Apabila masuknya waktu Maghrib 1 Zulhijjah maka Makruh memotong rambut dan kuku bagi mereka yang hendak melakukan ibadah korban, sehinggalah dia melakukan ibadah korban itu.
Contoh : Jika diumumkan oleh pihak penguasa bahawa 1 Zulhijjah 1443H jatuh pada hari Jumaat, 1 Julai 2022 maka hukum Makruh memotong rambut dan kuku ini bermula apabila masuknya waktu Maghrib pada hari Khamis, 30 Jun 2022. Maka bolehlah memotong rambut dan kuku sebelum masuknya waktu Maghrib hari Khamis tersebut.
Hukum Makruh ini akan terangkat apabila dia telah melakukan ibadah korban itu. Iaitu apabila haiwan korbannya itu telah disembelih.
Sekiranya seseorang itu melakukan ibadah korban dengan cara wakalah (diwakilkan kepada orang lain) maka dia perlu tahu bilakah haiwan korbannya itu disembelih.
Ini adalah kerana waktu untuk menjalankan ibadah korban adalah selama 4 hari iaitu:
- Hari Raya Aidil Adha (10 Zulhijjah) – Hari pertama boleh melakukan ibadah korban.
- Tiga Hari Tasyrik (11,12,13 Zulhijjah) – Hari ke-2 sehingga hari ke-4 boleh melakukan ibadah korban.
Jika haiwan korbannya disembelih pada hari ke-4 (13 Zulhijjah) misalnya maka hukum Makruh ini hanya akan terangkat selepas haiwan itu disembelih pada hari tersebut.
Demikian juga jika seseorang itu melakukan ibadah korban di luar negara. Dia perlu mengetahui hari dan waktu yang betul kerana ada kemungkinan wujudnya perbezaan penetapan tarikh 1 Zulhijjah di negara tersebut.
والله أعلم