Home/Hadis/Penjelasan Mengenai Taraf Hadis dalam Kitab Fadilat Amal

Penjelasan Mengenai Taraf Hadis dalam Kitab Fadilat Amal

Di sini dimuatkan hasil kajian terhadap:

  1. Fadilat Solah
  2. Fadilat Zikir

FADILAT SOLAH

Berikut merupakan kesimpulan daripada “Kajian 40 Hadith di dalam Kitab Fadāil al-Solah” oleh al-Allāmah al-Muhaddis al-Syeikh Muhammad Zakariyā al-Kandahlawī yang dihasilkan oleh para pelajar Ilmu Hadis di bawah bimbingan Dr. Asmadi Sakat (UKM):

Berdasarkan kepada latar belakang pengarang, beliau merupakan seorang ulama yang terkenal di dalam bidang hadis sehingga beliau digelar sebagai Ra’is al-Syeikh al-Allamah al-Muhaddis.

Maulana Muhammad Zakariya memiliki 2 manhaj dan metode penulisan iaitu manhaj penulisan untuk orang awam dan manhaj penulisan untuk alim ulama yang mana setiap daripada kedua-duanya memiliki kaedah dan caranya yang tersendiri dalam menyampaikan penulisan.

Dalam permasalahan Hadis daif, beliau berpegang dengan pendapat jumhur muhaddith bahawa harus menyebut Hadis daif tanpa menyebut keterangan sebab kelemahannya dengan syarat Hadis tersebut tidak bersangkut atau ada kaitan dengan permasalahan aqidah, halal dan haram, hukum-hukum syariah. Juga untuk pengajaran, taghrib dan tarhib, kelebihan-kelebihan amal dan yang seumpama dengannya. Boleh beramal dengan Hadis daif hanya dalam urusan fadāil (kelebihan-kelebihan amal), al-manāqib, al-targhib wa al-tarhīb (galakan kepada amalan dan ancaman meninggalkan amalan) sahaja dan tidak boleh beramal dengannya dalam urusan halal dan haram terutamanya urusan aqidah.

Para ulama Hadis telah sebulat suara bahawa terdapat Hadis yang boleh dinaik taraf martabat atau statusnya ke satu taraf yang lebih tinggi dari martabatnya yang asal dengan syarat kelemahan Hadis tersebut hendaklah lemah yang sederhana.

Jenis-jenis Hadis yang boleh dinaik taraf martabatnya kepada darjat yang lebih tinggi daripada darjatnya yang asal ialah:

  • Hadis al-hasan lizatih
  • Hadis al-hasan li ghairih
  • Hadis al-mu’allaq
  • Hadis al-mursal
  • Hadis al-mu’dal
  • Hadis al-munqati’
  • Hadis almudallas
  • Hadis al-mursal al-khafie
  • Hadis majhul al-hal
  • Hadis majhul al-‘ain
  • Hadis al-mubham
  • Hadis al-mukhtalit
  • Hadis al-mutalaqqin

Hadis daripada perawi yang berdusta, dituduh sebagai pendusta, fasiq, Hadis al-syaz dan Hadis al-ma’lul merupakan klasifikasi-klasifikasi Hadis yang tidak dapat dinaik taraf kedudukannya kepada hasan li ghairih disebabkan terlalu lemah dan riwayat-riwayat yang lain tidak dapat mengangkatnya kepada kedudukan yang lebih tinggai dari kedudukannya yang asal.

Jenis-jenis Hadis yang tidak boleh dinaik taraf ialah:

  • Hadis mawdu’
  • Hadis al-matruk
  • Hadis al-munkar
  • Hadis al-syaz dengan jenis-jenis iaitu:
    • almudraj
    • al-mudtarib
    • al-musahhaf
    • al-muharraf
    • al-ma’lul

Dapatan daripada penelitian penulis, daripada 40 Hadis yang terdapat di dalam Fadilat Solah,

  • Hadis Sahih : Hadis 1, 3, 11, 12, 14, 18, 19, 20, 24, 25, 27 dan 32.
  • Hadis Hasan :  Hadis 2, 4, 6, 7, 21, 22, 23, 28 dan 31.
  • Hadis yang berstatus hasan selepas dikuatkan dengan riwayat sokongan : Hadis 5, 8, 9 dan 10.
  • Hadis yang berstatus daif tetapi boleh digunakan dalam konteks al-tarhīb : Hadis 13, 16, 17, 26 dan 29.
  • Kata-kata ulama yang terdapat di dalam kitab ini yang mana sesuai bagi tujuan al-tarhīb : Hadis 15.
  • Hadis yang ke 30 penulis tawaqufkan penilaian terhadapnya kerana tidak menemui kitab asal bagi Hadis tersebut.

Saranan dan Cadangan

Semua pihak termasuk para ulama dan ahli agama seharusnya memberi perhatian dan mengambil berat mengenai metode Hadis mutāba’at dan syawāhid sebagai riwayat sokongan yang menjadi salah satu faktor pemangkin kenaikan taraf Hadis yang berstatus daif kepada hasan li ghairih.

Daripada penganalisaan yang telah dibuat, penulis mendapati jumhur ulama di dalam beramal dengan hadis daif mengenakan beberapa syarat tertentu. Lantaran itu, janganlah terlalu cepat menolak sesuatu hadis disebabkan kelemahannya kerana kadangkala apa yang dikatakan sebagai kelemahan itu hanyalah pada sanadnya sahaja sedangkan matannya sahih dan selari dengan nas al-Quran atau dibantu oleh hadis sahih yang lain atau terdapat hadis lain daripada jalan riwayat yang lain yang boleh meningkatkan kedudukan hadis tersebut.

Berdasarkan kajian penulis terhadap buku karangan Mawlana Zakariya penulis mendapati terdapat beberapa buah Hadis daif yang terkandung di dalam buku tersebut. Namun begitu Hadis daif yang dikemukakan oleh beliau tidak terlalu daif dan tidak bercanggah dengan dalil-dalil syariat. Di samping itu beliau juga telah mengemukakan dalil-dalil samada dari al-Quran atau alsunnah yang lain untuk menyokong dan mengukuhkan Hadis yang utama.

Penulis juga mendapati bahawa pengarang telah mengikuti metodologi para ulama hadis yang terdahulu dalam mengukuhkan Hadis. Pengunaan Hadis daif oleh beliau dalam kitabnya tidak bercanggah dengan syarat para ulama Hadis yang terdahulu. Oleh itu, dakwaan yang mengatakan bahawa kitab-kitab karangan beliau tidak boleh dipakai adalah tidak benar dan tidak berasas.

Umat Islam seharusnya mengelakkan serta menjauhkan diri daripada mengeluarkan sesuatu kenyataan yang mengelirukan sekiranya perkara tersebut berada di luar kepakaran dan pengetahuan mereka.

Cadangan penulis kepada sesiapa yang ingin membuat kajian mengenai tajuk ini hendaklah memahami manhaj dan metode yang digunapakai oleh al-Kandahlawī serta menguasai kitab-kitab sumber asli bagi menjadikan kajian tersebut lebih berkualiti dan bermutu tinggi.

Kesimpulan

Pengaplikasian metode Hadis mutāba’at dan syawahid sebagai riwayat sokongan yang menjadi salah satu faktor pemangkin kenaikan taraf Hadis yang berstatus daif kepada hasan li ghairih merupakan manhaj yang digunapakai oleh al-Kandahlawī dan ulama sebelumnya dalam bidang penulisan Hadis. Cara ini dilakukan menunjukkan kealiman dan kepakaran beliau di dalam bidang Hadis. Sehubungan dengan itu manhaj ini boleh digunapakai sekiranya seseorang itu benar-benar mahir dalam bidang takhrij Hadis.

FADILAT ZIKIR

Selain Kitab Fadilat Solah, kitab Fadilat Zikir juga telah disemak di bawah seliaan Dr. Asmadi.

Setelah selesai kajian terhadap 40 Hadis di dalam kitab Fadilat Zikir, penulis dapat membuat beberapa kesimpulan, iaitu:-

  1. Penulis mendapati pengarang hanya merujuk kepada sumber yang asal iaitu pengarang memetik Hadis daripada kitab-kitab yang dikarang oleh ulama’ Hadis yang muktabar seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidhi, Abu Dawud, al-Nasa’i, Imam Ahmad dan yang lain tanpa merujuk kepada Hadis bukan daripada sumber asal. Antara implikasi menukilkan Hadis bukan daripada sumber asal iaitu kitab-kitab Hadis ialah tidak dapat memastikan kesahihan sesuatu Hadis secara pasti, malah hanya berdasarkan keyakinan kepada pengarang yang dirujuk.
  2. Dalam penulisan Hadis pengarang mengunakan kaedah meletak sanad, matan dan hukum Hadis tersebut. Dalam meriwayatkan dan menukilkan sesebuah Hadis dalam kitabnya beliau akan menyatakan sanad Hadis tersebut dari pembuku Hadis sehinggalah kepada Rasulullah s.a.w seperti dalam kitabnya Awjaz al-Masalik, selepas menyatakan matan Hadis tersebut beliau menjelaskan jenis dan hukum Hadis tersebut samada mursal, munqati’, daif, sahih dan sebagainya.
  3. Pengarang memilih Hadis dari Hadis sahih hingga Hadis yang berstatus daif, namun demikian, penulis tidak mengesan walau satu pun Hadis yang berstatus mawduk iaitu berstatus palsu.
  4. Walaupun satu-satu Hadis berstatus daif yang dipetik pengarang, namun setiap Hadis tersebut mempunyai riwayat mutābaat dan syawahid yang berfungsi sebagai riwayat sokongan yang menjadi salah satu faktor pemangkin kenaikan taraf Hadis yang berstatus daif kepada hasan li ghairih. Ini merupakan antara tujuan asal kajian ini dibuat iaitu untuk mengenalpasti dan mengkaji metod penulisan dan penyusunan kitab oleh Shaykh al-Hadis Mawlānā Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi.
  5. Shaykh al-Hadis Mawlānā Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi berpegang kepada pendapat jumhur yang membolehkan penggunaan hadis daif untuk Fadilat Amal.

Penukilan Hadis daripada sudut sumber

Sumber daripada kitab Hadis

Hasil kajian mendapati 40 buah Hadis atau 100% dinuqil dari kitab-kitab Hadis. Walaubagaimanapun, dua kitab Hadis utama iaitu sahih al-Bukhari atau sahih Muslim tidak dinyatakan disini kerana seperti yang dinyatakan sebelum ini, penulis tidak memetik Hadis dari dua kitab sahih ini kerana tumpuan hanya diberikan kepada sanad-sanad selain sanad dari Imam al-Bukhari atau Imam Muslim sahaja. Jumlah keseluruhan Hadis dari kitab Fadilat Zikir berjumlah 80 Hadis dan hampir keseluruhan 40 Hadis yang tidak dipetik oleh penulis adalah merupakan sumber daripada dua kitab sahih ini.

Berikut adalah perincian Hadis yang dikaji:

  • Sunan al-Tirmidhi Hadis bernombor 1, 2, 9, 13, 14, 17, 30, 31, 34 dan 40.
  • Musnad Ahmad Hadis bernombor 6, 7, 11, 12, 18, 20, 27, 35 dan 37.
  • Al-Mu’jam al-kabir oleh al-Tabrani Hadis bernombor 3, 4, 21, 22, 26 dan 28.
  • Sunan ibn Majah Hadis bernombor 24, 29, 32, 38 dan 39.
  • Sunan al-Nasa’i Hadis bernombor 15 dan 36.
  • Mustadrak al-Hakim Hadis bernombor 16 dan 33.
  • Musnad Abu Yala Hadis bernombor 19 dan 25.

Status Hadis

Analisis terhadap 40 Hadis di dalam kitab ini mengikut hukum setiap Hadis dapat dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu:-

  • Hadis Sahih : 14 Hadis iaitu 35%
  • Hadis Hasan : 13 Hadis iaitu 32.5%
  • Hadis Daif : 13 Hadis iaitu 32.5%
  • Hadis Mawdu : 0 Hadis iaitu 0%

Kesimpulan Dan Saranan

Fadilat Zikir merupakan satu bahagian dari kitab fadilat amal yang digunakan oleh pengikut jemmah Tabligh di seluruh dunia dan kitab ini telah diterjemah hampir kesemua bahasa di dunia ini.

Hasil kajian daripada 40 Hadis dalam kitab ini, didapati bahawa jumlah bilangan Hadis Sahih dan Hadis Hasan berjumlah 27 Hadis, jumlah ini tidak termasuk Hadis baki 40 Hadis yang tidak sempat dikaji oleh penulis iaitu majoriti Hadis tersebut dinuqil dari dua kitab Hadis utama Hadis iaitu sahih al-Bukhari atau sahih Muslim. Setelah kajian ini dibuat, tiada satu pun Hadis mawduk yang dapat dijumpai, ini bermakna tiada masalah bagi kita semua untuk terus membaca dan membuat kajian tentang kitab ini lagi.

Penulis ingin memberikan beberapa cadangan dan saranan iaitu:

  1. Kitab ini hendaklah dijadikan bahan wajib bacaan harian samada dibaca dirumah,masjid atau disurau kerana kitab ini hanya membicarakan tentang kelebihan amal dan galakan dalam beribadat tanpa menyentuh isu-isu khilafiah yang hanya layak dibicarakan oleh alim ulama’ sahaja. Selain itu, Shaykh al-Hadis Mawlānā Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi mensyarahkan sesuatu Hadis menggunakan bahasa yang mudah dan senang difahami oleh orang awam dalam memahami maksud Hadis.
  2. Mengadakan seminar dan diskusi karya tulisan Shaykh al-Hadis Mawlānā Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi bagi mendedahkan kepentingan pengajian Hadis secara riwayah dan dirayah kepada ulama semasa dan masyarakat.
  3. Mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi mengumpulkan kajian mengenai semua Hadis kitab ini seterusnya dicetak dengan menyertakan ulasan mengenai setiap Hadis berkaitan.
  4. Kajian Takhrij Hadis perlu didedahkan kepada masyarakat dengan mengeluarkan artikel-artikel berkaitan di dalam majalah dan akhbar.

Akhirnya penulis memohon beribu kemaafan di atas segala kekurangan yang ada di dalam kajian ini. Penulis berpendirian bahawa pendapat penulis yang terdapat dalam kajian ini sekiranya bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi SAW yang sahih, maka penulis kembali merujuk kepada kedua-duanya. Penulis juga bersedia menerima sebarang teguran dan pandangan untuk kebaikan bersama serta Islam yang tercinta ini.

Semoga kajian ini dengan izin Allah SWT dapat memberi manfaat kepada pencinta ilmu dan umat Islam di seluruh dunia serta menjadi amalan jariah kepada penulisnya.

Oleh: Ustaz Faris Alwi

MORAL

Sebelum kitab ini disebarkan kepada umum, ianya telah disemak oleh para ulama Deobandi terutama di Mazahirul Ulum Sahanranpur.

Adapun persoalan, mengapa kitab ini dikatakan mengandungi hadis palsu, ianya adalah kerana ahli hadis yang berpegang kepada pendapat yang syadid (keras) sedangkan ada ulama hadis meletakkan hadis itu sebagai daif, bukan palsu.

Jemaah Tabligh telah hampir 20 tahun menjadikan kitab ini sebagai bacaan untuk tujuan TARGHIB (galakan) dan TARHIB (ancaman). Maka, telah berjuta-juta manusia telah mendapat kesedaran akan kepentingan mendirikan solat berjemaah di masjid pada awal waktu, melazimi bacaan al Quran dan menghantar anak ke madrasah untuk belajar alim dan menjadi hafiz.

Banyak lagi jasa kitab ini kepada umat Islam.

(Sumber: Daripada Kajian yang dijalankan oleh pelajar ilmu hadis Jabatan al-Quran dan as-Sunnah di bawah seliaan Dr. Asmadi Sakat)

By |2022-03-11T04:42:46+00:00March 11th, 2022|Hadis|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top