Home/Fiqh, Soal Jawab, Zakat/Pengambilan Zakat oleh Pelajar Agama Dewasa

Pengambilan Zakat oleh Pelajar Agama Dewasa

Adakah seorang pelajar agama dewasa yang dibayar yurannya dibenarkan mengambil zakat atau isbat yang berpunca dari zakat atas Asnaf Fakir Miskin atau Asnaf Fi Sabilillah?

Poin 1: Fi Sabilillah bermaksud tentera yang berperang secara sukarela tanpa gaji.
Poin 2: Mereka yang terhalang dari bekerja kerana belajar ilmu agama, menghafal Quran, belajar Hadis, Fekah serta ilmu alat maka wajib bapanya menanggung nafkahnya walaupun dia telah dewasa.
Poin 3: Antara orang yang tidak boleh mengambil zakat ialah المكفي بنفقة واجبة iaitu orang yang keperluannya cukup kerana ditanggung oleh pemberian nafkah wajib (pembayaran yuran sebenarnya adalah nafkah yang wajib atas bapa berdasarkan poin 2 di atas).

Maka keluarlah keputusan jawapan: Pelajar yang ditanggung dengan nafkah yang wajib oleh bapanya tidak boleh mengambil zakat atas Asnaf Fakir Miskin dan tidak boleh dari Asnaf Fi Sabilillah berdasarkan Mazhab Shafii.

Namun ada jalan keluar bagi keadaan ini berdasarkan kepada penerangan di bawah.

Asas kepada kenyataan “pelajar agama yang dibayar yuran dan ditanggung nafkah oleh ayahnya tidak boleh menerima zakat” adalah kaedah dalam bab zakat

‎المكفي بنفقة واجبة لا يأخذ الزكاة من سهام الفقراء و المساكين

Mereka yang nafkahnya cukup dan ditanggung secara wajib tidak boleh mengambil zakat melalui bahagian Asnaf Fakir Miskin.

Berdasarkan rujukan kepada kitab Tuhfah masalah ini adalah cetusan bahas dari Imam Azraei. Beliau yang mula mengeluarkan hukum bahawa dalam bab ini nafkahnya wajib.

Manakala Imam Ibnu Hajar al-Haytamie tidak menyatakan ketika mengulas pandangan tersebut dengan katanya وهو محتمل ” fatwa Azraie ada ihtimal benarnya ” iaitu apabila diqiyaskan dengan bab zakat yang menyatakan kesibukan dengan menuntut ilmu agama sehingga tidak mampu bekerja menjadikan seseorang itu fakir dan layak terima zakat maka begitu juga kesibukan tersebut menjadikan anak itu dikira lemah dari bekerja lalu mewajibkan ayahnya menanggung nafkahnya

‎وبحث الأذرعي وجوبها لفرع كبير لم تجر عادته بالكسب، أو شغله عنه اشتغال بالعلم أخذا مما مر في قسم الصدقات انتهى. وهو محتمل ويحتمل الفرق بأن الزكاة مواساة خارجة منه على كل تقدير فصرفت لهذين لأنهما من جنس من يواسي منها، والإنفاق واجب فلا بد من تحقق إيجابه وهو في الفرع العجز لا غير كما يصرح به كلامهم

Namun Imam Ibnu Hajar al-Haytamie mengulas lagi ada ihtimal juga masalah nafkah ini tidak boleh diqiyaskan dengan zakat kerana zakat konsepnya muwasah dan membantu manakala dalam bab nafkah perlu nyata sebab wajibnya.

Yang menyatakan bahawa muktamadnya wajib dalam bab nafkah adalah muhasyi kitab Tuhfah ,Sheikh Syarwani dan Sheikh Ali Syabramallisi

‎ (قوله: أو شغله عنه إلخ) المعتمد الوجوب حينئذ لكن بشرط أن يستفيد من الاشتغال فائدة يعتد بها عرفا بين المشتغلين ويظهر فيمن حفظ القرآن، ثم نسيه بعد البلوغ وكان اشتغاله بحفظه يمنعه من الكسب، إن اشتغاله بالحفظ حينئذ كالاشتغال بالعلم إن لم يتيسر الحفظ في غير أوقات الكسب اهـ.
‎ (قوله: وهو محتمل) أقول بحثه في الثاني متجه بخلافه في الأول فإنه بعيد جدا ثم رأيت الفاضل المحشي كتب ما نصه قوله: ويحتمل الفرق إلخ ظاهره بالنسبة للصورتين وخصه م ر بالثانية اهـ.
‎سيد عمر

Maka kesimpulannya masalah ini ada khilaf dan jika kita kembalikan kepada asal maka asalnya bapa tidak wajib tanggung nafkah anak yang sudah mampu bekerja secara mutlak

Berdasarkan pendapat bapa tidak wajib tanggung nafkah anak dewasa yang belajar agama.
1. Bapa tidak wajib menanggung zakat fitrah anak tersebut
2. Pembayaran oleh bapa bagi pihak anak tersebut tidak sah tanpa izinnya
3. Anak tersebut boleh ambil zakat dan isbat
4. Saraan ayah hanya berbentuk ihsan

Berdasarkan pendapat bapa wajib tanggung nafkah anak dewasa yang belajar agama.
1. Bapa wajib menanggung fitrah anak tersebut
2. Pembayarannya tidak perlu izin
3. Anak tersebut tidak boleh mengambil zakat dari bahagian fakir dan miskin
4. Saraan ayah terhadapnya hukumnya wajib

# Pendapat mana lebih untung? Boleh ditaqlid salah satu.

Oleh : Ustaz Ahmad Lutfi Bin Muharam.

By |2022-04-10T11:16:26+00:00April 10th, 2022|Fiqh, Soal Jawab, Zakat|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top