Home/Tulis dan Menang Syawal 1441/Adakah Berpantang Selepas Bersalin Wujud Dalam Islam?

Adakah Berpantang Selepas Bersalin Wujud Dalam Islam?

Perkataan “berpantang” selepas bersalin bukanlah perkataan yang asing bagi kita masyarakat Melayu. Ia adalah himpunan kaedah-kaedah serta petua orang-orang terdahulu tentang penjagaan yang khusus bagi wanita yang baru melahirkan anak, termasuklah yang baru keguguran.

Namun demikian mungkin tidak ramai daripada kita yang menyedari bahawa amalan berpantang ini juga wujud di dalam beberapa masyarakat di seluruh dunia termasuklah di sebelah barat.

Semestinya perkara ini diatur dengan bijaksana oleh Allah S.W.T. supaya kita dapat saling kenal mengenali dan berkongsi serta mempelajari antara satu sama lain. Sepertimana firman Allah S.W.T.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujrat:13)

Adakah masyarakat lain di dunia ini yang turut berpantang?

Masyarakat lain di seluruh dunia juga turut mengamalkan amalan berpantang. Setengah daripada mereka turut mempunyai nama yang khusus. Contohnya di China dinamakan “Zuo Yue Zi”, di Jepun dinamakan sebagai “Sango no hidachi”, di Amerika Latin dinamakan sebagai “la cuarentena” yang bermaksud 40 hari.

Manakala masyarakat Thailand memanggilnya sebagai “Yu Fai”, di Korea dinamakan sebagai “Sanhujori”, di India dinamakan sebagai “Jaapa” dan di Pakistan dinamakan sebagai “Sawa Mahina”. Dan banyak lagi masyarakat di seluruh dunia mengamalkan amalan berpantang sama ada ia mempunyai nama khusus ataupun tidak.

Sehubungan itu dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa menjaga kesihatan tubuh badan adalah fitrah semulajadi seseorang manusia. Semua orang akan berusaha untuk menjaga kesihatan tubuh badan masing-masing. Apatah lagi bagi orang perempuan yang baru sahaja melahirkan anak, sudah tentu dirinya sendiri serta ahli keluarga terdekat di sekitarnya akan sama-sama mengambil berat untuk membantu pemulihan kesihatan tubuh badan si ibu tadi.

Inilah bukti ketinggian darjat seseorang ibu yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Tanpa kita sedari, secara semula jadi kita akan meletakkan seseorang ibu itu sebagai orang yang dipandang tinggi dan wajib dijaga dan dipelihara.

Mafhum hadis Nabi S.A.W. “Tetaplah bersamanya (ibu) kerana sesungguhnya syurga itu dibawah kedua kakinya”. (Hadis riwayat al-Hakim.)

Bagi masyarakat di China, amalan berpantang telah direkod lebih daripada 2000 tahun yang lampau. Ia dinamakan sebagai “Zuo Yue Zi” atau “Sitting the Month” di mana wanita yang baru melahirkan anak seolah-olah terkurung di dalam bilik tidur selama 30 hari. Mereka tidak dibenarkan mandi, tidak boleh minum minuman sejuk, tidak boleh membuat kerja, hanya makan makanan berpantang dan ubat-ubatan tradisional Cina dan lain-lain.

Kebanyakan masyarakat tradisional India juga turut mengamalkan amalan berpantang yang dinamakan “Jaapa”. Ia adalah tempoh pengasingan dan pemulihan badan selama 40 hari. Makanan istimewa disediakan bertujuan untuk membantu penghasilan susu badan dan penghasilan tahap hemoglobin dalam badan. Di dalam adat masyarakat India, tempoh selepas bersalin adalah tempoh si ibu berada di dalam keadaan tidak bersih yang dinamakan sebagai “Asaucham” dan tempoh pengasingan selama 10 ke 40 hari diatur untuk si ibu dan bayinya. Selama tempoh ini, dia tidak dibenarkan menjalankan apa-apa tugasan di rumah atau apa-apa upacara keagamaan.

Amalan berpantang masyarakat Korea iaitu “Sanhujori” menekankan dari segi aktiviti dan pemakanan yang memanaskan tubuh badan, memangkin kerehatan untuk memaksimumkan proses pemulihan tubuh badan supaya dapat kembali kepada keadaan asal. Konsep asas ini menekankan tentang kebersihan, pemakanan yang berkhasiat serta ketenangan akal fikiran.

Di Thailand pula mereka mempunyai beberapa amalan yang tersendiri. Contohnya seseorang wanita yang baru melahirkan anak tadi akan dibiarkan berbaring berhampiran dengan tempat tidur yang panas berdekatan dengan sumber haba seperti api, selama 30 hari. Amalan ni kemudiannya diadaptasikan ke dalam kaedah urutan masyarakat Thailand. Wanita tersebut juga akan disuruh untuk mengewap dan menghidu wap rebusan air herba terpilih yang dinamakan sebagai “Kao Krachome”. Manakala terdapat sekumpulan ubat herba terpilih yang dinamakan sebagai “Ya Dong” diberikan sebagai makanan tambahan.

Adakah masyarakat barat juga turut berpantang?

Masyarakat barat juga mempunyai amalan berpantang tersendiri. Amalan ini dinamakan sebagai “Lying In Period” dan tempohnya berbeza-beza mengikut keadaan. Iaitu di antara tempoh dua minggu sehingga dua bulan. Amalan ini turut dilihat di dalam sejarah pemerintah-pemerintah Inggeris yang lampau. Kebiasaannya ibu-ibu yang melahirkan anak akan bersalin dan berpantang di rumah masing-masing. Hanya sekitar kurun ke-18 amalan berpantang di barat ditempatkan di hospital-hospital bersalin. Sepanjang tempoh ini mereka hanya berbaring di katil hospital bersama bayi yang baru dilahirkan, diberi makan dan layanan serta tidak membuat sebarang pekerjaan.

Namun sekitar tahun 1940-an iaitu selepas Perang Dunia Ke-2, kebanyakan hospital digunakan untuk menempatkan pesakit perang sehingga tempat untuk ibu-ibu yang baru bersalin dan petugas-petugas kesihatan menjadi sedikit. Maka waktu berpantang di hospital disingkatkan. Dan akhirnya ahli perubatan mendapati bahawa tempoh yang singkat di hospital tidak menjejaskan kesihatan ibu-ibu tersebut bahkan lebih baik kerana mereka tidak hanya berbaring semata-mata. Sekitar tahun 1970-an tempoh berada di hospital semakin singkat kepada 4 hari dan sekitar tahun 1990-an tempoh ini menurun kepada 2 hari.

Perubahan tempoh ini juga turut dikaitkan dengan faktor ekonomi iaitu ia dapat menjimatkan pelbagai kos yang perlu ditanggung untuk membiarkan ibu-ibu yang baru bersalin berehat di hospital. Selain daripada katil atau tempat yang perlu disediakan, ada juga kos-kos lain seperti makanan dan keperluan perubatan, pekerja-pekerja dan lain-lain kos.

Amalan ini juga beransur hilang dalam masyarakat barat setelah menyedari bahawa dengan hanya berbaring dan tidak berbuat apa-apa akan memburukkan lagi keadaan ibu tersebut contohnya apabila peredaran darah tidak berjalan dengan baik. Namun tidak dinafikan bahawa ramai juga ahli perubatan barat yang mengakui kepentingan tempoh berehat selepas bersalin yang dipanggil sebagai “Postpartum Care” dengan beberapa modifikasi dari segi kesesuaian dan penemuan sains perubatan terkini.

Gambaran umum amalan berpantang di Malaysia.

Di negara kita Malaysia, amalan berpantang dapat dilihat di dalam ketiga-tiga masyarakat utama iaitu Melayu, Cina dan India. Selain daripada beberapa persamaan yang dapat dilihat, ada juga beberapa perbezaan seperti berikut:

  • Majoriti ketiga-tiga masyarakat mengamalkan amalan berpantang.
  • Kebanyakan masyarakat Melayu dan India menggunakan khidmat daripada Ibu atau Ibu Mertua. Ramai daripada kalangan masyarakat Cina turut menggunakan khidmat pihak luar selain daripada Ibu atau Ibu Mertua.
  • Masyarakat Cina dan India membekalkan jumlah makanan yang lebih berbanding masyarakat Melayu.
  • Masyarakat Melayu mementingkan amalan mengurut semasa berpantang. Kurang pada masyarakat Cina dan India.
  • Masyarakat Cina lebih mengutamakan amalan tiada mandi semasa berpantang berbanding masyarakat Melayu dan India yang lebih kerap mandi semasa berpantang.
  • Majoriti ketiga-tiga masyarakat tidak keluar daripada rumah atau tempat berpantang sama ada bagi pihak si ibu atau si bayi.

Adakah berpantang wujud dalam Islam?

Daripada kesemua amalan-amalan berpantang di seluruh dunia yang diperhatikan maka dapatlah kita simpulkan bahawa amalan berpantang tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk mengembalikan kesihatan ibu yang baru melahirkan anak dan menjaga kesihatan bayi yang baru dilahirkan.

Persoalannya ialah adakah berpantang ini wujud di dalam Islam? Jawapannya ialah ya dan tidak. Nampaknya seperti ada dua jawapan di situ.

Bagi menjelaskan mengapa berpantang dikatakan wujud di dalam Islam maka kita kaitkannya dengan hukum hakam darah Nifas. Maka apabila kita memahami tentang perihal nifas bolehlah kita akui bahawa memang berpantang selepas bersalin ini wujud di dalam Islam.

Akan tetapi perincian dari segi perbuatan dan disiplin pantang itu sendiri tidaklah sama sepenuhnya seperti yang kita biasa dengar di dalam adat melayu. Ini adalah kerana apabila kita bertanya adakah wujud sesuatu dalam Islam maka seolah-olah kita bertanya tentang hukum hakam sesuatu itu di dalam agama.

Dalam keadaan Nifas, seseorang wanita tadi tidak boleh mengerjakan solat, puasa, tawaf, menyentuh dan membaca Quran, beriktikaf di dalam masjid serta berjimak dengan suami. Inilah antara bentuk-bentuk pantang yang berkaitan dengan hukum hakam di dalam Islam.

Adapun selain daripada itu ia termasuk di dalam disiplin-disiplin pantang yang mungkin ada kaitannya dengan penjagaan kesihatan badan. Meskipun ia tidak berkait dengan ibadat khusus seperti yang disebutkan tadi namun adalah baik jika sekiranya amalan berpantang tadi diikuti. Kerana memelihara kesihatan adalah perkara yang penting di dalam agama.

Mafhum hadis Nabi S.A.W. “Mohonlah kepada Allah S.W.T. akan keselamatan dan afiat (kesihatan). Sesungguhnya tiada sesuatu pemberian Allah S.W.T. sesudah keyakinan (iman) yang lebih baik daripada kesihatan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah.)

Maka perbezaan inilah yang menjelaskan jawapan kedua tadi iaitu tiada pantang selepas bersalin di dalam Islam. Iaitu tiada larangan atau suruhan khusus yang berkaitan dengan pemakanan, pakaian dan perbuatan wanita yang baru lepas bersalin.

Tidak disebut larangan supaya jangan meminum air sejuk, jangan makan makanan berangin, jangan berjalan laju, jangan mengangkat benda berat dan lain-lain. Kerana dalam hal penjagaan kesihatan ianya bergantung kepada keadaan individu dan nasihat pakar-pakar perubatan sama ada dari pihak doktor perubatan moden atau pakar perbidanan tradisional.

Maka walaupun perkara-perkara ini tidak disebut secara khusus namun ianya adalah satu disiplin penjagaan kesihatan yang sangat bagus untuk diikuti. Tetapi kita sama sekali tidak boleh menetapkan hukumnya sebagai wajib untuk diikuti.

Bagaimana untuk menilai perbezaan antara adat dan ibadat?

Jawapan kepada persoalan ini ada kaitannya dengan cara mengimbangi antara adat dan ibadat. Sudah tentu kayu ukur yang sebenar dalam hal ini ialah dari segi ukuran ibadat. Kerana ibadat itu adalah agama.

Maka perkara asas yang perlu kita letak di hadapan ialah perincian tentang nifas itu tadi. Tempoh nifas adalah di dalam jangkamasa antara sekelip mata (لحظة) atau beberapa hari dan sehingga tempoh maksimumnya 60 hari. Sebagai contoh jika seseorang wanita itu sudah tamat nifasnya yang berlaku hanya beberapa hari, maka tidak ada yang menghalangnya daripada kewajipan mengerjakan solat. Dia tetap perlu mandi wajib dan bersolat selepas itu.

Walaupun umum mengetahui bahawa bersalin adalah sakit dan melemahkan badan wanita tersebut tetapi jika nifasnya sudah tamat hanya dalam beberapa hari, dia tetap perlu bergerak untuk mandi wajib dan bergerak untuk berwuduk dan bersolat. Walaupun tempoh itu belum lagi sampai kepada tempoh adat melayu berpantang iaitu antara 40 ke 44 hari.

Dari segi adat, semasa berpantang seseorang wanita itu tidak boleh terus mandi sejurus selepas bersalin dan tidak boleh bergerak cerdas, berdiri lama atau terlalu membengkokkan badan. Namun dari segi ibadat pula, jika tempoh nifasnya hanyalah sekelip mata maka wajib baginya untuk terus mandi wajib. Bahkan dia juga terpaksa bergerak-gerak untuk bersolat. Inilah beza dari segi adat dan ibadat.

Dalam hal ini juga kita perlu fahami bahawa apabila nifasnya telah berkhir maka segala larangan semasa nifas telah pun terangkat. Ini bermakna jika suaminya ingin berjimak maka mereka boleh melakukannya. Walaupun kita faham bahawa seseorang suami itu perlu ada sifat bertimbang rasa dan belas kasihan kepada isterinya yang masih lemah namun kita tidak boleh melarang sesuatu yang tidak dilarang oleh agama.

Di sinilah berlakunya imbangan di antara adat dan ibadat. Sebagai contoh dalam hal berjimak tadi walaupun dari segi adat melarang mereka dari berjimak tetapi dari segi ibadat ianya dibenarkan.

Maka perlulah pasangan tadi berbincang dengan harmoni akan keadaan dan situasi masing-masing. Kerana asas amalan agama adalah untuk menjaga kebajikan manusia. Maka kebajikan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri perlu dijaga. Terimalah ketentuan Allah S.W.T. dengan yakin bahawa apabila kita akur, pasti Allah S.W.T. akan bantu.

Jika si suami boleh menerima keadaan isterinya yang masih lemah dan rasa simpati serta bertimbang rasa maka sudah pasti dia akan berusaha menahan dirinya daripada berjimak. Mungkin si suami boleh kerap berpuasa ataupun si isteri berpantang adat di rumah ibunya yang berjauhan daripada rumah suami. Tetapi hal ini perlulah dengan keizinan suami atau berlaku atas permintaan suami sendiri dan bukannya gesaan pihak ketiga seperti pihak ibu si isteri dan lain-lain.

Akan tetapi jangan pula kita merasakan bahawa suami yang masih mahu berjimak selepas tamatnya nifas itu sebagai tidak bertimbang rasa dan tidak bersimpati. Kerana amalan baik yang dibenarkan oleh Allah S.W.T. tidak boleh kita anggap sebagai amalan yang buruk. Bagaimana jika suami yang tidak dapat memenuhi hasratnya itu mencari perkara yang haram? Bukankah itu lebih buruk padahnya?

Tamatnya nifas juga adalah salah satu tanda bahawa tubuh badan wanita tadi telah pun sihat. Kerana itulah tempoh nifas ini berbeza dari individu ke individu yang lain. Kerana lain individu lain hal keadaan kesihatan tubuhnya.

Kerana itu kaum wanita tidak perlu terlebih risau dan takut apabila nifas telah tamat. Jangan pula menolak untuk melayan suami sehingga 100 hari lamanya semata-mata kerana mahu ikutkan petua. Tidak ada masalah untuk ikut petua asalkan ia selari dengan agama. Jika ada pertembungan, agama yang perlu kita ikut.

Ada tak amalan berpantang yang menyalahi syariat?

Sejak dahulu kala urusan berpantang diserahkan kepada bidan-bidan. Mereka adalah golongan khusus dalam masyarakat melayu yang mempunyai kepakaran yang tersendiri.

Apabila zaman berubah dan berkurangnya bidan-bidan yang ada maka tugas menguruskan wanita berpantang diuruskan oleh ibu atau keluarga masing-masing. Bidan-bidan hanya datang untuk mengurut dan bertangas sahaja.

Ada di antara bidan-bidan ini yang mendapat latihan turun temurun dari keturunan mereka. Dalam hal ini ada juga di antara mereka yang mendapat pengetahuan perbidanan melalui mimpi, jin dan sebagainya.

Kerana itu ada di antara amalan berpantang yang tidak selari dengan syariat. Oleh itu perlu lah kita berhati-hati dalam memilih bidan. Dan berhati-hati juga dalam menerima petua-petua.

Memang kebiasaan petua orang tua-tua ini sifatnya menakut-nakutkan. Kerana itu ramai wanita yang takut melanggar petua walaupun mereka sendiri tidak faham apa rasional petua itu tadi.

Kerana itu dikatakan bahawa tidak ada masalah untuk ikut petua asalkan ia selari dengan agama. Jangan pula takut melanggar petua tetapi tidak takut melanggar agama.

Bagaimana pula berpantang dari segi pemakanan di dalam Islam?

Berpantang dari segi pemakanan tidak ada apa-apa masalah di dalam agama kerana ia tidak berkaitan dengan perkara-perkara yang dilarang semasa nifas. Maka seseorang wanita itu bolehlah mengamalkan pemakanan berpantang seperti yang digariskan di dalam adat.

Bahkan jika pemakanan yang tidak betul itu benar-benar akan memudaratkan wanita yang baru bersalin maka ia juga turut ditegah di dalam agama. Kerana pemakanan yang membawa mudarat kepada tubuh badan bukan sahaja ditegah bagi wanita yang baru bersalin bahkan bagi wanita biasa atau bagi kaum lelaki juga turut ditegah. Ini bukanlah soal berpantang atau tidak. Ia adalah soal pemakanan yang memudaratkan.

Umum mengetahui bahawa wanita yang baru bersalin hal keadaan tubuh badannya belum lagi pulih seperti sediakala. Maka dia memerlukan masa untuk pulih. Ada di antara mereka yang pulih dengan segera dan ada yang memerlukan masa yang lebih. Maka pemakanan semasa berpantang adalah salah satu cara untuk memulihkan kesihatan tubuh badan wanita tadi.

Namun jangan sekali-kali mengatakan bahawa ianya wajib diikuti. Bagus jika diamalkan namun tidak berdosa jika ditinggalkan. Dalam hal ini perlu melihat dari aspek kesihatan. Kerana kesihatan juga adalah nikmat daripada Allah S.W.T. yang perlu kita jaga.

Mafhum hadis Nabi S.A.W. “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”  (Hadis riwayat Bukhari.)

Kesimpulan.

Setelah kita melihat pelbagai jenis cara dan kaedah berpantang dapatlah kita buat kesimpulan bahawa kaedah berpantang yang berbeza berlaku kerana faktor-faktor yang berbeza seperti faktor lokasi yang berbeza, cuaca di negeri yang berbeza, adat kebiasaan yang berbeza, kepercayaan tertentu yang berbeza serta pemakanan setempat yang pastinya berbeza.

Namun berlaku beberapa persamaan khususnya bagi perkara-perkara yang melibatkan pemulihan tubuh badan wanita yang baru bersalin tadi. Sama ada dari segi pemakanan, perbuatan dan lain-lain.

Islam adalah agama yang syumul. Ia amat menitik beratkan kesihatan tubuh badan manusia. Bahkan kesemua amal ibadat dan pensyariatan di dalam agama adalah untuk memelihara manusia itu sendiri. Kerana itu tidak ada pertembungan yang sepatutnya berlaku di dalam amalan berpantang masyarakat melayu.

Namun jika berlaku juga pertembungan perlulah kita kembali semula kepada syariat Islam dan melihat kembali akan hukum hakam yang sebenar. Jangan pula sampai adat diutamakan lebih berbanding agama.

Peliharalah perintah Allah S.W.T. pastinya Allah S.W.T. akan memelihara kita.

By |2020-06-24T00:02:06+00:00June 21st, 2020|Tulis dan Menang Syawal 1441|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top