SIRI 1: PERUBATAN ISLAM

Sayyidina Abu Hurairah radiyAllahu anhu berkata Rasulullah salla Allahu alaihi wasallam bersabda bahawa pada hari kiamat Allah subhanahu wa ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, Aku jatuh sakit, kamu tidak pun datang menziarahi-Ku?”

Hamba akan berkata, “Bagaimana aku boleh menziarahi-Mu sedangkan Engkau ialah Rabb ul-‘Alamin (Zat Yang suci daripada segala kekurangan termasuk sakit)?”

Allah subhanahu wa ta’ala menjawab, “Adakah kamu tidak mengetahui bahawa hamba-Ku si polan jatuh sakit? Tidak pun kamu menziarahinya.” Tidakkah kamu mengetahui bahawa jika kamu menziarahinya, kamu akan mendapati Aku ada di sisinya?

Wahai anak Adam Aku meminta makanan daripadamu tetapi kamu tidak memberi makanan kepada-Ku?”

Hamba itu berkata, “Wahai Tuhanku, bagaimana boleh aku memberi makanan kepada-Mu sedangkan Engkau ialah Rabb ul-‘Alamin?”

Allah berfirman, “Tidakkah kamu mengetahui bahawa hamba-Ku si polan telah meminta makanan daripadamu namun kamu tidak memberinya makanan? Adakah kamu tidak tahu bahawa jika kamu memberinya makan pasti kamu mendapati ganjarannya di sisi-Ku?

Wahai anak Adam Aku telah meminta minuman daripadamu tetapi kamu tidak memberi-Ku minum?”

Hamba itu berkata, “Wahai Tuhanku, bagaimana boleh aku memberi-Mu minum sedangkan Engkau ialah Rabb ul-‘Alamin?”

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman, “Hamba-Ku si polan telah meminta daripadamu minuman tetapi kamu tidak memberinya minum. Adapun jika kamu memberinya minum pasti kamu akan mendapati pahalanya di sisi-Ku.” (Muslim: 2569)

Berdasarkan hadis di atas, para ulama berkata bahawa seseorang yang memberi makanan kepada orang yang lapar dan memberi air untuk menghilangkan dahaga orang yang dahaga akan mendapat pahalanya di sisi Allah. Namun, seseorang yang menziarahi orang yang sakit, akan mendapat Allah subhanahu wa ta’ala sendiri. Tiada apa-apa ganjaran yang lebih hebat daripada itu. Maka khulasah dan intipati daripada ilmu perubatan ialah mendapatkan Allah .

Nasihat

Sebelum seseorang doktor memeriksa pesakitnya, pertama sekali doktor itu patut menumpukan perhatiannya kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan memohon petunjuk daripada-Nya serta membaca,
اياك نعبد واياك نستعين
dua atau tiga kali .