عن علي بن أبي طالب قال: قال رسول الله صلّى الله عليه وعلى آله وسلّم “من قرأ القرآن واستظهره فأحلّ حلاله وحرّم حرامه، أدخله الله به الجنّة، وشفّعه في عشرة من أهل بيته كلّهم وجبت له النّار”
Maksudnya: Sayyidina Ali berkata bahawa Rasulullah ( bersabda, “Sesiapa membaca al-Quran lalu menghafalkannya dan menghalalkan apa-apa yang halal dalamnya dan mengharamkan apa-apa yang haram dalamnya akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah سبحانه وتعالى dan Allah سبحانه وتعالى akan menerima syafaatnya yang diberi kepada sepuluh orang daripada ahli rumahnya yang kesemua mereka telah wajib memasuki neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Imam Ahmad.)
Berbekalkan semangat ini seorang dermawan yang bernama Allahyarham Haji Muda bin Haji Deraman telah memulakan langkah dengan membina sebuah madrasah tahfiz Al-Quran pada akhir tahun 1982.
Dengan semangat untuk menjadikan anaknya hafiz Al-Quran, beliau bercadang untuk menghantar anaknya belajar di India, memandangkan sekitar tahun 80an masih tiada lagi institusi madrasah yang khusus untuk pengajian tahfiz Al-Quran di Malaysia.
Namun demikian, ulama di sana pula menasihati beliau supaya menghidupkan pengajian tahfiz itu di Malaysia kerana beliau adalah seorang yang berkemampuan. Ini juga akan membuka peluang kepada anak-anak Islam dari seluruh Malaysia khasnya dan Asia Tenggara amnya untuk belajar bersama-sama anaknya.
Beliau telah menyambut baik nasihat itu dan telah memulakan pembinaannya selama enam bulan sehinggalah ianya dibuka secara rasmi pada bulan November 1982. Madrasah ini kemudiannya didaftarkan sebagai “Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di Pejabat Agama Negeri Terengganu pada tahun 1983.
Maksud Penubuhan
Allahyarham Haji Muda, pengasas madrasah ini berkata, “Sekolah ini ditubuhkan semata-mata sebagai sekolah untuk membina kehidupan akhirat. Tiada pelajaran sekular dan tiada fahaman politik dibenarkan di sini. Pengajian di sini adalah pengajian ilmu agama sepenuhnya”.
Maksud pengajian di sini adalah untuk melahirkan para da’ie yang Hafiz Al-Quran, Alimus Sunnah dan bertaqwa di sisi Allah.
Para Pelajar
Pada peringkat awal penubuhannya hingga ke hari ini, jumlah pelajar dihadkan kepada 420 orang sahaja dalam satu masa. Ini disebabkan kesemua pelajar tinggal di asrama dan bangunan untuk asrama penempatan pula adalah sangat terhad.
Pelajar-pelajar bukan sahaja datang dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahkan dari negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan sebagainya. Jumlah pelajar luar negara pula dihadkan kepada beberapa kategori yang tidak melebihi 80 orang dalam satu-satu masa.
Para pelajar akan belajar sepenuh masa dengan jadual harian yang ketat. Selain dari waktu kelas, dua orang warden akan bertugas menjaga mereka semasa di asrama. Warden akan memastikan supaya mereka sentiasa mematuhi peraturan madrasah dan menjaga waktu untuk sebarang program yang telah ditetapkan.
Pelajaran yang paling dititikberatkan di sini ialah pendidikan secara Islah Wa Tarbiah. Untuk maksud itu, solat lima waktu berjemaah adalah diwajibkan di masjid manakala amalan-amalan sunat seperti solat Tahajjud, solat Duha, puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis, dan sebagainya adalah amat digalakkan sama ada secara teori mahupun amali.
Pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dan anak-anak yatim adalah intipati kepada madrasah ini. Pelajar yang benar-benar miskin akan dikecualikan dari sebarang bayaran sehingga tamat pengajian. Jumlah pelajar miskin ini adalah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelajar.
Jumlah pelajar anak yatim pula tidak kurang dari empat puluh orang dalam setiap masa. Kehadiran pelajar seperti ini banyak membantu madrasah dari segi keberkatan dan pertolongan daripada Allah سبحانه وتعالى.
Pelajar yang belajar disini adalah berumur diantara 12 tahun hingga 18 tahun di dalam bidang Pengajian Tahfiz dan berumur 15 tahun hingga 25 tahun di dalam bidang Pengajian Ulum Diniyyah (Pengajian Alim). Dalam beberapa keadaan, pelajar akan diasingkan mengikut umur dan saiz tubuh badan, pelajar besar, pelajar sedang besar dan pelajar kecil. Tempat dan keadaan itu adalah seperti di asrama, tandas dan di dalam program-program khas.
Aktiviti Luar Kelas
MQKB menetapkan waktu luar kelas iaitu setiap hari selepas solat Asar, waktu petang hari Khamis dan sepanjang hari Jumaat.
Pada waktu ini para pelajar akan melakukan pelbagai aktiviti riadah. Riadah yang dibenarkan ialah jogging, bola tampar, bola takraw, bola raga bulatan, bola sepak, pingpong, bola keranjang dan badminton. Selain riadah, pelajar juga melakukan aktiviti sihat seperti bercucuk tanam, khidmat mengangkut sampah, membantu kerja-kerja para ustaz dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, pelajar juga adalah digalakkan agar dapat mempelajari pelajaran tambahan seperti belajar khat, belajar qiraat dan belajar tulisan jawi. Pelajar juga boleh menelaah pelajaran atau melakukan khidmat diri seperti berehat, membasuh pakaian, minum petang dan sebagainya pada waktu itu.
Pelajar yang berumur 16 tahun dan ke atas adalah digalakkan supaya aktif dalam program dakwah dan tabligh.
Setiap kelas akan mengadakan mesyuarat harian selama 10 hingga 15 minit sesama mereka mengenai program dakwah.
Pada setiap hari Sabtu, kesemua pelajar dan kakitangan akan bersama-sama di dalam program ziarah dan muzakarah di kawasan sekeliling madrasah. Pada setiap hari Khamis, bermula jam 6.00 petang hingga 9.00 pagi hari Jumaat, pengajian umum diadakan di masjid madrasah. Pelajar-pelajar juga diwajibkan menyertai program tersebut bersama orang awam yang hadir.
Untuk latihan mengamalkan apa yang pelajar telah dapat dalam pengajiannya maka pelajar dewasa digalakkan untuk keluar berdakwah berkumpulan selama 24 jam, sebulan sekali di masjid dan surau yang berdekatan, iaitu sekitar 10km dari madrasah.
Semasa cuti madrasah pada bulan Syaaban dan Ramadan, sebahagian pelajar akan menjadi imam tarawih dan sebahagian pula akan keluar berdakwah manakala bakinya yang terdiri daripada pelajar kecil akan balik tinggal bersama keluarga.
Pengajian Tahfiz
Tempoh menghafal keseluruhan Al-Quran adalah bergantung kepada usaha dan kemampuan pelajar tersebut. Tertib pengajian ialah menghafal pelajaran baru sekurang-kurangnya satu muka surat (sabaq). Waktu terbaik bagi menghafal ialah selepas maghrib, sebelum subuh dan selepas subuh.
Tertib kedua ialah mengulang pelajaran yang telah dihafal dalam masa 10 hari sebelum nya(para sabaq). Waktunya ialah dari jam 8.30 hingga 10.30 pagi. Hafalan lama diulang sehari satu juzuk hingga tiga juzuk (manzil). Waktunya ialah pada petang setiap hari.
Semasa di kelas hafiz, pelajaran sampingan juga diajar supaya menjadi panduan seharian kepada pelajar. Pelajaran itu ialah Tajwid, Adab dan Akhlaq, Tulisan Jawi dan Fardhu Ain. Waktunya ialah 45 minit di setiap akhir pengajian tahfiz.
Setelah tamat menghafal 30 juzuk, pelajar akan melalui proses mengulang hafalan hingga benar-benar lancar. Proses ini memakan masa antara 6 bulan hingga 2 tahun. Mereka akan mencapai ke tahap sekurang-kurangnya 25 kali khatam dengan 3 juz dari awal hingga akhir sebanyak 5 kali dan 10 juz dari awal hingga akhir sebanyak 5 kali.
Jika pelajar itu berkemampuan, ustaz akan meneruskan program hingga pelajar ini akan membaca 15 juz sebanyak 3 kali dan 30 juz sebanyak 2 kali. Jumlah keseluruhan ulangan ialah 30 kali khatam. Peperiksaan terakhir dalam kelas hafiz dipanggil Imtihan Syahadah. Peperiksaan ini berjalan selama 3 hari (10 juzuk sehari) atau 2 hari (15 juzuk sehari) atau hanya sehari (30 juzuk) bermula jam 5.00 pagi hingga sebelum maghrib. Kesalahan keseluruhan adalah tidak melebihi 10 kali salah.
Setelah tamat pengajian ini, mereka digalakkan meneruskan pengajian Uloom Dinniah sama ada di sini atau di mana sahaja. Mereka juga tidak dihalang dari mengambil peperiksaan SPM dan melanjutkan pengajian ke mana-mana institut pengajian tinggi.
Nasihat kepada mereka ialah “Jadilah apa sahaja untuk urusan duniamu dan tetaplah menjaga Al-Quran dan solat fardhu, nescaya hidupmu akan diberkati Allah jua.”
Pengajian Ulum Diniyyah
Tempoh pengajian Ulum Diniyyah ialah selama 8 tahun iaitu selama 4 tahun “Sanawi” dan 4 tahun “Aliyah”. Jadual pembelajaran ialah tujuh hisah dalam sehari dan setiap hisah mengambil masa selama 45 minit. Ianya bermula dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi. Kemudian berhenti rehat dan solat Zohor.
Hisah bermula semula pada jam 2.30 petang hingga 4.45 petang. Pada waktu malam, ianya bermula selepas solat hingga jam 10.00 malam dan merupakan waktu untuk pelajar menelaah dan bermuzakarah di dalam dewan besar yang diawasi oleh seorang ustaz.
Pelajaran berbentuk amali juga diterapkan disini seperti latihan berpidato, latihan debat, latihan khutbah, latihan berbicara bahasa arab dan praktikal dakwah di dalam masyarakat secara mingguan, bulanan dan tahunan. 90 peratus daripada asatizah yang mengajar di kedua-dua syukbah adalah lepasan MQKB sendiri. Sebahagian daripada mereka pernah melanjutkan pengajian ke India, Pakistan, Indonesia dan lain-lain negara.
Cuti Tahunan
Madrasah akan bercuti mengikut mesyuarat yang ditetapkan oleh pihak Mudir bersama Syura Madrasah dari masa ke semasa. Kebiasaannya cuti tahunan madrasah adalah 50 hari bermula 15 Sya’ban hingga 10 Syawal, 10 hari pada Hari Raya Haji dan 7 hari pada pertengahan tahun pengajian pada setiap tahun.
Pelajar juga dibenarkan bercuti setelah tamat menghafal 30 juzuk selam 10 hari. Cuti kerana urusan kecemasan juga dibenarkan seperti kematian keluarga terdekat, kenduri kahwin keluarga terdekat, menghidapi penyakit yang merebak atau sakit yang berat yang memerlukan perhatian penuh dari ahli keluarga. Cuti juga diluluskan kerana urusan penting seperti temujanji dengan doktor peribadi, mengerjakan haji dan umrah dan sebagainya.
Sumber Kewangan
Alhamdulillah selama 34 tahun madrasah ini berjalan, pihak pentadbir banyak bergantung dengan pertolongan Allah. Madrasah mendapat kewangan daripada lima sumber iaitu yuran, sumbangan zakat, sumbangan biasa, sedekah dan wakaf.
Yuran pengajian = percuma
Yuran bulanan asrama dan makan = RM90
Yuran tahunan = RM60
Wang cagaran = RM50 (pelajar Semenanjung) dan RM350 (pelajar Sabah dan Sarawak)
Wang cagaran adalah selama tempoh menetap dan dikembalikan setelah tamat pengajian.
Wang sumbangan zakat yang diberikan sepenuhnya kepada madrasah akan digunakan untuk tujuan imbuhan dan membantu pelajar yang miskin dan anak yatim piatu. Sementara itu wang zakat yang diberikan dengan tujuan mendapat kelepasan cukai pendapatan, pihak madrasah akan mendapat dua bahagian dari wang zakat itu dari pejabat agama.
Sumbangan biasa adalah sumber kewangan yang terbaik dan terbanyak yang diperolehi daripada para dermawan seluruh Malaysia. Wang sumbangan ini disalurkan melalui akaun bank madrasah atau melalui mereka yang dilantik oleh madrasah atau secara serahan terus ke pajabat madrasah. Wang ini akan digunakan sebagai imbuhan kepada ustaz dan kakitangan serta untuk pembangunan.
Wang sedekah pula akan diagihkan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk menjelaskan yuran dan sebagai wang poket mereka. Wang daripada wakaf diperolehi apabila si mati mewasiatkan hartanya kepada madrasah. Kebiasaannya wang ini digunakan sebagai wang pembangunan untuk manfaat berkekalan sebagai amal jariah si mati.
Pencapaian
Alhamdulillah sehingga kini seramai 850 orang pelajar yang telah tamat pengajian menghafal Al-Quran 30 juzuk daripada madrasah ini. Seramai 350 orang telah berjaya hingga ke peringkat akhir dengan menduduki Imtihan Syahadah manakala seramai 125 orang pula telah tamat pengajian Uloom Dinniah sebagai Alim dan Al-Hafiz.
Sesiapa sahaja pelajar yang telah tamat atau tidak tamat pengajiannya, pihak madrasah menganggap pelajar itu telah berjaya sekiranya dia dapat meneruskan kehidupan beragama menurut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, berbudi pekerti dengan akhlak yang mulia.