“Semalam, kita pakai jubah dan serban. Orang kampung ni macam takut dengan kita. Bila kita pergi ziarah ke rumah, mereka tidak mahu keluar berjumpa kita. Jadi, apa kata hari ini kita tukar pakaian. Kita pakai seperti orang kampung yang biasa,” cadang Fahmi.
“Saya rasa, kita teruskan pakai jubah. Kita kena syiarkan pakaian sunnah. Baru ada nur,” celah Aziz.
“Sabar… sabar. Kita bincang perkara ini elok-elok.” Zainal mencelah untuk meredakan ketegangan antara Fahmi dan Aziz.
Zainal, Fahmi dan Aziz merupakan tiga orang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi. Mereka mengambil kursus pengurusan perniagaan. Fahmi telah mengajak rakannya yang lain untuk bercuti di kampungnya sempena cuti semester. Setelah tiba di pulau ini, mereka agak terkilan melihat kegiatan tidak bermoral para remaja di sini. Budak-budak muda kelihatan melanggah minuman keras di tepi-tepi jalan. Lelaki dan perempuan bergaul bebas. Menjelang pagi, mereka lena bergelimpangan di tepi pantai. Mabuk.
“Orang kampung aku ni… mereka sangat kurang belajar agama. Ustaz-ustaz dari tanah besar pula tidak bersedia ke pulau ini untuk mengajar mereka. Dulu, ayah aku ada jemput seorang ustaz untuk mengajar ilmu agama di rumah aku. Ayah aku sanggup bayar dia seribu ringgit setiap bulan. Tapi, disebabkan dia sudah ada keluarga, dan tidak mahu berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya, dia terpaksa balik ke tanah besar.” Fahmi meluahkan perasaannya yang sedih dengan keadaan agama di kampungnya. “Sebab itulah aku ajak kau orang datang ke sini… supaya kita dapat melakukan sesuatu.”
“Jadi, apa yang kita perlu buat, sekarang?” soal Zainal.
“Kampung aku ni, surau pun tak ada. Masjid sangat jauh. Kena pergi naik bot. Itu pun kami hanya pergi seminggu sekali untuk solat Jumaat. Aku rasa, mungkin kita boleh buat sedikit kenduri dan jemput orang kampung datang ke rumah aku. Aku dah bincang dengan ayah aku, nak gunakan homestay sebelah rumah kami sebagai surau. Nak hidupkan solat berjemaah di sini.” Fahmi menjelaskan.
“Ini satu cadangan yang baik. Tapi, aku rasa, kita perlukan seorang ustaz yang dapat beri masa untuk mengajar ilmu fardu ain kepada orang kampung. Jadi, apa kata kita jemput Ustaz Iqbal datang join kita?” syor Aziz.
“Ustaz Iqbal? Okey jugak tu. Dia memang minat dengan pulau-pulau ni.” Zainal menyokong.
“Jika begitu, esok kita naik bot ke tanah besar. Kita pergi ziarah Ustaz Iqbal dan pujuk dia datang ke sini.” Fahmi membuat keputusan.
“USTAZ, kami ada hajat. Kami harap, ustaz dapat tunaikan hajat kami.” Fahmi membuka bicara. Ustaz Iqbal merupakan seorang pensyarah di institusi yang sama dengan mereka. Hubungan mereka dengan Ustaz Iqbal agak rapat.
“Insya-Allah. Jika tiada apa-apa halangan, saya boleh usahakan. Apa hajat kamu?” balas Ustaz Iqbal.
Fahmi pun menceritakan mengenai latar belakang penduduk di kampungnya. Kemudian, mereka mengajak Ustaz Iqbal bersama-sama mereka ke pulau tersebut untuk suatu tempoh masa yang tidak ditetapkan. Pada mulanya, dia agak keberatan memandangkan Ustaz Iqbal ada mengajar di surau-surau. Jika dia pergi ke sana, maka dia terpaksa batalkan kuliahnya.
“Ustaz, kami nak minta tolong sangat ni. Kalau tak boleh lama-lama, tiga atau empat hari pun jadilah.” Fahmi memujuk.
“Nantilah. Biar saya fikirkan dulu.”
“Bila ustaz boleh bagi keputusan?” Zainal mencelah.
“Mungkin esok.”
“Sebenarnya, kami mahu balik semula ke pulau pada hari ini. Jika ustaz dapat buat keputusan hari ini, boleh kita pergi sekali.” Fahmi terus menerus memujuk Ustaz Iqbal. “Ustaz jangan risau pasal perbelanjaan. Kami tanggung semua kos. Kat sana nanti, kami sediakan homestay untuk ustaz. Nak bawak isteri dan anak-anak sekali pun boleh.”
“Allahu Akbar! Apa lagi alasan saya nak bagi?” jawab Ustaz Iqbal sambil tertawa kecil. “Beginilah. Biar saya bincang dulu dengan keluarga saya. Apa-apa hal, saya maklumkan kemudian. Kamu boleh pergi dahulu ke sana. Doakan saya. Insya-Allah, jika Allah takdirkan rezeki saya ada di sana, saya akan sampai.”
Jawapan Ustaz Iqbal itu kurang memuaskan mereka. Namun, dalam hati, mereka tidak henti-henti berdoa agar Allah membukakan hati Ustaz Iqbal untuk memenuhi hajat tersebut.
Majlis yang dirancang berjalan seperti biasa walaupun tanpa kedatangan Ustaz Iqbal. Mereka bertiga memakai kemeja dan seluar biasa untuk berziarah dari satu rumah ke rumah yang lain. Sesiapa sahaja yang mereka jumpai, akan diundang ke rumah Fahmi sebelum waktu Maghrib. Umpannya ialah western food yang dimasak oleh ayahnya.
Pada petang itu, hadirlah beberapa orang penduduk kampung. Dalam sepuluh orang. Fahmi mengalu-alukan kedatangan mereka dan menghidangkan kepada mereka minuman panas dan kuih-muih.
“Petang ni, kita makan yang ni dulu la, ye. Nanti lepas solat Maghrib, kita makan fish and chips, french fries dan lain-lain…”
Dalam kalangan mereka, ada seorang pemuda yang bekerja sebagai beach boy. Dia datang dengan berseluar pendek. Fahmi memberikan kepadanya kain sarung sebagai pakaian untuk solat.
“Bang, saya tak pandai bersolat.”
Tersentak Fahmi mendengar pengakuan tersebut. “Kamu pandai ambil wuduk?”
“Tak jugak. Wuduk tu apa?”
“Tak apa. Kita boleh belajar.”
Dalam kesempatan yang masih ada sebelum masuk waktu Maghrib, pemuda tersebut dibimbing untuk mengambil wuduk dan bersolat. Ada beberapa orang kampung yang lain turut menyaksikan tiga orang pelajar universiti itu mengajar seorang pemuda kampung berwuduk dan bersolat. Ada yang kehairanan. Mungkin mereka juga tidak tahu. Mungkin sudah tahu, tetapi tidak pernah mengamalkannya.
Mereka mengajarnya bersolat dan membaca surah al-Fatihah dengan betul. Dia mengakui, seumur hidupnya dia tidak pernah membaca al-Quran dan bersolat. Hanya ibu bapanya sahaja yang memberitahu bahawa mereka adalah orang Islam.
Pemuda itu kemudian memberitahu bahawa dia mempunyai keluarga dan beberapa orang kawan yang beragama Islam. Dia meminta agar tiga rakan itu dapat pergi berjumpa dengan mereka.
Setelah masuk waktu Maghrib, Aziz melaungkan azan. Kemudian, mereka mengerjakan solat berjemaah bersama-sama orang kampung yang hadir.
Tanpa diduga, setelah habis memberi salam, terlihat kelibat Ustaz Iqbal di saf paling belakang. Dia sedang menghabiskan rakaat terakhir kerana masbuk.
Selesai solat, Fahmi, Aziz dan Zainal terus mendapatkan Ustaz Iqbal dan memeluknya. Mereka sangat terharu.
“Saya dah lama sampai. Sejak petang tadi, saya dah tengok apa yang kamu dah buat! Syabas!”
“Ustaz, boleh tak malam ni, ustaz bagi ceramah sikit? Mereka semua ni datang sebab nak dengar ustaz berceramah, tau!” Fahmi berseloroh. Ustaz Iqbal tersenyum sambil mengangguk.
PADA malam itu, selesai solat Isyak, beach boy tadi mengajak Ustaz Iqbal dan mereka bertiga berjumpa rakan-rakannya yang beragama Islam. Sepanjang perjalanan ke sana, Ustaz Iqbal tidak henti-henti beristighfar. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan berjaja di tepi-tepi jalan.
“Kat sini takda penguatkuasa agama ke?” Ustaz Iqbal berbisik ke telinga Fahmi.
“Takde, ustaz. Setiap orang perlu kuatkuasakan agama mereka sendiri.”
Ustaz Iqbal menggeleng.
Akhirnya, beach boy itu menemukan Ustaz Iqbal, Fahmi, Zainal dan Aziz dengan rakan-rakannya. Mereka bersalaman. Dalam kesempatan tersebut, Ustaz Iqbal memberikan beberapa kata-kata nasihat dan mengajak mereka agar selalu datang ke ‘surau’ yang baru dihidupkan. Ustaz Iqbal juga berjanji dengan mereka untuk terus berada di pulau ini selama seminggu. Jika sesiapa yang mahu berjumpa dengannya untuk bertanya bab agama, maka mereka dipersilakan ke ‘surau’.
Setelah selesai berjumpa dengan para pemuda tersebut, mereka bergerak pula ke rumah beach boy itu untuk berjumpa dengan ibu dan ayahnya. Tetamu itu disantuni dengan baik oleh tuan rumah. Mereka dijemput masuk dan hidangan ringan disediakan.
Akhir sekali, tuan rumah dan seluruh isi rumahnya dijemput ke ‘surau’ pada hari-hari berikutnya. Ini kerana, sepanjang Ustaz Iqbal berada di pulau ini, dia berjanji untuk mengajar ilmu agama pada setiap malam. Tuan rumah menzahirkan rasa gembiranya kerana, memang sudah lama dia mahu belajar ilmu agama. Selama ini, tiada ustaz yang sudi datang mengajar mereka. Jika ada pun, ia tidak kekal lama.
Begitulah, hari demi hari berlalu. Sudah lima hari Ustaz Iqbal meluangkan masanya di pulau ini. Dia tinggal di sebuah homestay milik keluarga Fahmi. Isterinya turut membantu membimbing para wanita penduduk kampung yang bertandang setiap hari untuk belajar membaca al-Quran dan bersolat.
“Saya terharu sangat-sangat. Saya tak menyangka, beginilah keadaan agama di pulau ini,” luah Ustaz Iqbal kepada ketiga-tiga orang pelajarnya itu. “Sampai ada yang tidak tahu langsung rukun iman, rukun Islam… bahkan ada yang tidak pandai mengucap syahadah.”
“Orang macam ustazlah yang diperlukan di sini,” balas Fahmi.
Ustaz Iqbal terdiam seketika sebelum menyambung bicara. “Jika begini keadaannya, tak cukup seminggu! Kena duduk sini sebulan!”
Fahmi, Zainal dan Aziz ketawa kecil mendengar Ustaz Iqbal berseloroh.
“Tapi, tu la… cuti dah nak habis. Minggu depan dah mula kuliah. Kita semua kena balik kampus,” celah Aziz.
“Insya-Allah, kita akan datang lagi. Dakwah kita bukan sampai di sini saja. Perlu ada susulan. Anak kambing yang baru lahir, perlu mendapat susu yang cukup daripada ibunya!” Bersemangat Ustaz Iqbal meluahkan kata-kata.
“Insya-Allah. Kita akan datang lagi ke pulau ini!”