Penyembuhan Pada Tiga Perkara

 باب الشِّفَاءُ فِى ثَلاَثٍ

Pengubatan dan penyembuhan daripada penyakit itu terdapat pada tiga perkara. “Tiga perkara” yang disebutkan bukanlah untuk membataskan pengubatan itu hanya kepada tiga perkara ini tetapi untuk menyatakan dan menekankan kepentingan tiga perkara ini dan faedah besar yang didapati daripadanya berbanding cara pengubatan lainnya.

حَدَّثَنِى الْحُسَيْنُ حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ شُجَاعٍ حَدَّثَنَا سَالِمٌ الأَفْطَسُ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ – رضى الله عنهما – قَالَ: الشِّفَاءُ فِى ثَلاَثَةٍ شَرْبَةِ عَسَلٍ وَشَرْطَةِ مِحْجَمٍ وَكَيَّةِ نَارٍ وَأَنْهَى أُمَّتِى عَنِ الْكَىِّ. رَفَعَ الْحَدِيثَ. وَرَوَاهُ الْقُمِّىُّ عَنْ لَيْثٍ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فِى الْعَسَلِ وَالْحَجْمِ.

 

Sayyidina Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Penyembuhan itu pada tiga perkara, pada satu tegukan madu, satu torehan pisau bekam dan sekali selaran yakni membakar kulit dengan besi panas, dan aku melarang umatku daripada menyelar dengan besi panas.” (Bukhari: 5680)

Keterangan

“Pengubatan itu pada tiga perkara” tidak bermaksud bahawa ia terbatas kepada tiga perkara ini sahaja, penyembuhan kadangkala terjadi dengan cara yang lain. Nabi memberitahu bahawa asas pengubatan itu dengan tiga perkara ini.

وإنما نبه بها على أصول العلاج لأن الأمراض تكون دموية وصفراوية وبلغمة وسوداوية

(إرشاد الساري لشرح صحيح البخاري: 8: 362)

Semua penyakit sama ada ia bersifat darah, hempedu kuning, kahak atau hempedu hitam.

Perubatan Ibnu Sina dan Konsep Keseimbangan Bendalir (humor)

Menurut Ibnu Sina, makanan yang kita ambil sehari-hari akan berubah bentuk ke dalam cecair yang dikenali sebagai humor yang terbahagi kepada 4 jenis iaitu darah, kahak, hempedu kuning dan hitam.

Empat jenis humor ini pula boleh dibahagikan kepada dua sub kumpulan bergantung kepada fungsinya iaitu humor yang baik dan humor yang tidak baik. Humor ini pula memiliki sifat yang berbeza dipanggil mizaj, yang juga mempengaruhi proses pembentukan penyakit.

Humor yang baik adalah cecair yang mampu menjadi sebahagian daripada organ badan menerusi penyerapan nutrien secukupnya dan mampu menggantikan penyuraian nutrien yang terdahulu.

Humor yang tidak elok pula tidak dapat membekalkan keperluan nutrien organ, tidak dapat bercampur dengan humor yang baik dan perlu disingkirkan daripada badan dengan segera.

Menurut teori empat humor, bahan yang membentuk tubuh manusia ialah: hempedu hitam, hempedu kuning, darah, dan kahak. Hippocrates mengaitkan setiap humor ini dengan unsur dalam alam semesta dan keadaan atmosfera:

  • Hempedu hitam: berkaitan dengan bumi, dengan sifat sejuk dan kering.
  • Hempedu kuning: berkaitan dengan api, dengan sifat kering dan hangat.
  • Darah: berkaitan dengan udara, dengan kualiti lembap dan hangat.
  • Kahak: berkaitan dengan air, dengan kualiti lembap dan sejuk.

Tegukan madu

(قال: الشفاء في ثلاث شربة عسل) يسهل الأخلاط البلغمية

“Penyembuhan itu pada tiga perkara, pada satu tegukan madu,” yakni ia mencairkan kahak.

Kahak berkaitan dengan unsur air pada tubuh manusia, dengan sifat lembap dan sejuk.

ومن خواصِّ العسل أنه حار، فإذا شيبَ بماءٍ صار باردًا. ومن شربَ عسلًا فأحس حرارة، ينبغي له أن يغتسِلَ، فإنَّه تذهب عنه تلك الحرارة، بإِذن الله تعالى.

(فيض الباري على صحيح البخاري: 6: 43)

Kata Maulana Anwar Shah Kashmiri

Antara banyak pengkhususan madu, bahawasanya ia panas, apabila dicampur dengan air maka ia menjadi sejuk. Barangsiapa minum madu lalu dia berasa panas maka seeloknya dia mandi kerana ia akan menghilangkan kesan panas tersebut, dengan izin Allah.

By |2021-11-04T08:02:19+00:00November 4th, 2021|Tibbun Nabawi|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

Kongsi di dalam media sosial anda

Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia
Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia terdiri daripada beberapa orang sukarelawan yang meguruskan perjalanan laman sesawang DUM.
Go to Top