BAB 2: AL-QURAN, WAHYU DAN PENURUNANNYA
Makna al-Quran Secara Bahasa dan Istilah
Al-Quran Secara Bahasa
Kalimah al-Quran adalah masdar di atas wazan ghufran ‘غفران‘ dengan makna al-qira’ah (bacaan). Makna ini yang dimaksudkan dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala,
إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ 17 فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ 18
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (al-Qiyamah: 17-18)
Al-Quran Secara Istilah
Ulama mempunyai takrifan yang pelbagai berkenaan al-Quran melihat kepada sudut pandang yang berbeza. Secara ringkas cukup dengan menyatakan al-Quran sebagai ‘الكلام المعجز‘ Kalam yang melemahkan penentangnya.
Adapun takrif yang sesuai mengikut perbahasan kita, iaitu asas bagi pengetahuan umum dan penting yang ringkas berkenaan al-Quran adalah:
القرآن هو كلام الله المنزل على النبي محمد صلى الله عليه وسلّم المكتوب في المصاحف، المنقول بالتواتر، المتعبد بتلاوته، المعجز ولو بسورة منه.
Al-Quran ialah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa sallam, tertulis pada mushaf-mushaf, disampaikan dengan rantaian yang mutawatir, pembacaannya merupakan satu ibadah, dan melemahkan penentangnya walaupun dengan hanya satu surahnya.
Takrif ini mengambil kira syarat-syarat yang merangkumi perkara yang ditakrifkan dan membezakannya daripada perkara selainnya.
Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa sallam,
- Semua kalam selain Kalam Allah ta’ala, walau semulia dan seagung manapun ia, tidak dinamakan sebagai quran, sama ada ianya hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, atau perkataan lain yang terdiri daripada perkataan manusia, jin, atau malaikat, semuanya perkataan ini tidak dinamakan sebagai quran.
- Penyataan ‘diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam’ ialah sebagai membatasinya daripada wahyu yang diturunkan kepada para anbiya sebelum Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam seperti Taurat, Injil, Zabur dan selainnya, ianya tidak dinamakan sebagai quran.
tertulis pada mushaf-mushaf
Ini adalah salah satu ciri khusus al-Quran, ianya dihimpun dan dipelihara dengan penulisan sejak zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di bawah pengawasan dan perhatian Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.
Ketika para Sahabah radhiyallahu ‘anhum menghimpunkan al-Quran dalam satu mushaf, dan beberapa mushaf ditulis pada zaman Sayyidina Usman radhiyallahu ‘anhu, Sahabah radhiyallahu ‘anhum telah bersepakat untuk memasukkan hanya al-Quran ke dalam mushaf dan mengasingkan mushaf dengan selain daripada al-Quran.
Para Sahabah radhiyallahu ‘anhum telah mengatakan,
جرّدوا المصاحف، فمن ادعى قرآنية شيء ليس في المصاحف فدعواه باطلة كاذبة، وهو من المفترين على الله وعلى رسوله.
Hendaklah kamu semua mengasingkan mushaf-mushaf ini (daripada selain al-Quran), maka sesiapa yang mendakwa sebagai ayat quran sesuatu yang tiada dalam mushaf-mushaf ini maka dakwaannya adalah dakwaan yang batil dan dusta, dan dia adalah daripada kalangan mereka yang mengada-adakan sesuatu bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasulnya.
disampaikan secara mutawatir
yakni al-Quran ini telah disampaikan kepada kita oleh satu kumpulan yang ramai yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk melakukan pendustaan dan tidak mungkin berlakunya kesilapan daripada mereka tanpa disengajakan, kumpulan yang ramai sebegini telah menerima al-Quran daripada sekumpulan yang seumpamanya, dan sedemikianlah sehingga susur galurnya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam.
Penyampaian yang sedemikian ini memberi faedah ilmu yaqini iaitu suatu ketetapan dalam diri yang diyakini kebenarannya tanpa dapat disangkal lagi bahawa sesungguhnya al-Quran ini ialah Kalam Allah ta’ala yang diturunkan kepada Nabi-Nya sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam.
Ini ialah satu pengkhususan bagi al-Quran yang tiada pada kitab-kitab samawi yang terdahulu. Kitab-kitab yang terdahulu tiada pemeliharaannya pada penulisan, apatah lagi hafalan, jauh sekali ianya dipindahkan dengan hafalan secara mutawatir dari satu generasi kepada satu generasi.
Adapun al-Quran, Allah subhanahu wa ta’ala telah menjadikan satu keupayaan yang menakjubkan yang ia boleh dihafal dengan hafalan yang mantap, sehingga ada yang hafal tanpa salah walau satu huruf sekalipun.
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (al-Qamar: 17)
Bahkan ada orang ajam (bukan Arab), tidak faham sepatah pun perkataan Arab tetapi mampu untuk menghafal seluruh al-Quran tanpa faham apa yang dibacanya dan tanpa salah.
pembacaannya merupakan satu ibadah
Hanya dengan semata-mata bacaan al-Quran adalah merupakan suatu ibadah yang seorang mukmin itu diganjari, walaupun tanpa niat untuk mendapatkan ganjaran dengan pembacaannya. Sesungguhnya terlalu banyak nas syar’i yang menggesa seseorang itu membaca al-Quran dan menerangkan kelebihan dan besarnya ganjarannya.
Syarat ini mengeluarkan qiraat syazah daripada dikira sebagai al-Quran, kerana semata-mata pembacaannya tidak dikira sebagai ibadah, begitu juga hadis qudsi.
*Al-Quran itu sebagai mu’jiz walaupun dengan hanya satu surah daripadanya*
I’jaz iaitu melemahkan penentangnya untuk ditiru dan ditandingi adalah sebesar-besar khususiat al-Quran sehinggakan jika ditakrifkan secara ringkas dengan sifat ini adalah memadai menunjukkan perbezaannya dengan kitab-kitab lain dan sebagai takrif yang memperkenalkannya.
Al-Quran itu adalah mu’jiz secara keseluruhannya, sepertimana ianya mu’jiz dengan mana-mana surahnya, walaupun sependek-pendek surah.
قال تعالى: قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ، وَلَوْ كانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيراً
Allah subhanahu wa ta’ala berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (al-Isra: 88)
وقال تباركت أسماؤه: وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنا عَلى عَبْدِنا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَداءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صادِقِينَ. فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكافِرِينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (al-Baqarah: 22-23)
I’jaz ini adalah bukti keterangan yang jelas lagi tidak dapat disangkal menunjukkan bahawa al-Quran itu adalah kalam Allah dan sesungguhnya ia adalah kebenaran yang wajib diimani dan diikuti serta tidak disalahi dan diingkari.
قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم:
كتاب الله فِيهِ نبأ مَا كَانَ قبلكُمْ وَخبر مَا بعدكم وَحُكْم مَا بَيْنكُم
وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنِ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ
وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ
هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ
وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلِقُ على كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا يَنْقَضِي عَجَائِبُهُ
هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا (إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنا بِهِ)
مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ
وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هُدِيَ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ» .
رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَالدَّارِمِيُّ وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ: هَذَا حَدِيثٌ إِسْنَادُهُ مَجْهُولٌ وَفِي الْحَارِث مقَال (المشكاة)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
“Kitab Allah, padanya berita hal keadaan orang-orang sebelum kamu dan perkhabaran tentang perkara yang akan berlaku selepas kamu, serta hukum bagi perkara yang telah, sedang dan akan berlaku dalam kalangan kamu (berkaitan keimanan, ketaatan, halal haram dan syariat Islam.)
Al-Quran itu adalah pemutus antara haq dan batil, bukan olok-olok bahkan sungguh lagi benar. Sesiapa yang meninggalkannya (daripada membenarkannya atau beramal dengannya) daripada kalangan penzalim maka Allah subhanahu wa ta’ala akan membinasakannya. Siapa yang mencari hidayah pada selainnya maka Allah akan menyesatkannya.
Al-Quran itu tali Allah yang teguh. Ia adalah peringatan dan ingatan (zikir) yang mengandungi hikmah lagi teguh. Ia adalah jalan yang lurus.
Al-Quran itu, keinginan dan hawa nafsu tidak terpesong dan menyeleweng dengan mengikutinya dan pengikut hawa nafsu itu tidak mampu mengubah dan memalsukannya. Lidah-lidah pembacanya tidak akan tergeliat sukar membacanya dan selainnya tidak akan bercampur dengannya.
Para ulama tidak kan pernah kenyang dengannya dan tidak kan lapuk dan jemu walaupun berulangkan kali mengulanginya, dan tidak akan berkesudahan keajaibannya.
Al-Quran itu, yang jin tidak berlengah ketika mendengarnya mengucapkan, “Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya,”
Sesiapa yang berbicara mengikut kehendak al-Quran dan memberi perkhabarannya maka dia telah berkata benar, sesiapa yang beramal dengan ketentuan dan petunjuknya maka dia pasti diganjari dan sesiapa yang menghakimi berdasarkan hukumnya maka dia telah berlaku adil.
Sesiapa yang menyeru (makhluk) untuk beriman dan beramal dengannya dia pasti akan diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.
NAMA AL-QURAN
Al-Quran
Lafaz Al-Quran adalah nama yang paling masyhur bagi al-Quran al-Karim, bahkan ia adalah kata nama khas bagi kitab yang mulia ini. Al-Quran mempunyai banyak lagi nama-nama lain yang menunjukkan keistimewaan-keistimewaan al-Quran, kelebihan-kelebihannya atau maksud dan tujuannya. Para ulama telah memberi perhatian khusus untuk mengira, mengkaji dan menerangkan nama-nama ini.
Al-Kitab
Antara nama yang masyhur juga adalah al-Kitab. Syaikh Dr. Muhammad Abdullah Diraz dalam kitab beliau ‘An-Naba’ al-Azhim’ menyatakan bahawa kedua-dua nama ini yakni al-Quran dan al-Kitab mengisyaratkan bahawa adalah menjadi hak al-Quran itu diberi tumpuan penjagaannya kepada kedua-dua aspek hafalan dan penulisan, tidak hanya kepada satu sahaja.
Begitu juga, kesahihan penulisan al-Quran seseorang itu tidak dapat dijamin sehinggalah ianya menepati bacaan para hafiz al-Quran dengan rantaian sanadnya yang sahih lagi mutawatir.
Dengan perhatian berkembar ini, yang Allah subhanahu wa ta’ala telah utuskannya dalam diri umat Muhammad sebagai ikutan kepada Nabinya maka al-Quran itu kekal terpelihara dalam jagaan yang rapi lagi kukuh, dalam melaksanakan janji Allah yang Dia sendiri telah mengambil tanggungjawab untuk menjaga al-Quran.
Firman Allah,
إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al-Hijr: 9)
Al-Quran tidak ditimpa dengan perkara yang menimpa kitab-kitab sebelumnya yang telah diselewengkan, diubah dan terputus sanadnya. Allah subhanahu wa ta’ala tidak menjamin penjagaannya bahkan telah menyerahkan pemeliharannya kepada manusia.
Firman Allah,
وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ ۚ
dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). (al-Ma’idah: 44)
Rahsia Ilahi dalam perbezaan ini ialah bahawa kitab-kitab samawi yang lain diturunkan untuk tempoh waktu terhad sedangkan al-Quran untuk selamanya. Quran juga datang sebagai membenarkan kitab-kitab terdahulu dan menguatkannya, oleh itu ia mengumpulkan kebenaran-kebenaran yang terdapat dalamnya, dan terdapat tambahan padanya daripada kitab-kitab terdahulu pada perkara yang dikehendaki oleh Allah akan tambahannya. Oleh itu, ia menampung dan menggantikan apa-apa yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu dan tiada yang dapat menggantinya.
An-Nur (Cahaya)
يا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جاءَكُمْ بُرْهانٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَأَنْزَلْنا إِلَيْكُمْ نُوراً مُبِيناً
Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak). (an-Nisa: 174)
Al-Furqan (Pembeza)
تَبارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقانَ عَلى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعالَمِينَ نَذِيراً
Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (al-Furqan: 1)