Home/Aqidah, Isu Semasa/Covid-19 – Keseimbangan Aqidah di dalam Mendepani Wabak

Covid-19 – Keseimbangan Aqidah di dalam Mendepani Wabak

1- Hakikat Tauhid yang perlu kita yakini sepenuh hati adalah : tidak ada suatu perkara pun yang akan berlaku, baik atau buruk (termasuklah jangkitan2 penyakit) kecuali dengan Qudrah Iradah Allah SWT.

Hadith sahih riwayat Imam Muslim daripada Sayyidina Abu Hurairah radhialLahu ‘anhu

لا عَدْوَى ولا صَفَرَ ولا هامَةَ فقالَ أعْرابِيٌّ: يا رَسولَ اللهِ، فَما بالُ الإبِلِ تَكُونُ في الرَّمْلِ كَأنَّها الظِّباءُ، فَيَجِيءُ البَعِيرُ الأجْرَبُ فَيَدْخُلُ فيها فيُجْرِبُها كُلَّها؟ قالَ: فمَن أعْدَى الأوَّلَ؟

Bahawa RasuululLaah S.A.W. bersabda (menerangkan hakikat segala apa yang berlaku):

“Tidak ada jangkitan penyakit, tidak ada (kesialan) bulan Safar, tidak ada (kesialan) burung hantu”.
Lalu seorang Arab kampung bertanya “Macam mana pula unta-unta yang sihat di padang pasir, lalu datang seekor unta yang berpenyakit dan masuk bergaul dengan unta-unta yang sihat itu, lalu kesemuanya menjadi berpenyakit?” (seolah-olah itu menunjukkan hakikatnya ada jangkitan penyakit).
RasuululLaah S.A.W. bertanya kembali: “Maka (kalau penyakit hakikatnya memang melalui jangkitan) siapa yang menjangkiti unta yang mula-mula sakit itu?” (padahal ia yang mula-mula sakit).

2- Syariat amalan pula menuntut ummat Islam menjaga diri dari kerosakan dan menjaga nyawa dari kebinasaan dengan melakukan usaha dan ikhtiar sesuai dengan peraturan sebab (cause) dan musabbab (effect).

3- Inilah Aqidah Ahlis Sunnah wal Jamaah yang saksama dan seimbang antara meyakini hakikat (segala2nya, buruk dan baik, ditentukan oleh Allah SWT) dan meraikan asbaab (perkataan jama’ [plural] bagi sebab) iaitu pertalian antara sesuatu yang berlaku dahulu (sebab/cause) dan yang sesuatu yang hampir senantiasa menyusul kemudian (musabbab/effect).

4- Untuk memudahkan kefahaman:

  1. Berlaku makan dahulu (sebab/cause), kemudian berlaku kenyang (musabbab/effect).
  2. Berlaku berubat dahulu (sebab/cause), kemudian berlaku sembuh dari penyakit (musabbab/effect).
  3. Berlaku bersentuh dengan api (sebab/cause), kemudian berlaku terbakar (musabbab/effect)

Ini namanya asbaab yang berpandukan kepadanya lah dilakukan usaha dan ikhtiar dan berdasarkan kepadanya lah dijalankan hukum hakam syara’.

5- Sementara dari perspektif hakikat pula, yang bertunjangkan kepadanya lah keyakinan iman ditegakkan, maka

  1. Perbuatan memakan makanan dan diri makanan itu sendiri hakikatnya TIDAK mengenyangkan. Hanya sanya yang mengenyangkan adalah Allah SWT jua. Bermakna dari segi hakikat, boleh sahaja Allah SWT menjadikan seseorang itu kenyang tanpa makan dan boleh sahaja Allah SWT jadikan seseorang itu tidak kenyang walaupun sudah makan makanan.
  2. Perbuatan berubat dan diri ubat itu sendiri hakikatnya TIDAK menyembuhkan. Hanya sanya yang menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT jua. Bermakna dari segi hakikat, boleh sahaja Allah SWT menyembuhkan seseorang yang sakit tanpa berubat dan tanpa ubat, dan boleh sahaja Allah SWT jadikan seseorang itu tetap sakit walaupun sudah berubat dengan pelbagai ubat.
  3. Bersentuh dengan api dan diri api itu sendiri hakikatnya TIDAK membakar. Hanya sanya yang membakar adalah Allah SWT jua. Bermakna dari segi hakikat, boleh sahaja Allah SWT jadikan sesuatu itu terbakar walaupun tidak bersentuh dengan api, dan boleh sahaja Allah SWT jadikan sesuatu itu (atau seseorang, seperti yang berlaku kepada Nabi Ibrahim ‘alaihis salaam) tidak terbakar walaupun dicampakkan masuk ke dalam api sekalipun.

6- Kombinasi dari “asbaab” (melibatkan usaha ikhtiar syarak) dan “hakikat” (melibatkan keyakinan aqidah) tadi lah yang melahirkan keseimbangan dan kesaksamaan bagi ummat Islam, khususnya yang berpegang dengan aqidah Ahlis Sunnah wal Jamaah, menghadapi liku-liku kehidupan mereka, di dalam perbincangan ini secara khusus, berdepan dengan Pandemik Covid-19.

7- Kita ambil kembali tiga (3) contoh tadi.

  1. Adakah oleh kerana perbuatan memakan makanan dan diri makanan itu sendiri hakikatnya TIDAK mengenyangkan, tetapi yang mengenyangkan adalah Allah SWT jua, maka kita tidak perlu makan?
  2. Adakah oleh kerana perbuatan berubat dan diri ubat itu sendiri hakikatnya TIDAK menyembuhkan, hanya sanya yang menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT jua, maka kita tidak perlu berubat bila sakit?
  3. Adakah oleh kerana bersentuh dengan api dan diri api itu sendiri hakikatnya TIDAK membakar, hanya sanya yang membakar adalah Allah SWT jua, maka boleh lah kita terjun masuk ke dalam api?

8- Jelas, jawapan bagi ketiga-tiga persoalan di atas adalah TIDAK.

  1. Hakikat bahawa perbuatan memakan makanan dan diri makanan itu sendiri TIDAK mengenyangkan, tetapi yang mengenyangkan adalah Allah SWT jua, TIDAK BERMAKNA kita tidak perlu makan. Ini kerana tindak tanduk kita berlandaskan kepada peraturan sebab dan musabbab, lalu kita berusaha ikhtiar dengan cara memakan makanan bagi mencapai kenyang dengan keyakinan penuh bahawa yang mengenyangkan kita HAKIKATNYA adalah Allah SWT dan bukannya makanan.
  2. Hakikat bahawa perbuatan berubat dan diri ubat itu sendiri TIDAK menyembuhkan, hanya sanya yang menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT jua, TIDAK BERMAKNA kita tidak perlu berubat bila sakit. Ini kerana tindak tanduk kita berlandaskan kepada peraturan sebab dan musabbab, lalu kita berusaha ikhtiar dengan cara berubat bagi mencapai kesembuhan dengan keyakinan penuh bahawa yang menyembuhkan kita HAKIKATNYA adalah Allah SWT dan bukannya ubat.
  3. Hakikat bahawa bersentuh dengan api dan zat api itu sendiri TIDAK membakar, hanya sanya yang membakar adalah Allah SWT jua, TIDAK BERMAKNA kita boleh terjun masuk ke dalam api. Ini kerana tindak tanduk kita berlandaskan kepada peraturan sebab dan musabbab, lalu kita berusaha ikhtiar dengan cara mengelakkan diri dari bersentuh dengan api bagi mencapai keselamatan dari terbakar dengan keyakinan penuh bahawa yang membakar HAKIKATNYA adalah Allah SWT dan bukannya api.

9- Baik, tiba masanya, kita bawa keseimbangan antara hakikat tauhid ini dan perkiraan syariat hukum dan pertaliannya dengan sebab musabbab di dalam melakukan usaha dan ikhtiar kepada sikap kita di dalam mendepani Pandemik Covid-19 sekarang.

10- Dari segi hakikat tauhid, memang tidak ada yang namanya “jangkitan penyakit”, oleh itu dari segi hakikat tauhid tidak ada di sana yang dikatakan “jangkitan corona virus”. Penyakit, hakikatnya, menimpa seseorang dengan Qudrah (Kuasa) dan Iraadah (Kehendak) daripada Allah SWT jua.

11- Namun, dari segi Syariat dan hukum yang mengambil kira sebab/cause (bersentuhan atau berada berhampiran dengan individu yang sudah ada corona virus) dan musabbab/effect (terkena jangkitan Coronavirus), maka wajib seseorang itu menjaga diri dan mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang mengikut pakar-pakar perubatan meningkatkan risiko terkena jangkitan Coronavirus.

12- Sekadar ini, insyaaAllah perkara ini boleh difahami dan dilaksanakan dengan mudah oleh Ummat Islam yang berpegang teguh dengan pegangan dan kefahaman Ahlis Sunnah wal Jamaah.

13- Tetapi apabila langkah-langkah menjaga diri dan keselamatan nyawa itu sampai ke tahap ummat Islam dilarang oleh pihak pemerintah daripada menunaikan kewajiban-kewajiban agama yang fardhu kifayah secara yang dapat menzahirkan syiar Islam (seperti solat berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau), bahkan yang fardhu ain iaitu menunaikan solat Jumaat juga dihalang, maka ada sebahagian ummat Islam, termasuk para ilmuwan merasa keberatan.

14- Di sinilah, ada kepentingan untuk isu ini diterangkan secara ilmiah dan saksama supaya masyarakat menjadi selamat dan sejahtera mengikut lunas-lunas syarak dan undang-undang.

15- Antara bangkangan-bangkangan yang diutarakan terhadap larangan berkumpul untuk solat berjemaah di masjid-masjid, apatah lagi untuk solat Jumaat adalah seperti berikut:

  1. Adakah kita lebih takutkan virus berbanding takutkan Allah SWT sehingga kita tergamak melarang ummat daripada melakukan perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah?
  2. Oleh kerana penyakit ini hakikatnya daripada Allah SWT dan hanya Allah SWT jua yang berkuasa menghilangkan wabak ini, maka sepatutnya kita memenuhkan masjid-masjid dengan aktiviti-aktiviti ibadah wajib dan sunat yang menjemput rahmat daripada Allah SWT dan bukannya mengosongkan Masjid daripada jemaah dan Jumaat!
  3. Wabak penyakit bukan suatu perkara baru, bahkan ia pernah terjadi di zaman silam, bahkan di zaman para sahabat Nabi radhialLahu ‘anhum masih hidup sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa termasuk para sahabat. Tidak ada pula dicatatkan bahawa para sahabat atau para ulama memfatwakan agar masjid-masjid ditutup, bahkan jemaah dan Jumaat didirikan seperti biasa!
  4. Jangkitan Covid-19 ketika melakukan ibadah solat jemaah dan Jumaat hanya suatu kemungkinan sahaja dan bukannya suatu kepastian. Kalau kita memutuskan untuk menutup Masjid dan surau semata-mata kerana suatu kemungkinan yang tidak pasti, maka kita akan senantiasa menutup masjid-masjid dan surau-surau kerana sentiasa ada kemungkinan yang pelbagai, misalnya kemungkinan atap masjid jatuh menghempap para jemaah yang sedang solat, atau kemungkinan lantai tiba-tiba jerlus dan para jemaah tertimbus atau sebagaimana yang pernah berlaku di New Zealand, kemungkinan ada ekstremis dan pengganas yang melepaskan tembakan rambang di masjid lalu membunuh para jemaah!
  5. Lihat pula situasi di dalam peperangan di mana risiko kehilangan nyawa jelas sangat tinggi. Di dalam keadaan sedemikian pun, ummat Islam masih dituntut untuk menunaikan solat berjemaah, hanyakan dengan kaifiat yang sedikit berbeza berbanding solat jemaah di luar suasana perang. Takkan suasana Pandemik Covid-19 lebih merbahaya daripada suasana perang sehinggakan solat berjemaah dan Jumaat dilarang!
  6. Kenapa hanya difokuskan kepada berkumpul untuk solat berjemaah dan Jumaat sedangkan orangramai masih lagi berkumpul dan oleh itu terdedah kepada jangkitan Covid-19 apabila mereka keluar untuk membeli belah di kedai, supermarket dan sebagainya. Takkan beli ikan, ayam dan sayur lebih penting dari solat!
  7. Sepaling-paling pun kalau ingin menjaga keselamatan nyawa dan menghindarkan penyakit sekalipun, tak perlulah sampai masjid-masjid ditutup. Memadailah dengan langkah-langkah keselamatan diambil, masjid-masjid dilakukan pembersihan dan disinfeksi, Jemaah yang tidak sihat diarahkan tidak hadir, Jemaah yang hadir dilakukan disinfeksi dan perjarakan sosial (social distancing) antara satu sama lain dan lain-lain langkah yang perlu.

16- Baik, insyaaAllah dengan hidayah dan tawfiq daripada Allah SWT saya akan cuba menjelaskan satu persatu bangkangan-bangkangan ini seperti berikut:

(a) BANGKANGAN 1: Adakah kita lebih takutkan virus berbanding takutkan Allah SWT sehingga kita tergamak melarang ummat daripada melakukan perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah???

JAWAPAN 1: Ia bukan isu lebih takutkan virus berbanding takutkan Allah SWT tetapi kefahaman bahawa takutkan Allah SWT menuntut kita mematuhi hukum dan peraturanNya termasuk perintahNya supaya kita menjaga nyawa dan keselamatan, lebih-lebih lagi yang melibatkan nyawa dan keselamatan ramai insan.
Tidak keluar dari rumah ke Masjid kerana ada singa ganas terlepas dan berlegar-legar di luar rumah kita bukan bermakna kita lebih takutkan singa daripada Tuhan singa. Tidak basuh anggota wuduk yang cedera, sebaliknya menggantikan basuhan wajib itu dengan tayammum untuk mengelakkan luka melarat bukan bermakna kita lebih takutkan air berbanding Tuhan air. Tidak masuk ke negeri yang sedang dilanda wabak penyakit bukan bermakna kita lebih takutkan wabak penyakit berbanding Tuhan yang menurunkan wabak itu. Di dalam kesemua keadaan ini, kita hakikatnya takutkan Allah SWT dengan mengambil kira serta tidak mengabaikan hukum sebab musabbab di dalam mengenalpasti hukum syarak dan melaksanakannya.

(b) BANGKANGAN 2: Oleh kerana penyakit ini hakikatnya daripada Allah SWT dan hanya Allah SWT jua yang berkuasa menghilangkan wabak ini, maka sepatutnya kita memenuhkan masjid-masjid dengan aktiviti-aktiviti ibadah wajib dan sunat yang menjemput rahmat daripada Allah SWT dan bukannya mengosongkan Masjid daripada jemaah dan Jumaat!

JAWAPAN 2: Ya, di dalam keadaan biasa, usaha ikhtiar kita menjemput rahmat Allah SWT adalah dengan memenuhi masjid-masjid dan surau-surau dengan amal ibadah, doa dan munajat. Namun di dalam keadaan luar biasa seperti Pandemik Covid-19 sekarang, maka menjemput rahmat Allah SWT adalah dengan mengambil langkah-langkah menjaga keselamatan nyawa diri dan masyarakat tanpa mengabaikan amal ibadah, doa dan munajat di rumah masing-masing bersama-sama ahli-ahli keluarga. Menjemput rahmat Allah SWT juga adalah dengan tidak keluar dari ketaatan kepada pemerintah di dalam arahan-arahan mereka yang masih mempunyai asas-asas syarak.

(c) BANGKANGAN 3: Wabak penyakit bukan suatu perkara baru, bahkan ia pernah terjadi di zaman silam, bahkan di zaman para sahabat Nabi radhialLahu ‘anhum masih hidup sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa termasuk para sahabat. Tidak ada pula dicatatkan bahawa para sahabat atau para ulama memfatwakan agar masjid-masjid ditutup, bahkan jemaah dan Jumaat didirikan seperti biasa!

JAWAPAN 3: Pertama, tanggapan bahawa oleh kerana sesuatu tindakan itu (di dalam kes Covid-19, menutup masjid-masjid) tidak pernah berlaku atau dilakukan di zaman silam, di zaman para sahabat, maka ia tidak sewajarnya berlaku di zaman kita adalah tanggapan yang keliru seolah-olah neraca hukum hanya perbuatan generasi dahulu, padahal neraca hukum itu asasnya adalah panduan Al-Quran dan As-Sunnah dibantu oleh sumber-sumber hukum yang lain seperti ijmak, qiyas, istishab, istihsan, sadd zaraai’, masoolih mursalah dan lain-lain sumber hukum yang digali menggunakan kaedah-kaedah istinbath yang pelbagai.

Yang kedua, hakikatnya memang ada catatan silam bahawa masjid-masjid terpaksa ditutup akibat bencana kebuluran yang teruk.

Ketiga, ya, benar, ketika wabak taun melanda di zaman silam, masjid-masjid tidak ditutup, jemaah dan Jumaat masih didirikan, namun jangan kita terlepas pandang bahawa walaupun wabak taun juga adalah wabak yang menular, namun cara penularannya tidak sama seperti cara penularan Covid-19 menyebabkan di dalam kes wabak taun, semata-mata kehadiran di masjid-masjid untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat tidak menyumbangkan kepada risiko penularan, sedangkan di dalam kes Covid-19, semata-mata kehadiran ke masjid-masjid untuk menunaikan solat jemaah dan Jumaat dikenalpasti boleh mendedahkan kepada risiko penularan wabak ini, maka risiko ini wajib ditangani.

(d) BANGKANGAN 4: Jangkitan Covid-19 ketika melakukan ibadah solat jemaah dan Jumaat hanya suatu kemungkinan sahaja dan bukannya suatu kepastian. Kalau kita memutuskan untuk menutup Masjid dan surau semata-mata kerana suatu kemungkinan yang tidak pasti, maka kita akan senantiasa menutup masjid-masjid dan surau-surau kerana sentiasa ada kemungkinan yang pelbagai, misalnya ada kemungkinan atap masjid jatuh menghempap para jemaah yang sedang solat, atau kemungkinan lantai tiba-tiba jerlus dan para jemaah tertimbus atau sebagaimana yang pernah berlaku di New Zealand, kemungkinan ada ekstremis dan pengganas yang melepaskan tembakan rambang di masjid lalu membunuh para jemaah!?

JAWAPAN 4: Kemungkinan yang diambil kira di dalam menetapkan hukum bukan hanya sekadar kemungkinan-kemungkinan semata-mata (remote possibilities), tetapi perlulah suatu kemungkinan tinggi yang sebenar (real high possibility) atau di dalam bahasa Arab disebut “ghalabatuz zhonn” (berat sangkaan).

(e) BANGKANGAN 5: Lihat pula situasi di dalam peperangan di mana risiko kehilangan nyawa jelas sangat tinggi. Di dalam keadaan sedemikian pun ummat Islam masih dituntut untuk menunaikan solat berjemaah, hanyakan dengan kaifiat yang sedikit berbeza berbanding solat jemaah di luar suasana perang. Takkan suasana Pandemik Covid-19 lebih merbahaya daripada suasana perang sehinggakan solat berjemaah dan Jumaat dilarang!?

JAWAPAN 5: Ini masalah yang mungkin timbul apabila ada kecenderungan menggunakan kaedah analogi (qiyas) tanpa benar-benar memahirkan diri dengan tuntutan-tuntutan qiyas iaitu, antara yang paling penting, hendaklah mempunyai asas hukum (‘illah) yang sama.

Di dalam kes peperangan, peperangan itu sendiri mendedahkan diri kepada risiko kecederaan dan kehilangan nyawa, namun dihadapi jua kemungkinan ini demi menjaga kepentingan yang lebih besar iaitu kepentingan agama (diikuti oleh kepentingan-kepentingan yang lain mengikut turutan kepentingan, nyawa, akal, nasab keturunan dan harta).

Solat berjemaah dengan cara yang biasa (semua solat serentak) ketika di medan perang meningkatkan risiko serangan mengejut pihak musuh yang membawa kepada kekalahan dan risiko ini ditangani dengan melakukan solat jemaah dengan kaifiat yang berbeza di mana ketika solat berjemaah sedang didirikan, sebahagian tentera masih berkawal bagi mendepani dan menangani risiko serangan musuh.

Di dalam kes Covid-19, berkumpul untuk solat berjemaah dan Jumaat itu sendiri (dan juga untuk tujuan-tujuan lain juga sebenarnya) mendedahkan individu-individu yang berkumpul kepada bahaya jangkitan, maka salah satu cara mendepani risiko ini secara yang langsung adalah dengan cara jangan berkumpul.

(f) BANGKANGAN 6: Kenapa hanya difokuskan kepada berkumpul untuk solat berjemaah dan Jumaat, sedangkan orangramai masih lagi berkumpul dan oleh itu terdedah kepada jangkitan Covid-19 apabila mereka keluar untuk membeli belah di kedai, supermarket dan sebagainya? Takkan beli ikan, ayam dan sayur lebih penting dari solat!?

JAWAPAN 6: Sebenarnya, semua jenis berkumpul mendedahkan diri kepada risiko jangkitan Covid-19, termasuk berkumpul di kedai dan supermarket untuk membeli barang-barang keperluan. Jadi fokus sebenarnya kepada semua jenis perkumpulan, maka sebab itu dikeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan dan di sesetengah kawasan merah, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan telah dikuatkuasakan. Perkumpulan di kedai dan supermarket pun sebenarnya tidak sepatutnya berlaku, sebab itu disyaratkan hanya seorang wakil bagi setiap keluarga yang keluar untuk membeli barang-barang keperluan dengan menjaga perjarakan sosial dan langkah-langkah pencegahan lain. Bahkan, bergerak ke depan, tidak mustahil “online shopping” akan segera mengambil alih pembelian secara berdepan didorong oleh faktor Pandemik Covid-19 ini.

(g) BANGKANGAN 7: Sepaling-paling kalau memang ingin menjaga keselamatan nyawa dan menghindarkan penyakit sekalipun, tak perlulah sampai masjid-masjid ditutup. Memadailah dengan langkah-langkah keselamatan diambil, masjid-masjid dilakukan pembersihan dan disinfeksi, Jemaah yang tidak sihat diarahkan tidak hadir, Jemaah yang hadir dilakukan disinfeksi dan perjarakan sosial (social distancing) antara satu sama lain dan lain-lain langkah yang perlu.

JAWAPAN 7: Ini adalah suatu cadangan yang munasabah. Namun ia sebenarnya bukan isu hukum (question of law) tetapi lebih kepada penilaian fakta (question of facts). Dari segi hukum, para ilmuwan kita sepakat di atas kewajiban menjaga nyawa dan menolak kemudaratan. Mereka cuma berbeza penilaian pada menentukan adakah objektif ini sudah boleh dicapai dengan masjid-masjid masih dibuka untuk aktiviti-aktiviti dengan langkah-langkah pencegahan dilaksanakan atau objektif ini hanya boleh dicapai dengan penutupan sementara masjid-masjid daripada sebarang aktiviti.

Perbezaan di dalam menilai fakta bagi tujuan penentuan hukum sangat biasa berlaku dan ianya lah yang biasanya menghasilkan khilaf.

Yang bagusnya, apabila pihak berkuasa atau pihak pemerintah memilih salah satu daripada pendapat-pendapat yang berbeza ini, maka pilihan pemerintah lah yang akan dikuatkuasakan sesuai dengan kaedah “keputusan pemerintah mengangkat khilaf”.

اختيار الإمام يرفع الخلاف

Di tempat-tempat yang penguasanya memilih untuk masih membuka masjid-masjid untuk aktiviti-aktiviti keagamaan dengan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan dilaksanakan, maka rakyat di sana perlu mematuhi arahan tersebut. Demikian juga di tempat-tempat (seperti di negara kita Malaysia) yang penguasanya memilih untuk menutup sementara masjid-masjid daripada sebarang aktiviti demi untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini, maka rakyat perlu mematuhi arahan tersebut berdasarkan kewajiban taat kepada pemerintah.

17- KESIMPULAN terhadap keseimbangan aqidah di dalam mendepani Pandemik Covid-19 sekarang ini sebenarnya dapat diambil daripada hadith sahih riwayat Imam Bukhari, Imam Ahmad dan lain-lain daripada Sayyiditina Aisyah radhialLahu ‘anhaa seperti berikut:

سألتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ عن الطاعونِ، فأخبَرَني رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أنَّه كان عَذابًا يَبعَثُه اللهُ على مَن يَشاءُ، فجعَلَه رَحمةً للمُؤمِنينَ، فليس مِن رَجُلٍ يَقَعَ الطاعونُ فيَمكُثُ في بَيتِه صابِرًا مُحتَسِبًا يَعلَمُ أنَّه لا يُصيبُه إلَّا ما كَتَبَ اللهُ له إلَّا كان له مِثلُ أجْرِ الشَّهيدِ. (اللفظ لأحمد)

“Aku (Sayyidatuna Aisyah radhialLahu ‘anhaa) telah bertanya RasuulalLaah S.A.W. tentang wabak taun, lalu baginda RasuululLaah memberitahuku bahawa ia merupakan azab yang Allah SWT kenakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, lalu Allah SWT jadikan ia sebagai rahmat kepada orang-orang yang beriman, kerana tidak ada seorang lelaki (yang beriman) yang apabila berlaku taun lalu dia tinggal diam di dalam rumahnya (mengikut lafaz riwayat Imam Ahmad, sementara di dalam lafaz riwayat Imam Bukhari “di dalam negerinya” dan tiada percanggahan kerana negeri seseorang adalah tempat rumah seseorang) di dalam keadaan sabar dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT serta yakin bahawa tiada suatu apapun yang akan menimpanya melainkan apa yang Allah SWT telah tentukan untuk dia, kecuali baginya pahala sama seperti pahala syahid.”

18- Jelas daripada hadith sahih ini bahawa:

(a) Hakikat tauhid yang wajib diyakini adalah seseorang mukmin wajib percaya dan yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku, baik atau buruk, adalah ketentuan Allah SWT lalu dia sabar menghadapinya dan mengharapkan redha Allah SWT.

(b) Syariat dan hukum pula menuntut dia supaya berusaha ikhtiar patuh kepada panduan syarak dengan “stay at home” yang sesuai dengan keadaan wabak yang sedang melanda sesuai dengan hadith RasuulilLaah S.A.W.

فَإِذَا سَمِعْتُمْ به بأَرْضٍ، فلا تَقْدَمُوا عليه، وإذَا وقَعَ بأَرْضٍ، وأَنْتُمْ بهَا فلا تَخْرُجُوا، فِرَارًا منه

Apabila kamu mendengar berita tentang wabak taun di sesuatu tempat, maka jangan kamu pergi ke situ dan sekiranya ia berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu sedang berada di situ, maka janganlah keluar dari situ untuk lari daripadanya.

Inilah amalan yang diistilahkan sebagai “kuarantin” di zaman kita.

19- Kembali kepada hadith Sayyidatina Aisyah radhialLahu ‘anhaa tadi, Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahulLaah menerangkan kesimpulan yang sangat menarik dan berguna:

اقتضى منطوقه أن من اتصف بالصفات المذكورة يحصل له أجر الشهيد وإن لم يمت”. (فتح الباري 194/10)

“Lafaz hadith tersebut menunjukkan bahawa sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat yang yang disebutkan itu, maka terhasil baginya pahala syahid walaupun dia tidak meninggal dunia (kerana wabak taun itu).”

20- Inilah kesimpulan yang sangat menarik, seseorang itu tidak perlu mati kerana wabak untuk mendapat pahala syahid.

21- Dia hanya perlu:

(a) Stay at home, patuh kepada tuntutan syarak untuk tidak keluar dari tempat tinggalnya (yang sekarang diistilahkan self-quarantine).

*Ini zahir Syariat.

(b) Sabar dengan musibah yang menimpa dan keadaan berkurung di rumah.

*Ini batin Hakikat.

(c) Mengharapkan pahala dan redha daripada Allah SWT.

*Ini batin Hakikat.

(d) Yakin dengan hakikat bahawa segala-galanya di tangan Allah SWT, tidak akan menimpa kepada dia suatu musibah pun kecuali ianya ketentuan Allah SWT.

*Ini kemuncak keyakinan kepada hakikat.

By |2020-03-31T00:16:14+00:00March 31st, 2020|Aqidah, Isu Semasa|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top