Home/Biografi/Syeikh Abdullah Siraj al-Din

Syeikh Abdullah Siraj al-Din

Pengarang Kitab Syarh al-Baiquniah fi al-Mustolah.

Imam Abdullah ibn Shaykh Muhammad Najib Siraj al-Din رحمه الله adalah dari keturunan Imam Husain ibn ‘Ali ibn Abu Talib رضي الله عنهما, dilahirkan pada tahun 1923. Merupakan wali Allah ta’ala, hafiz ḥadis yang telah menghafal 100,000 hadis dan Shaykh tariqah Rifa’i dibandarnya. Bapa beliau merupakan ulama tersohor di dalam bidang tafsir, fiqh, hadis dan tasawwuf.

Pengajiannya bermula di bawah tunjuk ajar bapa beliau dari usia muda. Beliau menamatkan penghafalan Qur’an pada usia 13 tahun. Pada masa yang sama, beliau mengikuti pengajian di Madrasah al-Khasrawiyyah. Di madrasah ini, beliau belajar dibawah ulama tersohor seperti Faqih Muhammad Ibrahim al-Salqini رحمه الله, Sufi Shaykh ‘Isa al-Bayanuni رحمه الله, Shaykh ‘Umar Mas’ud al-Hariri رحمه الله, Shaykh Fayd Allah al-Ayyubi al-Kurdi رحمه الله, Shaykh Ahmad al-Shamma’ رحمه الله dan lain-lain ulama yang masyhur.

Muhaddis, hafiz dan muarrikh Aleppo, Shaykh Muhammad Raghib al-Tabbakh رحمه الله telah melihat kesungguhan dan kecerdikan anak muda ini, oleh itu beliau telah membawanya dekat kepada diri beliau dan menjadi pembimbingnya. Selain itu, Shaykh Abdullah رحمه الله juga mengikuti pengajian ulama lain diluar dari madrasahnya, seperti pengajian Hanafi Faqih Shaykh Ahmad al-Kurdi رحمه الله dan Shaykh Muhammad Sa’id al-Idlibi رحمه الله dan ulama lainnya.

Beliau meneruskan pengajian peringkat tinggi dibawah bimbingan bapa beliau. Disebabkan usia yang tua, bapanya tidak dapat meneruskan kelas pengajiannya. Tanggung jawab yang berat ini, kini di atas bahu Shaykh Abdullah رحمه الله yang mana usianya hanya 22 tahun pada ketika itu.

Pada tahun 1958, beliau telah menubuhkan sebuah institusi pengajian yang dinamakan “Institut Pengajian Islam.” Institut ini menawarkan gabungan kuliah undang-undang Islam, tasawwuf, shamail Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan kuliah hadis. Sebagai tambahan, akademi pengajian Qur’an juga telah ditubuhkan sebagai gabungan Institut Pengajian Islam.

Shaykh Abdullah رحمه الله merupakan ‘ashiq yang tenggelam dalam lautan cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Beliau adalah sangat pemurah dan sentiasa sedia membantu mereka yang miskin, prihatin kepada pelajar di institusi, tawadhu’ dan abid. Shaykh Nur al-din ‘Itr رحمه الله menyifatkan beliau sebagai orang yang sangat berhati-hati dan sentiasa menjauhi benda syubhat.

Shaykh Abd al-Rahman al-Shaghuri رحمه الله – Shaykh kepada Shaykh Nuh Ha Mim Keller رحمه الله – menyifatkan Shaykh Abdullah Siraj al-Din رحمه الله sebagai “Qutb dalam cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada zaman ini.”

Cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم boleh dilihat dalam setiap aspek kehidupan dan tutur-kata beliau. Menurut Shaykh Nur al-Din رحمه الله – juga merupakan menantu kepada Shaykh ‘Abdullah Siraj al-Din رحمه الله – menyatakan, “Shaykh Siraj al-Din رحمه الله akan melihat Nabi صلى الله عليه وسلم dalam mimpi dan jaga.

Satu ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengarahkan sayyiduna ‘Ali ibn Abī Talib memakaikan Shaykh dengan jubah baginda, pada masa yang lain, Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri memakaikan beliau dengan tangan baginda yang mulia. Di lain ketika, Rasulullah bersabda, “Kamu adalah pelayan yang taat.” Kemudiannya beliau akan berkata, “Rasulullah gembira mempunyai saya sebagai pelayan baginda.”

Shaykh Abdullah Siraj al-Din رحمه الله telah menulis sebanyak 20 buah buku merangkumi bidang tasawwuf, adab, hadis dan tafsir al-Qur’an. Antara buku beliau yang masyhur ialah Sayyiduna Muhammad Rasul Allah صلى الله عليه وسلم – Shama’il al-Hamida, Khilasat al-Majida, al-Salat ‘ala al-Nabi صلى الله عليه وسلم, Sharh Manzumat al-Bayquniyya fi Mustalah al-hadis, Tafsir Surat al-Fatiha, Tafsir Surat al-Mulk, Tafsir Surat al-Hujurat dan lain-lain.

Shaykh Abdullah Siraj al-Din رحمه الله sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan para ulama, antara rakan beliau ialah Shaykh Abd al-Fattah Abu Ghuddah رحمه الله. Ramai murid beliau adalah ulama terkemuka, antaranya ialah Shaykh Nur al-Din ‘Itr رحمه الله, Shaykh Muhammad ‘Awwamah رحمه الله, Shaykh Muhammad al-Ninowy رحمه الله dan lain-lain.

Beliau meninggalkan dunia yang fana kembali kehadapan Rab al-‘Izzat pada tanggal 4 Mac 2002. Kematian beliau ditangisi oleh ummat Muslimin seluruh dunia.

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : ما من مؤمن إلا وله بابان باب يصعد منه عمله وباب ينزل منه رزقه فإذا مات بكيا عليه فذلك قوله عز و جل { فما بكت عليهم السماء والأرض وما كانوا منظرين } قال أبو عيسى هذا حديث غريب لا نعرفه مرفوعا إلا من هذا الوجه وموسى بن عبيدة ويزيد بن أبان الرقاشي يضعفان في الحديث

Sayyiduna Anas ibn Malik رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Setiap mukmin mempunyai dua buah pintu, sebuah pintu yang mana amalnya naik dan sebuah pintu yang lain rezekinya turun. Apabila dia meninggal, kedua-dua pintu tersebut menangisinya. Demikianlah makna firman Allah سبحانه وتعالى, “Tiadalah langit dan bumi menangisi mereka dan mereka tidak diberi tangguh lagi.”” (Hadis riwayat Tirmizi)

Moga Allah سبحانه وتعالى golongkan kita dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Amin.

وصلى الله على سيدنا محمد وآله وسلم
والحمد لله رب العالمين

By |2020-03-13T03:43:05+00:00March 13th, 2020|Biografi|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top