimi akan sesiapapun ( daripada makhluknya iaitu ALLAH tidak akan mengurangkan ganjaran hambanya yang sepatutnya dia perolehi dan tidak akan melebihkan keburukan seseorang. Maka perkara itu akan menjelaskan keadilan qalam azali. Bahkan ALLAH itu maha pengampun lagi penyayang. ALLAH juga boleh mengazab sesiapa yang dia kehendaki dengan hikmahnya dan keadilannya.

Sumber : (تفسير حدائق الروح و الريحان في روابي علوم القرآن للشيخ محمد الأمين بن عبد الله)

Oleh: Ustaz Nizamuddin Abu Bakar Abu Khadeejah
Pengajian Takhassus Tafsir Al-Quran

Kembali ke Senarai Artikel Pengajian Takhassus Tafsir

By |2021-12-16T09:32:16+00:00December 13th, 2021|Pengajian Takhassus Tafsir|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top