Home/Madrasah/Luar Negara/Madrasah al-Iman Prek Pra, Kemboja

Madrasah al-Iman Prek Pra, Kemboja

Sejarah Penubuhan Madrasah al-Iman dan Pengenalan Ringkas Mengenainya

Madrasah al-Iman Prek Pra atau singkatannya MAPP merupakan sebuah institusi pengajian agama yang menggunakan manhaj dars nizāmi dalam pendidikan serta menggabungkan aspek tarbiah dan pendidikan sebagai tunjang utama melahirkan pelajar-pelajar yang berwawasan seterusnya berkhidmat untuk agama dan masyarakat.

Dars Nizāmi merupakan satu sistem pengajian yang sangat terkenal di benua India khususnya madrasah yang dinisbahkan kepada Jāmiʿah Deoband dan Jāmiʿah Sahāranpur. Sistem pengajian ini kebiasaanya mengambil masa tujuh atau lapan tahun. Dalam masa tersebut pengajian akan disusun mengikut tahun iaitu tahun pertama, tahun kedua, tahun ketiga dan seterusnya.

MAPP juga merupakan salah satu cabang madrasah Miftahul Ulum Seri Petaling sebelumnya. Oleh kerana MAPP merupakan bekas salah satu cabang MUSP maka ‌silibus pengajian dan tatatertib pengajiannya adalah mengikut acuan Madrasah Miftahul Ulum Seri Petaling.

MAPP terletak di Prek Pra, Cbhar Ompov, Phnom Penh, Kemboja. Masjid Al-A’ala Prek Pra merupakan markaz ataupun pusat dakwah utama bagi Jemaah Tabligh seluruh Kemboja.
Oleh kerana pra-syarat utama pendakwah itu adalah ilmu maka MAPP ditubuhkan pada tahun 2001 hasil mesyuarat ahli fikir Kemboja dengan syura Thailand bertujuan untuk melahirkan para hafiz dan alim yang berjiwa dakwah dalam menerajui umat menuju puncak kegemilangan dalam ilmu, amalan agama yang sempurna dan usaha membangunkan agama.

‌Madrasah ini bermula dengan pengajian tahfīz dengan bilangan 10 orang pelajar dan seorang guru. Kemudian madrasah ini telah memulakan pengajian alim pada tahun 2007. Pada tahun 2017 madrasah ini telah memulakan pengajian kitab Misykāt dan pada tahun 2018 dimulakan pengajian Daurat ul-Hadīs.

Sistem Pengajian

Madrasah al-Iman menyediakan dua pengajian iaitu pengajian Alim (Pengajian Islam dan Bahasa Arab) dan pengajian tahfiz serta syahadah. Untuk pengajian Alim pelajar akan bermula dari tahun I’idadi (kelas persediaan), tahun pertama, tahun kedua seterusnya sehingga tahun Daurat ul-Hadīs. Sebelum memasuki tahun Daurat ul-Hadīs pelajar diwajibkan memasuki tahun Misykāt.

MAPP sangat menekankan ilmu alat dan pelajar akan didedahkan dengan fan yang pelbagai seperti Nahu, Sarf, Aqidah, Fiqh, Usul Fiqh, Mantik, Balāghah, Usul Hadis dan lain-lain. Pelajar ditekankan supaya memberi tumpuan dalam semua fan-fan ini tanpa mengkhususkan kepada mana-mana fan. Ini adalah supaya pelajar menjadi mahir atau sekurang-kurangnya mengetahui mengenai perbahasan-perbahasan dalam fan-fan tersebut.

Dalam tahun enam dipanggil juga sebagai tahun Misykāt, pelajar akan mempelajari kitab Misykāt ul-Masābih, sebagai persiapan memasuki Daurat ul-Hadīs.

Tahun pertama sehingga tahun lima mempunyai lapan atau sepuluh mata pelajaran. Namun tahun Misykāt hanya mempunyai enam sahaja mata pelajaran supaya pelajar dapat memberi tumpuan yang lebih kepada kitab Misykāt ul-Masābīh.

Dalam Daurat ul-Hadis iaitu tahun ketujuh dan kelapan para pelajar mula mempelajari kutub sittah iaitu Sahih Bukhāri, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Jāmiʿ Timizi, Sunan Nasāʾi dan Sunan Ibnu Mājah. Pelajar juga akan mempelajari Muwattaʾ Imam Mālik mengikut riwayat Yahya al-Masmūdi.

Di samping itu, demi mengekalkan tradisi ilmu ulama salaf dan keberkatan ilmu pelajar-pelajar sangat ditekankan supaya memelihara adab dan hubungan yang baik dengan para ustaz dan guru. Hubungan tersebut bukan di dalam kelas pengajian sahaja bahkan di luar kelas juga. Madrasah al-Iman merupakan madrasah yang terawal di Kemboja yang menghidupkan sistem pengajian Misykāt dan Daurat ul-Hadīs.

Pengajian hadis di Madrasah al-Iman adalah tersangat baharu dan memerlukan banyak lagi penambahbaikan agar ianya menjadi sebuah instutisi pengajian yang dapat melahirkan ulama’-ulama’ yang mahir didalam ilmu hadis serta memberi sumbangan berbentuk pemeliharaan hadis kepada masyarakat Kemboja khususnya dan masyarakat dunia amnya.

Sebenarnya selain Madrasah al-Iman terdapat beberapa madrasah lain yang telah memulakan perjalanan sistem pengajian yang sama iaitu dars nizāmi di seluruh Kemboja.

Kini madrasah ini mempunyai 140 orang pelajar yang terdiri daripada 25 orang pelajar hafiz dan 105 orang pelajar alim dan 18 orang tenaga pengajar. Alhamdulillah sehingga kini madrasah telah berjaya mengeluarkan 18 orang graduan Daurat ul-Hadīs .

 

Wawasan Madrasah

Melahirkan para hafiz, ulama dan da’i yang berwibawa lagi bertakwa. Seterusnya melahirkan individu-individu mukmin yang terbimbing dalam mengamalkan kehidupan yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah. Individu-individu yang terbentuk melalui proses ini akan berkemampuan untuk menyumbangkan tenaga dalam pembangunan rohani dan jasmani umat seluruh alam walau di mana sahaja mereka berada.

Mudir : Ustaz Abdul Syukur
No telefon :+855 86 637 008
Naib Mudir : Ustaz Musa
No telefon :+855 88 600 4053

By |2020-05-05T22:57:33+00:00May 5th, 2020|Luar Negara|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

Huzaifah Jamaluddin Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia
Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia terdiri daripada beberapa orang sukarelawan yang meguruskan perjalanan laman sesawang DUM.
Go to Top