Zakat KWSP menurut Pandangan Mazhab Syafie

1. Ulama fiqh sepakat mengatakan bahawa seorang yang memiliki harta wajibdikeluarkan zakatnya apabila cukup nisab dan haul.

2. Konsep caruman KWSP adalah suatu yang baharu, ia tidak ada pada zaman dulu, dan sudah semestinya ia tidak dibincang secara khusus dalam kitab turath Mazhab.

Tetapi dalam kitab turath Mazhab ada membincangkan secara khusus dan terperinci terhadap zakat bagi berapa perkara yang ada persamaannya dengan zakat KWSP. Maka suatu yang ada persamaan dengan suatu perkara yang lain ia mengambil hukum yang sama.

3. Antara perkara yang dibincang dalam kitab turath Mazhab yang ada persamaan dengan zakat KWSP ialah zakat harta yang dirampas, zakat harta yang dicuri, zakat harta yang hilang, zakat hutang yang penghutang tidak ingin membayarnya, zakat hutang yang telah sampai masa pembayarannya namun penghutang tidak mampu untuk membayarnya, zakat hutang yang belum sampai masa pembayarannya yang diharapkan pembayarannya dan yang tidak diharapkan pembayarannya dan lain-lain lagi.

4. KWSP adalah milik pencarum namun ia tidak boleh dikeluarkan melainkan apabila pencarum telah mencapai umur tertentu atau dengan syarat-syarat tertentu.

Antara perkara yang banyak persamaan dengan KWSP yang telah dibincang dalam kitab Turath Mazhab adalah hutang yang dipersetujui pembayarannya setelah tempoh tertentu.

Jadi, kita cuba perincikan zakat hutang yang disebut dalam kitab Mazhab. dan hukum zakat hutang itu kita akan letakkan pada KWSP.

5. Apa yang disebut didalam kitab turath Mazhab berkenaat zakat hutang adalah seperti dibawah :

a) Hutang yang telah sampai masanya dan penghutang mampu untuk membayarnya dan boleh pemiutang mengambilnya namun pemiutang belum lagi menuntut hutang tersebut.

HUKUMNYA: Wajib dikeluarkan zakat hutang tersebut apabila cukup haul dan cukup nisab samaada hutang itu sendiri yang cukup nisab atau cukup nisab dengan dicampur dengan harta pemiutang yang lain.

Bermaknanya, KWSP yang boleh dikeluarkan tetapi pencarum masih lagi tidak mengeluarkannya, apabil cukup setahun dari tempoh boleh dikeluarkan itu maka wajib dibayar zakatnya 2.5% dengan segera jika kadar yang boleh dikeluarkan itu cukup nisab atau cukup nisab apabila dicampur dengan hartanya yang lain.

b) Hutang yang bertangguh belum sampai waktu bayar.

(i) Pandangan Muktamad Mazhab Syafei, wajib bayar zakatnya, namun pembayaran zakatnya itu diwajibkan setelah pemiutang dapat mengambilnya, dan wajib dikeluarkan zakat hutang itu untuk semua tahun-tahun yang sebelumnya. ( Ini adalah pandangan Muktamad Mazhab Syafei )

Jadi berdasarkan pandangan diatas bermaknanya KWSP yang belum boleh dikeluarkan maka tetap wajib dibayar zakatnya, namun pembayarannya itu wajib dilakukan apabila dapat dikeluarkannya nanti, dan wajib dibayar untuk semua tahun-tahun yang sebelumnya yang telah cukup nisab.

# Untuk mengelak daripada terbeban dengan timbunan zakat yang perlu dibayar sekaligus setelah dapat dikeluarkan nanti maka pencarum boleh membayar zakat KWSP setiap tahun dengan duit lain sebanyak 2.5% dari jumlah caruman KWSP.

# Atau pihak KWSP yang mengeluarkan zakat setiap tahun bagi pihak pencarum seperti yang diamalkan oleh Tabung haji melalui akad wakalah. Tetapi akad wakalah perlu jelas dan perlu mendapat persetujuan daripada pihak pencarum.

(ii) Pandangan yang kedua dalam Mazhab Syafei ialah tidak wajib dibayar zakatnya melainkan setelah diterima pembayaran tersebut serta kadarnya cukup nisab atau cukup nisab setelah dicampurkan dengan harta yang lain sedangkan jumlah yang cukup nisab itu berada dalam miliknya selama setahun dari tempoh penerimaan itu maka barulah wajib dikeluarkan zakat. ( Ini pandangan lemah dalam Mazhab Syafei).

Jadi berdasarkan pandangan diatas bermaknanya KWSP yang belum boleh dikeluarkan maka tidak wajib dibayar zakatnya. Apabila dapat dikeluarkannya nanti sedangkan kadarnya cukup nisab atau cukup nisab setalah dicampurkan dengan harta yang lain dan berada dalam miliknya selama setahun dari tempoh terima itu maka barulah wajib dikeluarkan zakatnya.

# Perlu di ingat pandangan ini adalah pandangan lemah dalam Mazhab Syafei.

c) Oh ya, sedikit penambahan, menurut Mazhab MALIKI wajib dibayar zakatnya, namun pembayaran tidak diwajibkan melainkan setelah diterima pembayaran hutang itu dan hanya wajib dikeluarkan zakat untuk setahun sahaja walaupun hutang yang cukup nisab itu bertahun-tahun dalam tanggungan penghutang.

Jadi berdasarkan pandangan diatas bermaknanya KWSP yang belum boleh dikeluarkan maka tetap wajib dibayar zakatnya, namun pembayaran zakatnya dilakukan apabila dapat dikeluarkannya nanti, dan wajib dibayar untuk tempoh setahun sahaja.

6. Keputusan fatwa di Malaysia sendiri berkait dengan zakat KWSP sememangnya ada perbezaan antara sebahagian negeri dengan negeri yang lain.

Antara negari yang ada keputusan Fatwa zakat KWSP :

  1. Terengganu.
  2. Johor.
  3. Selangor.
  4. Sarawak.
  5. Perlis.

Maka saya sarankan Zakat KWSP dikeluarkan mengikut fatwa negeri masing-masing dan sebaik-baiknya lagi adalah mengambil kira juga pandangan muktamad mazhab Syafie.

ANTARA IBARAT KITAB TURATH MAZHAB SYAFIE.

Didalam Kitab منهاج الطالبين :

وَتَجِبُ فِي مَالٍ الصَّبِيِّ وَالْمَجْنُونِ. وَكَذَا عَلَى مَنْ مَلَكَ بِبَعْضِهِ الْحُرِّ نِصَابًا فِي الْأَصَحِّ.وَفِي الْمَغْصُوبِ وَالضَّالِّ وَالْمَجْحُودِ فِي الْأَظْهَرِ، وَلَا يَجِبُ دَفْعُهَا حَتَّى يَعُودَ. وَالْمُشْتَرَى قَبْلَ قَبْضِهِ، وَقِيلَ فِيهِ الْقَوْلَانِ. وَتَجِبُ فِي الْحَالِّ عَنْ الْغَائِبِ إنْ قَدَرَ عَلَيْهِ وَإِلَّا فَكَمَغْصُوبٍ. وَالدَّيْنُ إنْ كَانَ مَاشِيَةً أَوْ غَيْرَ لَازِمٍ كَمَالِ كِتَابَةٍ فَلَا زَكَاةَ، أَوْ عَرْضًا أَوْ نَقْدًا فَكَذَا فِي الْقَدِيمِ وَفِي الْجَدِيدِ إنْ كَانَ حَالًّا وَتَعَذَّرَ أَخْذُهُ لِإِعْسَارٍ وَغَيْرِهِ فَكَمَغْصُوبٍ، وَإِنْ تَيَسَّرَ وَجَبَتْ تَزْكِيَتُهُ فِي الْحَالِّ، أَوْ مُؤَجَّلًا فَالْمَذْهَبُ أَنَّهُ كَمَغْصُوبٍ

Didalam kitab شرح المحلي :

أَوْ عَرْضًا أَوْ نَقْدًا فَكَذَا) أَيْ لَا زَكَاةَ فِيهِ (فِي الْقَدِيمِ) لِأَنَّهُ لَا مِلْكَ فِي الدَّيْنِ حَقِيقَةً (وَفِي الْجَدِيدِ إنْ كَانَ حَالًّا وَتَعَذَّرَ أَخْذُهُ لِإِعْسَارٍ وَغَيْرِهِ) أَيْ لَا كَجُحُودٍ وَلَا بَيِّنَةَ أَوْ مَطْلٍ أَوْ غَيْبَةٍ (‌فَكَمَغْصُوبٍ) فَتَجِبُ فِيهِ فِي الْأَظْهَر.

Didalam kitab تحفة المحتاج :

(فكمغصوب) فإن عاد لزمه الإخراج لما مضى وإلا فلا.

Didalam kitab روضة الطالبين :

الثَّالِثُ: أَنْ يَكُونَ دَرَاهِمَ أَوْ دَنَانِيرَ أَوْ عُرُوضَ تِجَارَةٍ، فَقَوْلَانِ، الْقَدِيمُ: لَا زَكَاةَ فِي الدَّيْنِ بِحَالٍ، وَالْجَدِيدُ وَهُوَ الْمَذْهَبُ الصَّحِيحُ الْمَشْهُورُ: وُجُوبُهَا فِي الدَّيْنِ عَلَى الْجُمْلَةِ. وَتَفْصِيلُهُ أَنَّهُ إِنْ تَعَذَّرَ الِاسْتِيفَاءُ لِإِعْسَارِ مَنْ عَلَيْهِ الدَّيْنُ أَوْ جُحُودِهِ وَلَا بَيِّنَةَ، أَوْ مَطْلِهِ، أَوْ غَيْبَتِهِ – فَهُوَ كَالْمَغْصُوبِ تَجِبُ الزَّكَاةُ عَلَى الْمَذْهَبِ… فَإِنْ كَانَ حَالًّا وَجَبَتِ الزَّكَاةُ وَلَزِمَ إِخْرَاجُهَا فِي الْحَالِ، وَإِنْ كَانَ ‌مُؤَجَّلًا فَالْمَذْهَبُ أَنَّهُ عَلَى الْقَوْلَيْنِ فِي الْمَغْصُوبِ

IBARAT KITAB TURATH MAZHAB MALIKI

Didalam kitab حاشية الصاوي على الشرح الصغير :

(‌ويزكى ‌الدين) بعد قبضه -كما يأتي- (لسنة) فقط، وإن أقام عند المدين أعواماً…

و الله أعلم بالصواب

وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات

20/4/2022

Oleh: Abu Usamah Mohd Hanapiah Bin Hj Hussin

By |2022-04-21T05:03:24+00:00April 21st, 2022|Fiqh, Ibadat, Isu Semasa, Zakat|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

Kongsi di dalam media sosial anda

Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia
Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia terdiri daripada beberapa orang sukarelawan yang meguruskan perjalanan laman sesawang DUM.
Go to Top