Home/Sejarah/Institusi Pengajian Agama yang Berasaskan Taqwa dan Mujahadah

Institusi Pengajian Agama yang Berasaskan Taqwa dan Mujahadah

Institusi pengajian terulung di benua Hindustan yang juga dikenali sebagai Al-Azhar Hind iaitu Darul Ulum Deoband telah diasaskan pada tanggal 30 Mei 1866. Sejarah penubuhan institusi pengajian ini adalah berasaskan kepada manifestasi umat Islam ketika itu. Iaitu selepas terjadinya satu revolusi umat Islam di India yang telah bangun menentang penjajah British sehingga tercetusnya pertempuran di medan Shamli pada tahun 1857.

Tunjang utama di sebalik penentangan berbentuk jihad ini ialah Qutbul Arifin Haji Imdadullah Muhajjir Makki رحمة الله عليه. Turut berada disamping beliau ialah dua orang murid yang juga merupakan khalifah beliau iaitu Hujjatul Islam Maulana Muhammad Qasim Nanotwi رحمة الله عليه dan Faqihun Nafs Maulana Rashid Ahmad Ganggohi رحمة الله عليه. Manakala seorang lagi yang turut serta dalam misi jihad ini ialah al-Hafiz Damim Thanwi رحمة الله عليه.

Setelah tercetusnya pertempuran di medan Shamli ini, pasukan umat Islam di bawah pimpinan Haji Imdadullah رحمة الله عليه telah mengalami kekalahan. Pertempuran ini turut mengorbankan seramai 113 umat Islam termasuklah al-Hafiz Damim Thanwi رحمة الله عليه sendiri.

Selepas kekalahan tersebut, Haji Imdadullah رحمة الله عليه telah bersembunyi daripada buruan penjajah British dan secara rahsia telah berhijrah ke Makkah dan terus menetap di sana. Maulana Qasim Nanotwi رحمة الله عليه telah berjaya melarikan diri dari buruan dan telah bersembunyi secara rahsia. Manakala Maulana Rashid Ganggohi رحمة الله عليه telah ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah British.

Sejurus selepas kekalahan dalam pentempuran tersebut, Haji Imdadullah رحمة الله عليه dan sahabatnya telah mengundurkan diri daripada aktiviti politik.

Para masyaikh ini merasakan bahawa perlu ada satu kekuatan baru yang boleh mempertahankan umat Islam dari serangan politik penjajah British yang didapati menggunakan ejennya untuk menyebarkan dakyah mereka.

Ejen penjajah British ini cuba meracuni pemikiran umat Islam tempatan pada ketika itu dengan mempraktikkan budaya Barat yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni yang diajar oleh agama Islam. Serangan pemikiran penjajah British dilihat lebih berbahaya kepada umat Islam.

Lalu keputusan yang dicapai oleh para masyaikh ini ialah dengan menukar strategi penentangan mereka kepada proses pembentukan jati diri umat Islam dengan usaha dan pendekatan ilmu agama melalui penubuhan institusi pengajian yang lebih sistematik.

Antara individu yang memainkan peranan penting dalam pengasasan institusi ini ialah Maulana Qasim Nanotwi رحمة الله عليه, Maulana Dzul Fiqar ‘Ali رحمة الله عليه, Maulana Rafi‘uddin رحمة الله عليه, Maulana Fadlul Rahman Uthmani رحمة الله عليه, Haji Muhammad ‘Abid رحمة الله عليه dan Maulana Ya‘qub Nanotwi رحمة الله عليه.

Mereka telah mengasaskan Darul Ulum ini di sebuah bandar bernama Deoband, di dalam daerah Saharanpur. Selepas mengasaskan Darul Ulum Deoband, kesemua mereka telah dilantik menjadi ahli Majlis Syura, Darul Ulum Deoband.

Selepas berjaya mengasaskan Darul Ulum Deoband, Maulana Qasim Nanotwi رحمة الله عليه telah berjaya mencetus semangat kepada penubuhan institusi-institusi pengajian lain. Contohnya ialah seperti Mazahirul Ulum di Saharanpur yang diasaskan oleh Maulana Sa‘adat ‘Ali Saharanfuri رحمة الله عليه, iaitu enam bulan selepas penubuhan institusi pengajian Darul Ulum Deoband.

Bagi Darul Ulum Deoband, institusi pengajian ini bermula dengan penuh kesederhanaan dan serba kekurangan. Pengajian dibuat di sebuah masjid kecil lama yang dipanggil Masjid Chattah, di bawah sepohon pokok dengan kehadiran seorang murid dan seorang ustaz.

Hari demi hari, semakin ramai yang mendaftarkan diri untuk memasuki pengajian di sini. Sehingga ruang di Masjid Chattah tidak lagi mampu menampung kehadiran para pelajar ini. Kemudian institusi ini berpindah ke Masjid Qadi dan seterusnya berpindah ke Masjid Jami‘.

Namun demikian keadaan Masjid Jami‘ juga tidak berapa sesuai. Seterusnya usaha pembelian tanah dimulakan. Akhirnya pada tahun 1875, satu kawasan tanah berdekatan dengan kawasan Masjid Chotta telah berjaya dibeli. Batu asas pembinaan telah diletakan pada tahun 1876. Bangunan pertama yang telah dibina itu kemudiannya dikenali sebagai Nawdarah.

Yang menariknya di sini ialah asas pembinaan Darul Ulum ini adalah berdasarkan pengorbanan. Iaitu pengorbanan dariada pihak gurunya, para pelajarnya serta masyarakat setempat.

Hidup dan berdiri megahnya Darul Ulum Deoband ini adalah kerana doa dan sumbangan daripada umat Islam setempat. Darul Ulum Deoband ini tidak menerima pembiayaan daripada mana-mana pihak, melainkan sumbangan daripada umat Islam setempat.

Darul Ulum Deoband telah berkembang dengan pesatnya menjadi sebuah institusi pengajian terulung di benua Hindustan sehinggakan para pelajar dari seluruh dunia telah datang untuk menghirup ilmu Ilahi yang diajarkan di sini.

Berkat usaha keras dan pengorbanan para pengasasnya, maka Allah سبحانه وتعالى telah melahirkan daripada institusi pengajian terulung ini para Mufassir, Fuqaha serta Muhaddisin yang telah banyak memberi sumbangan kepada dunia Islam amnya dan umat Islam di benua Hindustan khususnya.

Darul Ulum Deoband juga telah menjadi benteng kepada umat Islam di benua Hindustan untuk mempertahankan akidah mereka setelah hampir dirosakkan oleh penjajah British melalui dasar Imperalisma mereka. Darul Ulum Deoband juga telah menjadi saksi jerit perih para ulama dalam memperjuangkan kemerdekaan bagi negara India sehinggakan banyak para ulama ini telah ditangkap, diseksa dan dibunuh demi untuk memastikan tiada ancaman kepada kekuasaan British.

Institusi pengajian ini telah mengalami perubahan besar sejak diasaskan. Ia telah berjaya melahirkan sejumlah ulama yang mahir dalam pelbagai disiplin ilmu agama terutamanya ilmu hadis. Mereka mengikuti contoh daripada para masyaikh terdahulu dalam meriwayat, mengajar dan mengembangkan agama.

Sejarah perkembangan pengajian Islam di benua Hindustan tidak dapat dipisahkan dengan peranan dan pengaruh institusi pengajian tersohor ini. Institusi ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ternama dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Ilmu hadis merupakan salah satu bidang yang begitu mendapat perhatian di institusi ini.

Justeru tidak hairanlah apabila institusi ini telah berjaya melahirkan ratusan ulama tersohor yang bertaraf Muhaddisin dalam bidang ini. Kepakaran dan kewibawaan mereka bukan sahaja diiktiraf di tempat mereka sahaja tetapi juga di dunia Islam.

Nama-nama seperti Maulana Qasim Nanotwi رحمة الله عليه, Maulana Rashid Ahmad Ganggohi رحمة الله عليه, Syaikhul Hind Maulana Mahmudul Hasan Deobandi رحمة الله عليه, Maulana Anwar Kashmiri رحمة الله عليه, Maulana Husain Madani رحمة الله عليه dan ramai lagi telah memainkan peranan penting dalam sumbangan ilmu hadis pada masa kini.

Limpahan tradisi keilmuan Darul Ulum Deoband ini telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga telah wujud cawangan-cawangan Darul Ulum Deoband di seluruh dunia.

Pusat pengajian yang telah didirikan oleh para ulama lepasan dari Darul Ulum Deoband ini telah menjadi entiti terbesar di benua Hindustan dan di dunia dalam menjaga dan mengembangkan agama Islam hingga ke seluruh dunia. Semoga Allah سبحانه وتعالى merahmati para masyaikh ini.

By |2020-04-27T06:33:18+00:00December 7th, 2016|Sejarah|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top