Skip to content
Fekah Durian
- Durian adalah buah yang ejaannya tidak seperti sebutan (duriyan). Begitu juga rupanya, tidak menggambarkan rasanya.
- Makruh buang air besar atau kecil di bawah pokok durian kecuali sekiranya disusuli dengan dibersihkan najis dan dijirus dengan air atau buang air kecil di bawahnya berlaku ketika hujan turun.
- Harus menggunakan tahi sebagai baja pokok durian seperti tahi ayam reput. Akad yang boleh digunakan untuk mendapatkan baja dari najis ialah رفع اليد iaitu dikatakan kepada empunya baja najis “lepaskan hak kamu dari baja ini dengan RM …. “
- Buah durian yang ada tidak termasuk dalam pembelian pokok durian kecuali dinyatakan dalam akad bahawa membeli pokok dan buahnya.
- Pokok termasuk dalam akad membeli kebun atau tanah namun buah tetap tidak termasuk kecuali dinyatakan dalam akad.
- Sah menjual pokok sahaja tidak termasuk tanah dan tapak pokok.
- Tanah dan tapak pokok bukanlah milik pembeli pokok sahaja namun pembeli pokok dikira meminjam dari pemilik tapak dan tanah selama mana pokok masih hidup.
- Tidak sah akad menyewa pokok durian misalnya selama 5 tahun supaya penyewa boleh memilki dan menikmati buahnya dalam tempoh tersebut.
- Tidak sah memajak pokok atau membeli buah yang masih berbunga atau putik dengan bayaran dibuat ketika akad.
- Boleh dilakukan muwaa’dah (saling berjanji) menjual dan membeli apabila buah sudah gugur.
- Penyewa rumah tidak memilki buah dari pohon yang berada di sekitar rumah sewa.
- Penyewa boleh menanam pokok di atas tanah yang disewa selama tempoh sewaan dengan syarat penanaman tersebut tidak merosakkan tanah.
- Sah dan boleh meminjam tanah orang untuk menanam pokok durian di atasnya.
- Perbuatan menanam pokok durian di atas tanah orang lain secara sengaja termasuk ghosob (غصب) dan berdosa namun buah adalah kepunyaan pemilik pokok. Pemilik pokok wajib membayar sewa kepada pemilik tanah berdasarkan harga sewa standard.
- Durian termasuk buah yang tidak sah pembeliannya secara akad salam dan secara barter.
- Pokok durian bukit tanpa tuan boleh diambil buahnya dan dijual. Ia termasuk dalam bab ibahaat.
- Pokok durian yang ditanam di atas tanah wakaf sama ada masjid atau kubur hukum buahnya berdasarkan niat penanamnya adakah diniatkan hasilnya untuk maslahat masjid atau diberi kepada orang ramai.
- Jika tidak diketahui maka hukumnya mengikut uruf kebiasaan setempat.
- Jika seseorang lalu di bawah pokok durian lalu ditimpa dengan buahnya yang mengakibatkan kecederaan, pihak terlibat tidak boleh menuntut ganti rugi dari pemilik pokok.
- Jika seseorang meletakkan kulit durian di atas laluan umum dan mengakibatkan kecederaan kepada seseorang maka pihak terlibat boleh menuntut ganti rugi dari pihak yang meletakkannya.
- Asalnya tidak boleh membaca Bismillah untuk buat perkara yang makruh namun boleh membaca Bismillah ketika hendak makan buah durian kerana ia bukan makruh lizatihi.
- Makruh membawa masuk durian ke dalam masjid. Pihak hotel, homestay, kereta sewa mempunyai hak untuk tidak membenarkan penyewa membawa durian dalam premis dan kenderaan mereka.
- Jika mulut seseorang berbau kerana makan durian hendaklah dia membersihkannya sebelum masuk ke dalam masjid.
- Jika seseorang menelan biji durian kemudian buang air besar mengeluarkan biji tersebut. Hukum biji itu najis ain sekiranya ia sudah tidak boleh lagi bertunas, tetapi jika ia masih boleh bertunas maka hukumnya mutanajjis.
- Jika mahu membeli durian secara longgok pembeli hendaklah melihat sekali imbas setiap biji dalam longgokan kecuali dia bertaklid sah jual sesuatu yang tidak dilihat.
- Durian boleh dijual secara biji atau timbangan.
- Selagi durian tidak mangkar atau berulat, rasa yang tidak kena dengan lidah pembeli bukanlah dikira aib yang pembeli mempunyai hak untuk memulangkan خيار عيب.
- Sah menjual putik durian dengan dua syarat pertama dinyatakan dalam akad bahawa ia akan dipotong selepas akad yang kedua ia boleh dimanfaatkan.
- Buah durian yang ditemui hanyut dibawa sungai dan tidak diketahui tuannya boleh dimakan dengan niat akan menggantikannya jika ditemui tuannya.
- Akad yang lebih tepat bagi bayar RM50 dan makan sepuasnya ialah makan dahulu kemudian baru bayar.
- Pertandingan teka duri durian dihukum judi jika ada bayaran untuk bertanding.
- Disunatkan belanja durian kepada mereka yang mengajar kita fekah durian…
Kongsi di dalam media sosial anda
Page load link