Terdapat 4 sudut perbezaan tentang pengumpulan Al-Quran di antara zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Usman radiyallahu ‘anhuma:
- Penulisan
- Motivasi
- Nama
- Cara
Penulisan
- Di zaman Nabi Al-Quran ditulis dengan tujuan semata-mata mencatat wahyu yang diturunkan sahaja dan ianya ditulis di atas kain dan tulang belulang binatang.
- Di zaman Sayyidina Abu Bakar ayat-ayat Al-Quran mula disusun dalam surah tertentu setelah diteliti dan tidak ditulis bersamanya ayat-ayat yang telah dimansuhkan bacaannya namun surah-surahnya masih belum disusun rapi.
Tujuan penulisan dizaman beliau ialah supaya Al-Quran dapat dirakamkan di dalam satu mushaf dan ia tidak hilang walaupun sebahagian kecil daripadanya.
- Di zaman Sayyidina ‘Usman radiyallahu ‘anhu ayat-ayat Al-Quran telah disusun di dalam satu mushaf sehingga ayat-ayat dan surah-surahnya telah tersusun rapi seperti yang ada sekarang.
Tujuan penulisan dizaman beliau adalah untuk membendung perselisihan dan perbalahan di kalangan muslimin dalam pembacaan Al-Quran.
Motivasi
- Zaman Sayyidina Abu Bakar radiyallahu’anhu: Bimbang hilangnya Al-Quran ekoran syahidnya ramai Penghafaz Al-Quran seperti di Peperangan Al-Yamamah dan beliau mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran dari dada Para Huffaz dan tulisan yang berselerak pada pelepah tamar, kulit, tulang, batu dan sebagainya.
- Zaman Sayyidina ‘Usman: Ekoran banyak perselisihan yang berlaku tentang cara pembacaan Al-Quran, maka setelah selesai pengumpulan dan penulisan Al-Quran salinan mushaf telah diperbanyakkan lalu dihantar bersama guru yang akan mengajarkannya ke wilayah-wilayah Islam seperti Makkah, Syam, Basrah dan Kufah
Nama
- Zaman Sayyidina Abu Bakar: Ayat-ayat Al-Quran yang telah dikumpul dan disatukan dalam satu naskhah dinamakan Suhuf.
- Zaman Sayyidina ‘Usman: Ayat-ayat Al-Quran yang telah dikumpul dan disatukan dalam satu naskhah dinamakan Mushaf.
Cara
- Zaman Sayyidina Abu Bakar: Tanggungjawab telah diberikan kepada Sayyidina Zaid bin Thabit dengan dibantu beberapa orang Sahabat lain. Kaedah penulisan beliau bersumberkan hafalan Sahabat dan juga penulisan sedia ada yang akan disahkan oleh dua orang saksi, pengumpulan beliau masih mengandungi ayat-ayat yang telah dimansuhkan.
- Zaman Sayyidina ‘Usman: Hasil perbincangan beliau dan beberapa orang Sahabat iaitu: Sayyidina Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin al-‘As dan Abdurrahman bin al-Harith radiyallahu ‘anhum pada akhir tahun 24 H maka mereka telah diberi tanggungjawab untuk menyusun Al-Quran dalam bentuk mushaf yang sistematik dengan mengambil kira beberapa dasar:
- Pembetulan dalam bacaan yang berbeza-beza diruju’ kepada sebutan orang Quraisy.
- Hanya ditulis ayat-ayat yang diyakini setelah dikaji bahawa ia di dengar secara mutawatir dari mulut Rasulullah.
- Tidak ditulis ayat-ayat yang telah dimansuhkkan.
- Mushaf diperbanyakkan atas tujuan memelihara dan diedarkan ke seluruh wilayah untuk mengelakkan terjadi kekeliruan bacaan.
- Ditulis tanpa titik dan bentuk atas tujuan dapat dibaca dengan bermacam cara bacaan, tidak hilang serta boleh diterima oleh semua golongan.
Oleh: Ustaz Syahin Amal Bin Shukor
Pengajian Takhassus Tafsir Al-Quran