Adakah hadis yang melarang daripada meminta-minta?
JAWAPAN
Terdapat banyak peringatan di dalam Hadis tentang larangan daripada sifat meminta-minta.
Antaranya adalah seperti berikut:
1) Sayyiduna Abu Sa’id Al Khudri (radiyallahu ‘anhu) berkata,
Sebilangan orang-orang Ansar meminta sesuatu dari Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wa sallam), dan baginda memberikannya kepada mereka. Kemudian mereka meminta lagi kepada baginda dan baginda memberi mereka sehingga baginda menghabiskan semua yang dimilikinya. Baginda kemudian bersabda, “Sekiranya saya mempunyai apa-apa lagi, saya tidak akan menahannya dari kalian. Barangsiapa yang menjaga dirinya dengan tidak meminta-minta, maka Allah akan memeliharanya daripada terpaksa meminta. Siapa pun dari kalian yang merasa cukup, maka Allah akan mencukupinya.”
(Sahih Bukhari, Hadis: 1469)
2) Sayyiduna Abu Hurayrah (radiyallahu ‘anhu) melaporkan bahawa Nabi (sallallahu‘ alayhi wa sallam) mengatakan:
“Demi Dia yang nyawaku ditanganNya, sungguh lebih baik orang yang membawa tali, kemudian mengambil kayu api dan memikulnya di atas belakangnya, daripada orang yang meminta-minta kepada seseorang yang kemungkinan dia diberi atau ditolak.”
(Sahih Bukhari, Hadis: 1470 dan Sahih Muslim, Hadis: 1042)
3) Sayyiduna Hakim ibn Hizam (radiyallahu ‘anhu) mengatakan:
“Saya telah datang berjumpa Nabi (sallallahu ‘alayhi wa sallam) dan meminta sesuatu. Baginda (sallallahu ‘alayhi wa sallam) telah memberi kepadaku. Pada waktu yang lain saya telah datang dan meminta lagi kali kedua dan ketiga. Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wa sallam) pun memberikannya lagi. Pada kali ketiga Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wa sallam) bersabda,
“Wahai Hakim, harta ini segar dan manis. Sesiapa yang mendapatkan harta (tanpa perasaan tamak) akan diberi keberkatan di dalamnya. Tetapi sesiapa yang mendapatkan harta dengan tamak maka harta itu tidak akan diberkati, seperti seseorang yang makan tetapi tidak berasa kenyang. Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada yang di bawah (yang menerima).”
Hakim (radiyallahu ‘anhu) berkata,“ Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, demi Dia yang mengutus kamu dengan kebenaran, aku tidak akan pernah meminta apa-apa lagi kepada sesiapa pun hingga aku meninggalkan dunia ini.’ ”…
(Sahih Bukhari, Hadis: 1472)
4) Sayyiduna ‘Abdullah bin‘ Umar (radiyallahu ‘anhu) melaporkan bahawa Nabi (sallallahu‘ alayhi wa sallam) mengatakan:
“Seseorang yang selalu meminta-minta kepada orang lain, di hari kiamat ia akan menghadap Allah dalam keadaan tiada sekerat daging sama sekali di wajahnya”
(Sahih Bukhari, Hadis: 1474 dan Sahih Muslim, Hadis: 1040)
Catatan: Amaran di atas adalah untuk mereka yang mampu mencari nafkah, dan dengan itu tidak mempunyai alasan untuk meminta-minta.
Namun, ketika kita didekati oleh pengemis, kita tidak boleh mencela mereka. Sama ada kita menderma sesuatu atau bercakap apa yang baik atau dengan sopan meminta diri.
Dan Allah Taala lebih mengetahui
Dijawab oleh: Moulana Suhail Motala