وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(201) Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

Ramai orang memberi penekanan yang sungguh­-sungguh terhadap ayat ini, seolah­-olah dalam al­-Quran hanya satu ayat ini sahaja yang diturunkan untuk diamal.

Dalam hal ini ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian.

Pertamanya, kita perlu mengetahui tafsir yang sebenar. Untuk itu kita perlu melihat tafsiran mereka yang mendalam dalam ilmu agama. Oleh kerana itu para ulama berkata bahawa menganggap diri sendiri sebagai alim tentang tafsiran al­-Quran dengan semata­-mata bergantung kepada terjemahan lafaznya adalah sebenarnya satu kejahilan.

KEBAIKAN DUNIA

Tafsiran ayat tersebut yang dibuat oleh para sahabat dan tabiin adalah seperti berikut.

  • Sayyidina Qatadah radhiyallahu anhu berkata, “Kebaikan di dunia adalah keselamatan dan rezeki yang memadai.”
  • Sayyidina ʿAli radhiyallahu anhu berkata, “Kebaikan dunia adalah isteri yang solehah.”
  • Hadrat Hasan Basri rahimahullah diriwayatkan telah berkata, “Kebaikan dunia adalah ilmu dan ibadat.”
  • Hadrat Suddi rahimahullah berkata, “Kebaikan dunia adalah harta yang suci.”
  • Sayyidina ʿAbdullah bin ʿUmar radhiyallahu anhuma berkata, “Kebaikan dunia adalah anak­anak yang soleh dan pujian orang kepadanya.”
  • Sayyidina Jaʿfar radhiyallahu anhu diriwayatkan berkata, “Kebaikan di dunia adalah kesihatan yang baik dan rezeki yang cukup, memahami Kalamullah (al­-Quran) dan kemenangan ke atas musuh serta bergaul dengan para solihin.”