Isti’azah

Allah subhanahu wa taala memerintahkan hamba-Nya meminta perlindungan dengan-Nya daripada syaitan. Syaitan sentiasa membisikkan hasutan jahat, was-was dan maksiat.

Syaitan adalah sejenis makhluq Allah yang tidak dapat kita lihat dan tidak dapat dihalau secara fizikal. Syaitan itu maksud hidup dan pekerjaannya adalah membisikkan kejahatan dan menyesatkan manusia.

Apabila kita diganggu oleh syaitan maka Allah perintahkan kita untuk meminta perlindungan dengan-Nya daripada syaitan yang dilaknat.

Kita juga disarankan untuk melawan syaitan dengan berzikir untuk menjauhkan syaitan daripada kita.

Ayat Pertama

قال الله تعالى: خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ 199 وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 200 [الأعراف: 199، 200]

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-A’raf: 199-200)

Ayat Kedua

وقال تعالى: ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ السَّيِّئَةَ نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَصِفُونَ * وَقُلْ رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ * وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ [المؤمنون: 96 -98]

Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.

Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan

“Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.” (al-Mukminun: 96-98)

Ayat Ketiga

وقال تعالى: ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ * وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ * وَإِمَّا يَنزغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نزغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ [فصلت: 34 -36] .

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Fussilat: 34-36)

 

فهذه ثلاث آيات ليس لهن رابعة في معناها، وهو أن الله يأمر بمصانعة العدو الإنسي والإحسان إليه، ليرده عنه طبعه الطيب الأصل إلى الموادة والمصافاة، ويأمر بالاستعاذة به من العدو الشيطاني لا محالة؛ إذ لا يقبل مصانعة ولا إحسانا ولا يبتغي غير هلاك ابن آدم، لشدة العداوة بينه وبين أبيه آدم من قبل؛

 

Ini adalah tiga ayat yang tiada ayat keempat pada maknanya, iaitu Allah menyuruh dengan kita berbuat perbuatan baik dan ihsan kepada musuh daripada kalangan insan supaya kebaikan itu akan menyentuh dan menyedarkannya, dan dia juga akan berbuat baik, mengembalikannya kepada tabi’i kejadiannya yang baik dan kepada kasih sayang dan persaudaraan.

Manakala untuk syaitan, Allah memerintahkan kita untuk meminta perlindungan dengan-Nya daripada musuh syaitan, tidak boleh tidak, kerana syaitan tidak akan menerima sebarang kebaikan dan membalas kebaikan itu, ia tidak akan menerima ihsan dan tidak menginginkan selain kebinasaan anak Adam, kerana perseteruannya yang bersangatan antaranya dan antara bapa manusia Adam alaihis salam sebelumnya.