Aku Ingin Merdeka

AKU DISIKSA. AKU DIHINA. AKU DIPERLAKUKAN SEPERTI BINATANG. SUDAH BERKALI AKU CUBA MELARIKAN DIRI. TAPI, SETIAP KALI ITULAH AKU DITANGKAP PENGAWAL RUMAH ENCIK YAP HONG SENG.

Krek!

Pintu bilik terkuak. Terlihat sekujur tubuh tuannya di luar bilik. Mas Yanti diserbu cemas. Apakah malam ini dia bakal dipukul lagi oleh tuannya? Mas Yanti teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah didengarnya melalui televisyen apabila tuannya secara tak sengaja membuka rancangan itu.

“Minta tolonglah kepada Allah. Pasti DIA kan membantu kita”, ujar ustaz yang berwajah bersih itu.

Ya Allah andai benar sebegitu kau bantulah aku menghindarkan diri dari cengkaman kuku besi tuanku. Ya Allah andai benar Engkau Tuhan Yang Sebenar Kau selamatkanlah aku.

Encik Yap Hong Seng terhuyung-hayang menuju ke arahnya. Mas Yanti berlari untuk menyelamatkan diri. Namun, tuannya itu itu tetap mara ke arahnya. Mas Yanti hanya mampu berserah apabila tuannya itu hendak menggapai bahunya. Namun, tiba-tiba tangan itu terhenti dan Encik Yap Hong Seng terjelepok jatuh ke lantai.

Alhamdulillah… dia terselamat kali ini. Dia sudah pandai menyebut kalimah itu. Kalimah yang sering disebut oleh driver Encik Yap Hong Seng, Solehuddin.

“Subhanallah walhamdulillah wa la ilaha illallah wallahu akbar.” Zikir yang sering terpasang di kereta Encik Yap Hong Seng stiap kali Solehuddin membawanya ke pasar berkumandang di corong telinganya.

Dia menyebut satu persatu. Dia sudah hafal kalimah-kalimah itu. Sering Solehuddin memasang cd itu setiap kali mereka berdua tanpa Encik Yap Hong Seng.

Dia pernah bertanya maksud kalimah-kalimah itu.

“Subhanallah bermaksud Maha Suci Allah. Yakni Maha Suci Allah dari mempunyai isteri, anak dan menyerupai manusia. Allah itu hanya Satu”, terang Solehuddin.

“Ya, subhanallah bermaksud Maha Suci Allah dari sifat-sifat yang menyamai makhluk. Makhluk tu benda yang dicipta”, kata Solehuddin. “Tangan  kita, kaki, badan, semuanya ciptaan Allah. Hatta lalat seekor pun Allah yang cipta.”

“Allah pernah mencabar orang-orang yang tak percaya tentang keesaan Allah supaya mencipta lalat.”

“Mana mungkin!” balas Mas Yanti.

“Ya, Allah menempelak mereka dengan menyatakan bahawa untuk  menghalau lalat yang datang menghurung mereka pun mereka tidak mampu, ini kan pula untuk mencipta lalat.”

Hebatnya Allah dapat mencipta lalat yang sekecil itu. Dan bertambah hebat lagi kerana Allah berkuasa mencipta makhluk yang lebih kecil daripada lalat.

Pang!

Satu tempeleng singgah ke pipinya. Wajah Mas Yanti terpaling ke sisi.

“Apa you masak ni? You ingat aku ni ayam ke? Nak makan beras?”

“Saya…saya silap sukat air, Tuan. Nanti saya masak semula..” ujarnya tergagap-gagap.

“You makan nasi beras ni!” Encik Yap Hong Seng melumur nasi yang masih panas itu ke muka Mas Yanti. Mas Yanti menjerit kesakitan. “Amacam? Sedap?”

Azabnya siksaan Encik Yap Hong Seng. Wajahnya melecur sana sini. Dan Encik Yap Hong Seng tidak pun membawanya ke klinik atau ke hospital. Dia terpaksa menanggung derita berhari-hari.

Hanya Solehuddin yang datang membawa ubat kepadanya. Dan dia semakin terhutang budi dengan lelaki itu.

“Maryam dulu menghadapi derita lagi sengsara. Dituduh mengandung anak haram. Kemudian diejek dan dipandang hina oleh masyarakat setempatnya”, tutur Solehuddin selepas menghulur ubat sapu kepada Mas Yanti.

“Maryam? Mary?”

“Ya, Mary dalam Bahasa Inggeris. Dia merupakan di antara insan yang paling kuat menerima cubaan. Tetapi, cubaan yang dihadapinya bukanlah bermakna Allah sengaja hendak menyiksanya. Allah nak tambah kekuatan di hatinya supaya kental. Dan dianugerahkan pula insan pilihan dari rahimnya sendiri.”

“Jesus?” tanya Mas Yanti.

“Jesus atau Isa al-Masih di dalam al-Quran.”

Kata Solehuddin lagi, tak mungkin Tuhan yang Maha Kuasa memerlukan isteri. Apatah lagi anak? Kerana Pencipta tidak akan sama dengan yang dicipta. Allah Sempurna. Amat Berkuasa.

“Al-Quran? Apa itu al-Quran?” tanya Mas Yanti seterusnya.

“Al-Quran itu kata-kata Allah yang diterjemahkan oleh Allah sendiri ke dalam Bahasa Arab dan disampaikan kepada Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w” beritahu Solehuddin.

“Al-Quran telah mencabar manusia mencipta walau satu ayat yang indah seumpama al-Quran. Tetapi manusia pada zaman al-Quran diturunkan hinggalah ke hari ini belum dapat mencipta walau satu ayat sebanding al-Quran. Itu membuktikan bahawa al-Quran Mukjizat Nabi, iaitu bukti bahawa Muhammad utusanTuhan Sang Pencipta Sebenar.”

“Masa kini mendapati ayat-ayat al-Quran tidak bercanggah dengan penemuan-penemuan saintifik yang tidak ditemui ketika zaman Nabi Muhammad dahulu.”

Solehuddin menceritakan tentang perkataan “ ‘alaqah ” yang ada di dalam al-Quran bermaksud “lintah” atau “sesuatu yang melekat”. Sains membuktikan janin di dalam perut ibu pada peringkat permulaan berbentuk seperti lintah dan melekat di dinding rahim. Betapa serasinya kalimah di dalam al-Quran dengan fakta Sains kini. Mas Yanti semakin kagum dengan al-Quran. Perlahan-lahan dia menyebut: Subhanallah!

“Woi!! Apa sub..lah-sub..lah ” sergah Encik Yap Hong Seng. Lidahnya telor untuk menyebut kalimah itu.

Dada Mas Yanti berdetup-detap.

“Ooo, jadi selama ni you dua orang memadu asmara di sini ya!”

“Tak.” Saya cuma…” Tempeleng kena ke muka Solehuddin.

“Pergi dari sini, Solehuddin! You dipecat!”

Solehuddin ternganga menadah keputusan tuannya. Dia menjauh dari tempat itu dan menghilang dari situ.

“You!” Yap Hong Seng berpaling pula ke wajah Mas Yanti. “Nak menggatal ye!” Dia menampar wajah Mas Yanti berkali-kali.

Wajah Mas Yanti kemerah-merahan  ditampar Yap Hong Seng. Dia cuma membatu menerima deraan dari bosnya. Ya Allah selamatkan aku!, doanya di dalam hati.

Suatu malam, bulan cerah…Mas Yanti terjaga daripada tidur. Dia berjalan keluar dari bilik menuju ke dapur.

Suasana hening. Hanya cengkerik bernyanyi keriangan kedengaran. Tiba-tiba menyelinap idea itu di fikiran Mas Yanti. Dia menjelajah ke seluruh rumah banglo itu. Tiada sesiapa! Semua tidur…

Dia pergi pula memulas tombol pintu belakang rumah itu. Tak kunci! Inilah peluangnya! Dia memulas tombol itu penuh cermat, kemudian menyelit di antara daun pintu belakang itu. Memang tuannya lalai kali ini…pintu gril belakang rumahnya tak dikunci.

Perlahan-lahan Mas Yanti pergi ke pintu depan, mencuri kunci pagar rumah Encik Yap Hong Seng.

Pagar terbuka! Dan dia mula memecut langkah seribu. Ya Allah Alhamdulillah!, ucapnya di dalam hati. Aku merdeka kini…

By |2020-06-16T06:01:15+00:00June 16th, 2020|Tulis dan Menang Syawal 1441|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

About the Author:

Rohaida Abd Rahim
Nama Sebenar : Rohaida Abd Rahim
Nama Pena : Naurah Musyahidah, ,Rohaida Abd Rahim, dan Naimal Aina
Umur : 39 Tahun

Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Malaya (Major: Al-Quran & Hadith)
Pernah Berkhidmat : Guru Pendidikan Bahasa Arab Dan Pendidikan Islam
Kerjaya Sekarang : Penulis Bebas

Hasil Penulisan Yang Pernah Diterbitkan:
§ Sajak: Inspirasi Cinta Nan Suci  dalam “Dewan Agama Dan Falsafah Mac 2005”
§ Cerpen: Sebuah Perkongsian dalam “Dewan Agama Dan Falsafah Julai 2005”
§ Cerpen: Ku Sangka Panas Hingga Ke Petang dalam “Cahaya Januari-Februari 2008”
§ Cerpen: Redha-Mu dalam “Harmoni 1-15 Mac 2008”
§ Artikel: Solat Sebagai Tanda Terima Kasih dalam “Cahaya Mei-Jun 2008”
§ Artikel: Solat Sebagai Tanda Terima Kasih dalam “Utusan Melayu, Isnin 7 Julai 2008/  4 Rejab 1429”
§ Cerpen: Siapa Sangka dalam “Anis Ogos 2008”
§ Cerpen: Benih Cinta Nasuha dalam “Mingguan Wanita”, keluaran 27/03/2009
§ Sajak: Insan Didikan Allah dalam “Cahaya Mac-April 2009”
§ Sajak: Adakah Rasulullah Menitiskan Air Mata dalam “Harakah”, keluaran 13/04/2009
§ Sajak: Terimalah Mufaraqahku dalam “Harakah”, keluaran 18/05/2009
§ Cerpen: Jalan Ke Syurga dalam “Mingguan Wanita”, keluaran 22/05/2009
§ Cerpen: Andai Kumemiliki Kecantikan Itu dalam “Cahaya September-Oktober 2009” terbitan JAKIM
§ Cerpen: Nur Kasih III dalam “Harakah”, keluaran 11/12/2009
§ Cerpen: Sesuci Kasihmu dalam “Anis”, keluaran 01/02/2010
§ Cerpen: Ria Itu Sendu Bagiku dalam “Harakah”, keluaran 15/02/2010
§ Sajak: Wanita..Syurga Atau Neraka dalam “Dara.Com” , keluaran 01/03/2010
§ Sajak: Melihat Cermin dalam “Harakah”, keluaran 08/03/2010
§ Sajak: Orang Yang Mencintai Ilahi dalam “Dara.Com”, keluaran 01/04/2010
§ Sajak: Rasa Kantuk dalam “Harakah”, keluaran 23/08/2010
§ Sajak: Apabila Tuhan… dalam “Harakah”, keluaran 29/10/2010
§ Sajak: Taubat dalam “Harmoni 15-30 November 2010”
§ Sajak: Tudung Labuh dalam “Harakah”, keluaran 03/12/2010
§ Sajak: Andai dalam “Harakah”, keluaran 24/12/2010
§ Novel Motivasi Remaja: Bukan Sekadar Kawan, Terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Petaling Jaya, Selangor, Cetakan Pertama & Kedua 2010
§Novel Tarbiah 2 dalam 1: 3 Jiwa 1 Cinta & Dilema Cinta Ain, Terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Petaling Jaya, Selangor, Cetakan Pertama 2014 & Cetakan Kedua.
Go to Top