Keutamaan 10 hari terawal bulan Zulhijjah.
Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
“Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini, baginda memaksudkan 10 hari terawal Zulhijjah.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”
Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Antara amalan-amalan ibadat yang boleh dilakukan adalah seperti:
- Berpuasa.
- Qiyamullail.
- Perbanyakkan zikir dan al-Quran.
- dan lain-lain amalan kebaikan.
Puasa di bulan Zulhijjah.
Sunat untuk berpuasa pada:
- 1-7 Zulhijjah.
- 8 Zulhijjah (Puasa Tarwiyah).
- 9 Zulhijjah (Puasa Arafah).
Haram untuk berpuasa pada:
- 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidil Adha).
- 11-13 Zulhijjah (Hari Tasyrik).
Ibadah Korban.
Hukum melakukan ibadah korban adalah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi “orang yang mampu”. Makruh jika “orang yang mampu” itu tidak melakukan ibadah korban. Namun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran tidaklah ia berdosa.
Ibadah korban juga dikategorikan sebagai Sunat Kifayah bagi sesebuah keluarga. Kerana apabila ada salah seorang daripada ahli keluarga yang telah melaksanakannya, maka sudah memadai untuk keluarga tersebut.
Waktu melakukan ibadah korban bermula pada tarikh 10 Zulhijjah iaitu selepas berlalunya masa 2 rakaat solat sunat Hari Raya Aidil Adha dan bacaan khutbah. Sehinggalah 13 Zulhijjah iaitu sebelum tenggelam matahari (sebelum masuk waktu Maghrib).
Ibadah korban boleh dilakukan siang dan malam dalam tempoh tersebut. Namun adalah Makruh dilakukan pada waktu malam.
Contohnya penetapan tempoh waktu ibadah korban:
- MULA : 10 Zulhijjah 1443H (Ahad, 10 Julai 2022) selepas berlalunya masa 2 rakaat solat sunat Hari Raya Aidil Adha dan bacaan khutbah.
- TAMAT : 13 Zulhijjah 1443H (Rabu, 13 Julai 2022) apabila masuk waktu Maghrib.
Takbir Mursal Aidil Adha.
Bermula apabila tenggelam matahari malam 10 Zulhijjah sehinggalah takbiratul ihram solat sunat Hari Raya Aidil Adha.
Contohnya: Bermula selepas masuk waktu maghrib hari Sabtu, 9 Julai 2022. Kerana siang 9 Julai 2022 adalah 9 Zulhijjah 1443H dan malam 9 Julai 2022 selepas Maghrib telah masuk tarikh Islam 10 Zulhijjah 1443H. Tarikh di dalam bulan Islam bermula selepas masuk waktu Maghrib.
Takbir Muqayyad Aidil Adha.
Iaitu takbir yang mengiringi solat fardu.
Bagi yang tidak menunaikan Haji: Ia bermula selepas solat fardu Subuh pada 9 Zulhijjah sehinggalah selepas solat fardu Asar 13 Zulhijjah.
Bagi yang menunaikan Haji: Ia bermula selepas solat fardu Zohor pada 10 Zulhijjah sehinggalah masuk waktu Subuh 13 Zulhijjah. Namun jika sudah selesai tahallul yang ke-2, mereka boleh bertakbir sehingga selepas solat fardu Asar 13 Zulhijjah.
والله أعلم