Home/Biografi/Imam Bukhari : Beliau diciptakan untuk Hadis

Imam Bukhari : Beliau diciptakan untuk Hadis

Kelahirannya
Imam Bukhari dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194 H di Bukhara, Uzbekistan. Nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bazdazabah al-Ja’fi al-Bukhari. Beliau ialah penyusun kitab hadis Sahih Bukhari yang terkenal.

Buta di waktu kecil
Ketika masih kecil, ayahnya iaitu Ismail sudah meninggal dunia dan beliau dibesarkan oleh ibunya, seorang wanita yang solehah. Ketika kecil kedua mata Imam Bukhari buta. Suatu ketika ibunya bermimpi melihat Nabi Ibrahim berkata kepadanya, “Wahai ibu, sesungguhnya Allah telah memulihkan penglihatan anakmu karena banyaknya doa yang kamu panjatkan kepada-Nya.” Pagi harinya dia dapati penglihatan anaknya telah sembuh.

Bersih
Beliau tidak pernah makan atau diberi makanan yang syubhah, apatah lagi haram. Bapa beliau pernah berkata sebelum menghembus nafasnya yang terakhir: “Aku tidak tahu adanya syubhah pada hartaku walau satu dirham.”

Kekuatan daya ingatan
Beliau telah dikurniakan oleh Allah dengan otak yang sangat cerdas dan daya ingatan yang kuat untuk merakam setiap pelajaran yang diperolehinya. Beliau mengingati hadis yang diajarkan oleh gurunya hanya dengan mendengar sedangkan pelajar-pelajar yang lain sibuk mencatat. Beliau pernah berkata, “Aku dapat menghafal sebanyak 100,000 hadis sahih dan 200,000 hadis yang tidak sahih.”

Diuji rakan
Semasa umurnya masih kecil beliau selalu mengikuti rakannya mempelajari hadis di Basrah namun tidak mencatatnya. Selepas beberapa hari rakan-rakannya mengujinya dengan mengeluarkan kesemua catatan mereka. Imam Bukhari bukan sahaja membetulkan kesilapan yang berlaku pada catatan mereka itu bahkan menambah lagi 15,000 hadis yang tertinggal.

Sambutan ulama Baghdad
Semasa beliau datang ke Baghdad ulama di sana menyambutnya dengan ujian kekuatan hafalannya. 100 hadis dibahagikan kepada 10 orang dan sengaja diubah-ubah matannya dan diubah-ubah sanad rawinya. Setiap orang membacakan 10 hadis kepada Imam Bukhari. Imam Bukhari lalu mengulangi kesemua 100 hadis yang sengaja diubah-ubah kepadanya itu dan kemudiannya membetulkan kembali kesemuanya menjadi matan dan sanad rawi yang betul

Teramat ramai gurunya
Beliau mengembara untuk bertemu dengan seluruh syeikh-syeikh hadis yang berada di seluruh negara yang mungkin untuk beliau sampai ke sana. Beliau menulis hadis daripada lebih 1000 orang guru.

Teliti dalam mempelajari Hadis
Demi suatu hadis, beliau telah berjalan 200 batu untuk berjumpa dengan seseorang tetapi membatalkan niatnya setelah dia merasakan orang tadi menipu kudanya apabila orang itu memanggil kudanya menggunakan helah satu bekas rumput yang kosong.

Kitab Sahih Bukhari
Beliau mengambil masa 16 tahun untuk menyusun kitab al-Jami’ us-Sahih atau dikenali dengan nama kitab Sahih Bukhari di mana beliau telah memilih hadis yang sahih daripada 600,000 hadis.

Tawajjuh pada Allah
Beliau terlebih dahulu solat istikharah dua rakaat dan memohon kepada Allah. Sesudah itu apabila beliau yakin bahawa sesuatu hadis itu benar-benar sahih barulah dimasukkan ke dalam kitab al-Jami’ us-Sahih yang disusun ketika di Masjidil Haram.

Beradab dengan Ilmu
Gabenor Bukhara pernah memerintahkan Imam Bukhari untuk datang ke istana untuk memperdengarkan hadis dari kitabnya. Imam Bukhari menolak permintaan itu dan meminta Gabenor sendiri datang kepadanya kerana itulah adab dan ketinggian darjat ilmu. Gabenor menjadi marah lalu menghalau Imam Bukhari keluar dari Bukhara.

Halus perasaannya
Berperibadi lemah lembut, baik sifatnya dan amat halus perasaannya. Satu peristiwa, seorang dari hambanya telah terlanggar bekas dakwat di hadapannya namun memberikan alasan tiada jalan lain untuk dilalui. Imam Bukhari bukan sahaja tidak marah kepada hamba itu bahkan telah membebaskannya.

Khusyu’ dalam solat
Beliau dikurniakan oleh Allah dengan khusyu’ di dalam solat. Satu peristiwa, sesudah menunaikan solat sunat selepas zohor beliau meminta rakannya memeriksa jubahnya kerana terasa sakit. Mereka melihat 16-17 bekas sengatan lebah pada tubuhnya. Bila ditanya mengapa tidak hentikan solat beliau menjawab bahawa beliau sedang membaca satu surah dan ingin menghabiskannya.

Mutolaah di malam hari
Beliau sering bangun malam sebanyak 15 hingga 20 kali dan menyalakan pelita untuk menulis faedah-faedah ilmu yang terlintas dalam fikirannya di samping mengulangkaji apa yang beliau catat.

Alim pelbagai bidang
Karya Imam Bukhari yang lain yang terkenal adalah kita At-Tarikh iaitu kitab tentang hal ehwal para sahabat dan tabi’in serta ucapan-ucapan serta pendapat-pendapat mereka. Dalam bidang Akhlak beliau menyusun kitab al-Adab ul-Mufrad. Dan dalam bidang Akidah beliau menyusun kitab Khalqu Af’aal ul-Ibaad.

Menemui Tuhan
Beliau meninggal dunia pada malam Hari Raya Aidil Fitri tahun 256 H / 870 M ketika umur beliau 62 tahun. Ketika jasad beliau dimasukkan ke dalam liang lahad, bau yang amat harum semerbak kasturi muncul dan berkekalan selama beberapa hari.

Rujukan : Hadyu us-Sari, al-Bidayah Wa al-Nihayah, Siyar A’laam An-Nubala’.

By |2020-03-25T16:57:15+00:00March 25th, 2020|Biografi|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top