Home/Akhlak/Akhlak Guru

Akhlak Guru

Ketika kali pertama alfaqir datang ke Madrasah Miftahul Ulum Seri Petaling, Alhamdulillah alfaqir diterima masuk dengan sekali interview dan alfaqir mula belajar Hafiz di dalam kelas Maulana Amir Hamzah.

Ketika awal masuk ke kelas beliau, alfaqir duduk dalam ketakutan kerana ketegasan beliau, tidak boleh duduk bersila di dalam kelas, tetapi setelah sekian lama alfaqir bersama beliau, Masyaallah Tabarokallah, alfaqir telah lihat banyak sifat-sifat kasih sayang beliau yang sangat luar biasa.

Ketika ada pelajar-pelajar yang dirotan dan didenda oleh beliau pasti mereka akan dibawa ke bilik beliau, dan diberi targhib sambil meletakkan minyak gamat di tempat yang dirotan, dan alfaqir sering bersama beliau di pejabat, beliau begitu menghormati para asatizah yang lain, banyak perkara-perkara adab yang alfaqir belajar daripada beliau yang tidak dapat alfaqir tuliskan di sini.

Pernah sekali alfaqir ditanya di hadapan beliau oleh Maulana Razif bin Abdul Wahab, kemudian alfaqir menjawab dalam loghat kedah “sat gi dia mai” serta merta ditegur oleh beliau, “Hafiz, Ustaz Razif bukan orang Kedah, cakap bahasa Melayu betul-betul di hadapan Ustaz Razif” maka alfaqir terus mengatakan “Sebentar lagi, pelajar tersebut datang,” hingga tersenyum Maulana Razif.

Beliau adalah seorang yang sangat berjiwa lembut, setiap kali alfaqir menyemak bacaan Al-Quran beliau, ketika mana sampai kepada ayat-ayat azab pasti beliau akan menangis, ada kalanya beliau menangis ketika memberikan nasihat kepada kami para pelajar. Ketika beliau jaga kelas malam, beliau selalu akan menyuruh alfaqir bangunkan beliau di rumah dan meminta alfaqir doakan beliau. Ya Allah, padahal beliaulah yang selayaknya mendoakan kami para pelajar, sehingga suatu hari ketika beliau menjemput kami ke jamuan rumahnya, tiba-tiba beliau mengambil bekas basuh tangan daripada alfaqir, sedang alfaqir membasuh tangan tetamu yang lain, lalu beliau berkata, “kamu selalu khidmat ustaz, hari ni ustaz pulak khidmat kamu.” Ya Allah, meruntun hati ini dengan kata-kata beliau.

Apabila beliau menerima hadiah daripada jemaah luar negara seperti tasbih, minyak wangi, baju, ridak dan sebagainya, pastilah barang-barang tersebut akan dihadiahkan kepada kami (pelajar-pelajar), di dalam kelas beliau sangat tegas tetapi ketika di luar kelas beliau lah tempat kami mengadu segala permasalahan kami, sehingga pada tahun pertama alfaqir di MUSP itu, alfaqir bebas keluar masuk pejabat dan bilik guru oleh kerana khidmat kepada beliau.

Pernah sekali ketika para asatizah minum petang, ketika itu Maulana Husnul Hizam sedang membuat kuah rojak di dalam pejabat, alfaqir potongkan buah, dan bersama mereka Maulana Mansur, Maulana Ali, Ustaz Yusof dan beberapa asatizah yang lain sedang asyik bersembang, ketika itu Maulana Mansur tersentuh Kisah Hal Ehwal pelajar sedangkan alfaqir ada di waktu tersebut, maka Maulana Husnul terus menghentikan perbualan tersebut sambil mengisyaratkan kepada alfaqir tetapi mereka tidak menyuruh alfaqir keluar sehinggalah Maulana Amir Hamzah sendiri yang berkata, “Hafiz, minta keluar sekejap” Masyaallah Tabarokallah, walaupun memang alfaqir tahu apa yang sepatutnya alfaqir lakukan ketika itu tetapi cara beliau dan para asatizah menghormati antara satu sama lain sangatlah luar biasa.

Mereka adalah permata-permata bernilai yang sukar dicari ganti akan kehebatan ilmu dan adab mereka, moga-moga Allah alirkan keberkatan dan asror mereka kepada kami. Ya Allah, peliharalah para ustaz-ustaz kami di dunia dan di akhirat, panjangkan umur mereka dan perluaskan rezeki mereka, Engkau ambillah mereka untuk usaha agama ini dan daripada kami juga.

Ya Allah jadikan kami murid-murid yang mendapatkan redho dan nazroh mereka, wabil khusus Ustazana wa Syeikhuna Maulana Amir Hamzah. Mohon sama-sama doakan beliau agar Allah berikan afiah dan kesihatan yang berpanjangan agar ummah dapat mengambil banyak manfaat daripada beliau Insyaallah. Amin.

Antara pesanan beliau kepada alfaqir :

1) Hafiz, jika seorang ustaz memukulmu tanpa sebab, itu bermaksud Allah nk bagi berkah yang besar daripada ustaz tersebut.

2) Tanda Allah sayang pada kita, dia akan bagi kita kekuatan bangun  malam untuk tahajud.

3) Hafiz, beradablah dengan gurumu melebihi adab dengan kawanmu, misal jika dengan kawan kamu beri sesuatu dengan tangan kanan maka dengan guru berilah dengan Kedua-dua tangan.

4) Kemanisan belajar ini kita hanya dapat dengan susah payah.

5) Hafiz, jika guru tidak redho, pergilah belajar dimana pun, Allah tidak akan ambil kamu menjadi ulama.

6) Jangan lupa doakan guru sepertimana doa kepada ibu bapa, kerana mendoakan guru menambahkan keberkatan dalam pembelajaran.

7) Hormatilah semua orang yang lebih tua daripada kita walau dia ahli maksiat sekalipun, kita tidak tahu siapa yang Allah terima di hujung nyawa nanti.😭

By |2020-06-23T04:12:46+00:00June 3rd, 2020|Akhlak|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

Huzaifah Jamaluddin Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia
Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia terdiri daripada beberapa orang sukarelawan yang meguruskan perjalanan laman sesawang DUM.
Go to Top