Home/Tulis dan Menang Syawal 1441/Iman itu adalah Percuma

Iman itu adalah Percuma

Beli satu, percuma satu, wow! Itulah di antara saat-saat yang dinantikan oleh ramai orang. Siapa yang tak nak barang percuma kan? Ibarat rezeki datang, tanpa diminta dan tanpa perlu bersusah payah, siapa yang menolak dialah yang rugi.

Mafhum hadis Rasul saw, “Wahai manusia ucaplah, La ilaha illallah (kalimah), nescaya kamu akan berjaya”. Masya Allah, mudahnya untuk berjaya. Hanya ucapkan kalimah dan kita akan digelar sebagai orang yang berjaya!

Ulama menjelaskan bahawa kalimah ini merupakan sedekah untuk seluruh alam. Asbab adanya manusia walaupun hanya seorang sahaja yang hidup di atas muka bumi ini dan dia mengucapkan kalimah maka hari kiamat tidak akan tiba (Insyaa Allah). Justeru itu, seluruh makhluk seperti pohon-pohon, batu-batu, sungai, laut, planet, bintang dan lain-lain sangat berterima kasih kepada manusia yang secara terus-menerus mengucapkan kalimah ini kerana atas maksud itu mereka semua akan berkekalan di atas muka bumi ini dengan tenang.

Pentingkah kalimah ini? Hebatkah kalimah ini? Bukankah ia diberikan secara PERCUMA? Perlukah diambil berat terhadap perkara yang didapati dengan PERCUMA? Itulah hakikatnya, barang atau sesuatu yang diperolehi dengan PERCUMA jarang dijaga, disimpan atau dihargai dengan sewajarnya. Apakah sebab yang mendorong kepada sikap yang sebegini? Jawapannya, adalah sebab kita rata-ratanya tidak terdetik untuk mengambil tahu tentang nilai dan keistimewaan yang tersembunyi di sebalik sesuatu yang diperolehi dengan PERCUMA itu.

Sebelum terlambat, sama-samalah kita kenali nilai kalimah yang kita perolehi dengan PERCUMA ini. Bak kata peribahasa, ‘Tak kenal maka tak cinta’.

Alkisah…….

Satu ketika ada seorang pemuda yang sedang berjalan-jalan. Dipertengahan jalan, tiba-tiba dia tersepak batu. Apabila dia nak marahkan batu itu, dia terpersona melihatkan batu itu yang kelihatan sangat luar biasa, bersinar-sinar dan sangat berseri. Dia pun kutip batu itu, membelek-belek akan batu itu dan terus dibawanya pulang.

Di rumah, dia tunjukkan batu itu kepada ayahnya.

Pemuda: “Ayah , cuba tengok batu ini?”

Ayah: “Wah! Batu apa ni, cantik! Kamu dapat dari mana?”

Pemuda: “Saya jumpa kat tepi jalan tadi ayah. Ayah rasa batu ini ada harga tak  ayah, nampak macam batu mahal?”

Ayah: “Entahlah… ayah tak pasti, apa kata kamu pergi tanya jiran-jiran di luar sana, mungkin ada yang tahu?”

Pemuda itu pun mula bertanyakan mengenai batu tersebut kepada semua orang kampung yang ditemuinya dengan semangat yang berkobar-kobar. Walaupun jawapan yang diterimanya sangat menghampakannya namun dia tidak mahu menyerah kalah begitu sahaja sebab dia betul-betul yakin bahawa batu yang ada di dalam genggamannya itu memang luar biasa.

Dia terus berusaha lagi dan lagi sehingga cubaan terakhirnya membuahkan hasil. Di mana, seorang pakcik yang ditemuinya, setelah dia membelek-belek memerhatikan batu itu, dia pun mensyorkan kepada pemuda itu untuk pergi ke istana Raja, sebabnya tambah pakcik itu lagi, Raja sangat suka mengumpul batu dan Rajalah yang paling arif tentang batu.

Di istana Raja, setelah pemuda tersebut bertungkus-lumus membela diri dengan pengawal istana untuk mendapatkan peluang berjumpa dengan Raja, akhirnya dia dibenarkan masuk ke dalam istana dan berpeluang untuk menghadap Raja tersebut.

Pemuda: “Tuanku, bolehkah beritahu patik tentang batu ini, samaada ianya ada nilai ataupun tidak?”

Raja sangat terkejut dan teruja melihat akan ‘batu permata’ yang dipersembahkan oleh pemuda tersebut yang sememangnya sangat berharga dan sangat susah untuk didapati.

Raja: “Wahai orang muda, beta benarkan kamu  masuk ke dalam istana beta dan ambillah apa sahaja barang yang kamu suka sebagai ganti untuk batu ini, sebab batu ini  sekarang beta yang punya. Beta bagi kamu masa selama 8 jam untuk itu. Masa kamu bermula dari sekarang.”

Pemuda: “Wahh….terima kasih, terima kasih, tuanku!”

Pemuda tersebut berasa sangat puas hati sebab ternyata batu itu ada nilainya, ada harganya. Dia pun berhati-hati melangkah masuk ke dalam istana yang dipenuhi dengan kelengkapan-kelengkapan yang sangat mahal, mewah dan berprestij. Sambil memandang ke kiri dan ke kanan, dia mula merangka satu senarai yang panjang tentang barang-barang yang akan diangkutnya keluar bersama-samanya nanti. Sedang dia berlegar-legar di dalam istana, sampailah dia di hadapan kamar Raja. Dia sangat terpesona melihat katil Raja di mana tilamnya sangat tinggi dan empuk. “Wah! Hebatnya….” Dia pun mengambil peluang untuk merasai kelembutan tilam tersebut.

Dia mula naik dan melompat-lompat di atas katil itu beberapa kali sehingga akhirnya dia terlena di atas katil yang sangat empuk itu sambil dibuai mimpi- mimpi yang indah. Tiba-tiba….

Pengawal istana: “Hei! Budak! Bangun! Masa kamu telah tamat. Kamu perlu keluar dari istana sekarang! Bangun!”

Pemuda: “Apa! Masa dah habis! Aduh… macam mana ni??? Tuan, tolong tuan! Bagi saya masa sikit saja lagi, saya betul-betul tak sempat nak  ambil apa-apa pun… Tolong tuan….”

Pengawal istana: “Maaf, kamu kena keluar dari istana ini sekarang juga cepat! Cepat!”

Keluarlah pemuda tersebut dengan tangan yang kosong. Bak kata peribahasa, ‘Yang dikejar tak dapat, Yang digendong berciciran’. Sedihnya nasib pemuda tersebut kan? Berusaha bermati-matian tetapi akhirnya kecewa yang ditemuinya.

Kisah di atas merupakan tamsilan atau contoh yang boleh dijadikan ikhtibar dalam realiti kehidupan kita di atas muka bumi Allah swt ini. Di mana, batu atau batu permata yang digambarkan itu adalah IMAN yang kita milikinya dengan PERCUMA manakala  istana dan segala kemewahannya pula adalah dunia dan segala perhiasan yang menghuni di dalamnya.

Insan yang beriman adalah pilihan Allah swt semata-mata. Di antara ribuan malah jutaan manusia yang diciptakanNYA, hanya segelintir sahaja yang dipilihNYA untuk dianugerahkan dengan Iman. Betapa bertuahnya mereka yang dilahirkan ke muka bumi dengan dihiasi dengan Iman. Iman diperolehi tanpa perlu susah payah dan diberi dengan PERCUMA sahaja.

Satu ketika, Nabi Musa as bertanya kepada Allah swt, “Ya Allah swt, kenapa Engkau tidak berikan hidayah atau Iman kepada semua orang, bukankah mudah macam itu?” Jawab Allah swt, “Wahai Musa as pergilah kamu ke kebun bunga itu dan petiklah seberapa banyak bunga yang kamu suka dan bawa kemari?” Maka Nabi Musa as pun telah pergi ke kebun yang dimaksudkan oleh Allah swt dan memetik bunga-bunga yang disukai oleh Baginda as. Setelah dipersembahkan kepada Allah swt, maka tanya Allah swt, “Musa as, ada banyak lagi bunga-bunga di kebun itu dan kebanyakkannya memang cantik-cantik, mengapa hanya beberapa kuntum ini sahaja yang kamu pilih?” Jawab Nabi Musa as, “Ya Allah swt, hanya ini sahaja yang menarik perhatian aku dan aku sangat suka kepada bunga-bunga ini”. Lalu jawab Allah swt, “Macam itulah juga dengan AKU, hanya mereka-mereka yang disukai oleh AKU sahaja yang dikurniakan dengan Iman sejak mereka lahir lagi.”

Ulama menegaskan bahawa ini bukan bermaksud bahawa manusia-manusia yang lain yang dilahirkan tanpa Iman itu perlu dibiarkan begitu sahaja. Sebaliknya menjadi tanggungjawab orang-orang yang beriman yang dipilih oleh Allah swt sebagai khalifahNYA untuk terus mengajak dan menyeru mereka ke arah ‘amr bil maa’ruf dan nahi anil mungkar’ iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran.

Dengan menggalas tugas sebagai khalifah itu, kita bakal diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Sepertimana firman Allah swt, “Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang menolong agamaKU nescaya AKU akan menolongnya dan meneguhkan kedudukannya”. (Surah Muhammad : 7)

Dalam erti kata yang lain, pada hari ini apabila kita tahu bahawa di sekian-sekian tempat ada diberikan hadiah atau barangan secara percuma maka menjadi lumrah manusia yang selalu fikirkan kebaikan orang lain, kita akan segera menyampaikan akan hal ‘percuma’ itu kepada orang lain agar semua orang terutamanya yang berada di sekeliling kita dapat sama-sama turut merasai faedah daripada hadiah percuma yang bakal diperolehi itu.

Tambahan lagi, apabila ada ganjaran khas atau bonus yang dijanjikan kepada mereka-mereka yang berusaha untuk menyebarkan tentang iklan barangan percuma itu. Masya Allah, seronoknya! Bukan setakat dapat barangan percuma malah dapat imbuhan khas lagi hanya kerana menyampaikan berita atau iklan mengenai barangan percuma itu tadi kepada yang lain. Bak kata orang putih, ‘Sharing is Caring’.

Seronok kan, apabila kita bercakap tentang hadiah, ganjaran dan bonus yang lumayan, tetapi untuk itu semua, kita perlu pastikan bahawa Iman yakni batu permata yang ada dalam genggaman kita perlu sentiasa berada dalam keadaan yang berkilat dan bersinar.

Hakikatnya,apabila kita dihantar ke muka bumi dengan Iman di dada, kita menjadi alpa, lupa dan lalai untuk menggilapnya dan menjaganya dengan baik sehingga kita terpaksa menggadaikannya kepada keindahan dunia yang bersifat hanya buat sementara. Yang bekerja sibuk dengan pekerjaannya, yang belajar sibuk dengan pelajarannya hatta yang suri rumah pun sibuk dengan urusan rumah tangganya sehingga maksud dan tujuan sebenar kita diciptakan telah diabaikan.

Bangunlah dan sedarlah daripada mainan mimpi-mimpi yang mengasyikkan. Jangan sampai apabila kita dijemput kembali untuk menemui Allah swt yakni maut, kita membawa batu permata (Iman) yang malap dan suram tanpa cahaya. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran’ dalam kisah pemuda di atas.

Kubur adalah tempat yang sangat gelap dan yang sangat berhajat kepada cahaya. Mari kita sama-sama gilapkan dan kembalikan sinaran pada batu permata (Iman) kita hanya dengan dua cara yang sangat mudah, iaitu dengan mematuhi segala perintah Allah swt dan menjauhi daripada segala laranganNYA. Justeru itu, marilah kita sama-sama bersyukur di atas nikmat Iman ini yang sudah pastinya akan memimpin kita menuju ke syurga Allah swt.

By |2020-06-18T03:33:48+00:00June 18th, 2020|Tulis dan Menang Syawal 1441|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top