Gejala kejumudan dengan kaedah-kaedah mustolah hadis lalu menghukum mengikut “buku” adalah sesuatu penyakit akademik yang melanda para pelajar mustolah yang ilmunya adalah hanya “hafalan kaku” dan “pembacaan sendiri”.
Dengan hanya berpandukan kitab rijal yang ringan dibawa atau capaian internet di hujung jari dengan membuat rondaan di laman sesawang atau Maktabah Syamilah maka dia berdiri di atas pentas ‘mentashih’, ‘mendhoifkan’ dan ‘memawdu’kan’ hadis.
Namun sebagai catatan, ‘mendhoifkan’ dan ‘memaudu’kan’ adalah makanan ringan kegemarannnya.
Ilmu Jarh dan Ta’dil adalah suatu sina’ah (bidang dan kemahiran) yang berpaksikan pengalaman dan kajian berterusan bersama muzakarah dan perbincangan dengan pakar sebenar yang menghasilkan ‘zauq fanni’. Ia bukan hanya hafalan kaku dan telaah ringan.
Sheikh Waliyullah ad-Dehlawi رحمة الله عليه ada mengingatkan tentang kejumudan para ahli hadis ini di dalam kitabnya “al-Insof fi bayan asbab al-ikhtilaf” beliau berkata,
“Tidak sepatutnya ahlu hadis menghalusi secara berlebih-lebihan kaedah-kaedah (mustolah hadis) yang digubal oleh ulama hadis yang tiada sebarang nas syarak padanya. Lalu dengan kaedah tersebut mereka menolak hadis sahih atau qias sahih. Contohnya kerana ada sedikit unsur ‘irsal’ dan ‘inqito’ (keguguran perawi) ditolak sesebuah hadis. Seperti perbuatan Ibnu Hazam رحمة الله عليه menolak hadis pengharaman alatan muzik dengan alasan ada terputus sanad dalam riwayat Bukhari sedangkan ia adalah hadis yang sahih dan muttasil. Kaedah ini hanya terpakai apabila berlaku percanggahan sahaja”.
Setengah mereka lupa bahawa penerimaan sesebuah hadis bukan hanya berputar di atas paksi sanad semata-mata tetapi di sana ada unsur ‘qarain’ (petunjuk-petunjuk luar) yang menambat hati ulama mujtahid dalam menerima sesebuah hadis.
Tasalsul amal (sesuatu amal yang telah diamalkan dan diakui oleh ulama sepanjang zaman tanpa ada ingkar) adalah petunjuk hidup atas sabitnya sesuatu masalah. Kejumudan atas kaedah mustolah menyebabkan sebahagian pelajar mustolah menolak sesebuah hadis walaupun ‘saksi amal sepanjang zaman’ terbentang di hadapan mata.
Ibnu Qayyim رحمة الله عليه dalam kitab ar-Ruh berhujah dengan hadis talkin, walaupun sanadnya zahir dhoif dengan hujah bahawa talkin adalah amalan yang telah dilakukan oleh ulama turun temurun. Ia adalah yang disebut “talaqqi annas bil qabul”.
Maulana Anwar Syah al-Kasymiri رحمة الله عليه mengungkapkan perkara ini dengan katanya,
الواقع عندي اولى من المشي على القواعد
“Bagi saya mengambil kira realiti pengamalan lebih baik dari hanya meniti di atas kaedah-kaedah”
Anak murid beliau mentafsirkan perkataan gurunya,
“Maksud Maulana Anwar رحمة الله عليه ialah apabila sesebuah hadis itu sah melalui qarinah dan nampak ulama mengamalkannya maka perbuatan menolak hadis itu dengan alasan seorang rawi dhoif adalah sesuatu yang tidak betul”
Ilmu mustolah hadis digubal supaya anasir luar yang bukan dari agama tidak menyusup ke dalam agama. Bukannya supaya perkara yang berada dalam agama dikeluarkan daripada agama. Berpijak kepada kefahaman inilah kewarasan dalam menggunakan kaedah mustolah hadis dapat dipraktikkan.
Para ulama salaf menggunakan benteng sanad untuk menjaga agama daripada anasir luar. Adapun perkara-perkara yang mempunyai saksi dan dalil melalui qawaid umum dalam agama atau kandungannya bukanlah sesuatu yang diingkari dalam syariat Islam. Maka sanad tidak boleh dijadikan perantaraan untuk menolaknya.
Diulang sekali lagi sanad tidak boleh dijadikan perantaraan dan senjata untuk menolak fakta yang diriwayatkan. Inilah dasar sebenar satu syarat yang telah disepakati dalam bab syarat-syarat beramal dengan hadis dhoif tanpa kurang atau lebih iaitu
ان يكون مندرجا تحت اصل معمول به في الشريعة
“terkandung di bawah perkara yang mempunyai asal yang diamalkan dalam syariat”.
Inilah juga sebab para ulama besar dari kalangan mutaqaddimin dan mutaakhirin menghukum sahih sesebuah hadis apabila ia telah sampai tahap “talaqqi annas bil qabul”. Mereka yang jumud dengan kaedah, sibuk berperang dengan Imam Syafie رحمة الله عليه kerana beliau mengambil hadis dari perawi doif.
Kalaulah orang ini memberi ruang kepada akalnya untuk berfikir dan bukan menjadi seperti robot yang diprogramkan, sudah tentu dia memahami perbezaan antara orang yang berjumpa sendiri dengan perawi itu dan orang yang mengenal perawi berdasarkan catatan dalam buku. (Imam Syafie رحمة الله عليه berjumpa sendiri dengan perawi hadis).
Kata Muhaddis Ahmad bin Siddiq al-Ghumari رحمة الله عليه,
“Ibnu Hajar رحمة الله عليه dan Hafiz Iraqi رحمة الله عليه gurunya, mereka berdua tasahul dalam memberi hukum kepada hadis. Mereka hampir-hampir tidak akan menyebut secara sarih sesuatu hadis itu mauduk melainkan apabila jelas maudu’nya hadis itu seperti jelasnya matahari pada waktu terik siang.”
Imam Ahmad bin Hanbal رحمة الله عليه berkata,
“Apabila kami meriwayatkan dalam perkara halal dan haram kami akan bersifat keras dan apabila kami meriwayatkan hadis dalam perkara fadhilat-fadhilat kami berlebih kurang bermudah-mudah).”
“Ulama hadis telah membuka bab ‘syawahid’ untuk mensabitkan hadis dan memperkuatkannya walaupun syahid dan masyhud kedua-duanya dhoif. Aku membicarakan bab ‘syawahid secara khusus’ kerana ia berkaitan dengan makna matan dan aku ingin menegaskan para ulama begitu mengambil berat soal matan hadis dan maknanya. Maka apabila datang suatu fakta di dalam hadis doif dan ia disaksikan oleh hadis doif yang lain maka kamu akan melihat para ulama mensabitkan hadis tersebut dan bersandar kepadanya. Ini adalah perkara yang tidak diingkari jika dilihat daripada realiti amalan masyarakat dalam sektor-sektor kehidupan mereka dan manusia yang berakal yang tidak ada penyakit di dalam hatinya menerima kesimpulan ini yang terkadang tidak menyenangkan mereka yang terbendung dirinya kepada tulisan-tulisan sanad. Aku mengharapkan mereka mengambil masa (berfikir) walau untuk seketika.” (Dirasat al-Kasyif Muhammad Awwamah رحمة الله عليه.)
Imam Daraqutni رحمة الله عليه mengkritik Imam Bukhari رحمة الله عليه dalam perbuatan Imam Bukhari رحمة الله عليه menghukumi sebahagian riwayat sebagai sahih sedangkan bagi Imam Daraqutni رحمة الله عليه riwayat tersebut adalah doif.
Punca kritikan itu ialah Imam Daraqutni رحمة الله عليه meniti di atas kaedah-kaedah yang telah digubal di sisi ulama lalu beliau menentang Imam Bukhari رحمة الله عليه dengan kaedah tersebut sedangkan martabat Imam Bukhari رحمة الله عليه lebih tinggi dari itu.
Beliau (Imam Bukhari رحمة الله عليه) berjalan mengikut ijtihadnya dan memerhatikan pengkhususan tertentu dan menggunakan saksi gerak hati.
Hanyasanya perbuatan terikat dengan kaedah adalah untuk mereka yang tidak mahir” (Faidh al-Bari Maulana Anwar Shah al-Kasymiri رحمة الله عليه.)