Home/Pengajian Takhassus Tafsir/Mengenali Mufassirin – Sayyidina Abdullah Bin Mas’ud

Mengenali Mufassirin – Sayyidina Abdullah Bin Mas’ud

MENGENALI MUFASSIRIN DI KALANGAN PARA SAHABAT

SAYYIDINA ABDULLAH BIN MAS’UD RADIYALLAHU’ANHU

  • Beliau bernama ‘Abdullah bin Mas’ud bin Ghafil, beliau juga dikenali dengan panggilan Abu ‘Abdurrahman Al-Huzali.
  • Ibu beliau bernama Ummu ‘Abad binti ‘Abdud dari Bani Huzail, kadang kala Sayyidina Ibnu Mas’ud akan dikenali dengan panggilan Ibnu Ummi ‘Abad.
  • Sebahagian Ulama’ mengatakan Sayyidina Ibnu Mas’ud merupakan seorang yang rendah dan kurus, beliau merupakan antara mereka yang awal memeluk islam.
  • Beliau juga merupakan orang pertama selepas Nabi sallallahu’alaihi wa sallam yang membaca Al-Quran secara lantang dan memperdengarkannya kepada orang-orang Quraisy. Disebabkan tindakan tersebut beliau telah disakiti oleh mereka.
  • Setelah memeluk Islam beliau telah diambil oleh Nabi lalu mendapat peluang untuk berkhidmat kepada Baginda dalam urusan-urusan Baginda. Sayyidina Abu Musa al-Asy’ari antara sahabat yang mengatakan sering melihat beliau dan ibunya keluar masuk ke rumah Baginda.
  • Hampir setiap peperangan yang disertai oleh Nabi dapat beliau sertai, begitu juga dalam kebanyakan peristiwa bersama Nabi. Beliau juga ada semasa Peperangan Yarmuk selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  • Di zaman pemerintahan Sayyidina Umar dan Sayyidina ‘Usman beliau ditugaskan menjaga baitulmal di Kufah.
  • Di akhir umurnya, beliau telah datang ke Madinah dan wafat di sana pada tahun 32 dan dimaqamkan di perkuburan Baqi’ atas wasiat yang beliau tinggalkan. Umur beliau ketika itu sudah mencecah 60-an.
  • Dr. Muhammad Husain Az-Zahabi menulis di dalam kitab At-Tafsir wal Mufassirun bahawa Sayyidina Ibnu Mas’ud merupakan sahabat Baginda yang paling ingat Al-Quran dan Baginda sendiri suka mendengar bacaan Al-Quran beliau sehingga ada riwayat yang menyatakan bahawa Baginda menyuruh untuk membaca Al-Quran seperti bacaan Sayyidina Ibnu Mas’ud.
  • Selepas Sayyidina Ibnu ‘Abbas, Sayyidina Ibnu Mas’ud merupakan sahabat kedua yang banyak meriwayatkan tafsir Al-Quran. Imam As-Suyuti di dalam kitab Al-Itqaan menyebut bahawa riwayat Sayyidina Ibnu Mas’ud dalam tafsir lebih banyak daripada Sayyidina Ali radiyallahu ‘anhu.

والله أعلم بالصواب و علمه أعم و أتم

Sumber: التفسير و المفسرون لالدكتور محمد حسين الذهبي

Oleh: Ustaz Syahin Amal Bin Shukor
Pengajian Takhassus Tafsir Al-Quran

Kembali ke Senarai Artikel Pengajian Takhassus Tafsir

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top