Home/Akhlak/Akhlak Guru 2

Akhlak Guru 2

Tersenyum keseorangan, apabila teringat kembali zaman-zaman ketika belajar di Seri Petaling, ketika itu Alfaqir di temuduga oleh Mudir Madrasah Miftahul Ulum iaitu Al-Fadhil Al-Mukarrom Maulana Abdul Hamid bin Hasyim. Beliau bertanya kepada alfaqir tentang bacaan Al-Quran, bahasa arab dan adab-adab bersama ibubapa.

Kemudian beliau bertanya : “Pernah sapu sampah dekat rumah, cuci tandas?” Alfaqir menggelengkan kepala mengisyaratkan tidak pernah buat perkara-perkara itu. Maka beliau berkata : “Dekat sini kena cuci tandas, sapu sampah, kalau hang tidak buat, satgi aku sekeh kepala hang.” Berubah wajah alfaqir, yang awalnya ingin masuk menghafal Al-Quran, tetapi ucapan tegas yang alfaqir terima daripada beliau.

Beliaulah antara asatizah yg paling alfaqir gerun kerana setiap kali terserempak dengan beliau, alfaqir akan memberi salam dalam keadaan menggigil walau tidak buat salah apa pun. Walaupun begitu, beliau seorang yang peramah, dan sifat belas kasih beliau sangat tinggi walaupun ianya dihiasi dgn ketegasan.

Di antara adab ketika berhadapan dengan beliau di pejabat adalah wajib memakai serban, dan memberi salam ketika duduk di hadapan beliau, pernah alfaqir ditegur oleh Maulana Ismail bin Idris ketika alfaqir memberi hadirin pelajar, kata beliau : “سلام ثم كلام” iaitu dahulukan beri salam kemudian barulah bercakap.

Pernah suatu masa ketika iqomah berkumandang di dalam masjid, ketika itu giliran beliau Maulana Abdul Hamid menjadi imam, alfaqir berlari mengejar sof, lalu terlanggar beliau yang ketika itu sedang berjalan ke mihrab, Ya Allah, berdegup-degup jantung alfaqir kerana alfaqir sangat takut terhadap beliau, tetapi beliau menahan alfaqir di tengah sof itu dan tersenyum.

Akhirnya selepas solat, alfaqir datang dan berkata di sisi beliau, kerana beliau akan solat sunat di belakang mimbar setiap kali beliau jadi imam. ”Ustaz, saya minta maaf tadi terlanggaq ustaz” Beliau menggosok belakang alfaqir seraya memberikan tangannya untuk bersalaman sambil mengatakan, “tidak mengapa, lain kali jangan lari-lari dekat sof, jalan elok2 naa masuk sof.” Allah, sejuk hati alfaqir tika mendengar nasihat beliau seperti itu.

Pernah beliau datang ketika alfaqir sedang duduk berbual dengan kawan-kawan di sof, ketika itu beliau selesai solat sunat di mihrab, beliau datang berjalan menuju ke arah alfaqir, hati ini sudah mula bergoncang-goncang, tetapi beliau datang dengan senyuman dan memegang serban alfaqir yang tika itu agak tebal, beliau mengatakan : “Masyaallah, cantik serban, kalau boleh pakai hat nipis sikit naa…” “Baik ustaz” jwb alfaqir. Allah, siapa Yang tidak merasakan kasih sayang beliau dalam menegur, hati ini sudah mula mencintai beliau.

Maulana Amir Hamzah sering menceritakan akhlak beliau kepada kami, katanya : Ustaz Abdul Hamid ini orangnya Masyaallah, sangat alim tetapi merendah diri, beliau ini sudah smpai tahap mufti, kealiman beliau di iktiraf oleh guru-guru beliau sendiri, tetapi jika ada satu-satunya maslahat fekah, beliau pasti akan rujuk dengan asatizah yang lain, jika ada syarah hadis pasti beliau akan bertanya kepada asatizah yang lain sedangkan asatizah yang lain pun masing-masing malu untuk beri pandangan di hadapan Maulana Abdul Hamid yang mereka kenal akan kealimannya. Beliau pernah minta dengan saya nak masuk kelas urdu di dauratul hadis akhiroh, saya tidak benarkan. saya kata : “Ustaz Abdul Hamid tak boleh masuk kelas saya sebab sudah terlebih umuq.” Maka kami pun ketawa terhibur dengan gaya penyampaian Maulana Amir Hamzah, padahal kata Maulana Amir Hamzah : “bukan masalah umuq, tapi saya malu nak mengajaq jika ada orang yang lebih alim dan hebat di dalam kelas saya, tidak layak saya mengajaq Tuan Guru.” Allah, tersentak hati kami dengan kerendahan hati Maulana Abdul Hamid, beliau memiliki haibah dan syaksiah Yang agung.

Pernah Maulana Mansur ceritakan kepada kami : “Dulu di Pakistan, zaman kami belajar, ada pelajar yang lemas dalam loji tahi, waktu itu tidak ada siapa yang berani terjun untuk selamatkan pelajar tersebut, akhirnya saya (Maulana Mansur) dan Ustaz Abdul Hamid terjun masuk ke dalam loji tahi kerana ingin selamatkan pelajar tersebut.” Kemudian, dalam keadaan sebak, Maulana Mansur mengatakan : “Saya rasa asbab inilah, Allah terima saya dan Maulana Abdul Hamid untuk khidmat di Markaz smpai hari ini… Bukan sebab lain.” 

Alfaqir meninggalkan Seri Petaling selepas tamat Syahadah Alquran pada tahun 2009, Dan beliau ijazahkan serban dan diikat bersama Maulana Mansur dan Qori Ust Suhaimi. Ketika itu alfaqir pun berhenti selepas mendapat keizinan daripada Ustaz Abdul Razak, guru syahadah alfaqir dan terus menyambung pelajaran ke Tarim,yaman. Hinggalah alfaqir balik menziarahi beliau pada tahun 2016, selepas hampir 7 tahun tidak berjumpa, ketika itu alfaqir lihat, bangunan madrasah sudah dibangun dengan lebih besar, keadaan asrama dan rumah guru juga sudah dibangunkan, para pelajar juga makin ramai, maka ketika itu alfaqir datang sebagai orang biasa, duduk dalam majlis hayatus sahabah, yang dibaca oleh beliau, Maulana Abdul Hamid.

Selepas daripada majlis, alfaqir datang menemui beliau di belakang mimbar, memberikan sedikit buah tangan, beliau terkejut melihat alfaqir dan mengatakan : “Masyaallah Hafiz Raffi, apa khabaq, lama tak mai jumpa ustaz, mak ayah sihat ka… “ Allah, beliau masih ingat nama alfaqir, sedangkan alfaqir bukanlah di antara Pelajar yang sering khidmat kepada beliau, tetapi inilah bukti seorang guru yang memerhatikan seluruh ahwal pelajarnya, baik atau buruk ianya tetap di ingati.

Moga-moga Allah memandang beliau dengan pandangan rahmatNya. Allah berikan kesihatan dan umur panjang kepada beliau, di murahkan rezeki beliau, dimakbulkan segala hajat-hajat beliau. Semoga kami para muridnya mendapat nazroh dan pandangan khusus beliau, doa khusus beliau, munajat khusus beliau. Moga-moga Allah alirkan keberkatan, cahaya, asror, ilmu, akhlak beliau kepada kami.

Mohon sama-sama mendoakan guru-guru kita, ziarahilah mereka, tanyakanlah khabar mereka, ahwal mereka, kerana tanpa mereka, kita tidak akan kenal keagungan Agama dan Usaha Agama ini..

Artikel ini ditulis oleh: Muhammad Hafiz bin Muhammad Rafi’.

By |2020-06-23T04:08:41+00:00June 23rd, 2020|Akhlak|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top