Home/Tahfiz/Madrasah Hafizah/Madrasah Hadiqatun Nisa’

Madrasah Hadiqatun Nisa’

Madrasah Hadiqatun Nisa’ adalah salah satu daripada beberapa madrasah yang dibuka khusus untuk pelajar perempuan atau lebih dikenali dengan panggilan “Madrasah Banat” atau “Madrasah Lil-Banat”.

Ia dimulakan pada tanggal 8 Jun 2008. Nama asal bagi madrasah ini ialah Madrasah Baitul Hamalatil Quran. Namun demikian semasa proses pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dibuat, perkataan “Baitul” tidak dapat digunakan memandangkan ianya ada kaitan dengan “Baitulmal”. Kerana itu nama madrasah ditukar menjadi Madrasah Hadiqatun Nisa’ dan kekal sehingga sekarang.

Ketika itu Madrasah Hadiqatun Nisa’ hanya menyewa sebuah rumah teres 1 tingkat di kawasan Ampang. Dengan kadar sewa dan ruang yang agak sempit, mereka hanya mampu mengambil 8 orang pelajar sahaja. Selang beberapa masa kemudian pihak Mudir madrasah menemui sebuah rumah sewa 2 tingkat dengan kadar sewa yang sama di kawasan yang berdekatan. Maka madrasah berpindah ke rumah tersebut bagi memberikan ruang yang lebih selesa kepada para pelajar.

Pada awal penubuhan madrasah, mereka menerima pelajar-pelajar yang datang daripada madrasah-madrasah yang lain. Memandangkan kebanyakan mereka tidak mampu membayar yuran di madrasah yang lama maka pihak Madrasah Hadiqatun Nisa’ berniat untuk membantu mereka menamatkan pengajian.

Sedikit sebanyak keadaan ini memberikan beberapa cabaran dan ujian kepada pihak Mudir dan Ustazah yang mengajar pada ketika itu. Namun dengan sifat tawajuh serta harapan kepada Allah dan sikap tegas yang ditunjukkan oleh pihak Mudir dan Ustazah yang mengajar di situ mampu mengawal keadaan.

Pada tahun 2010 sekali lagi Madrasah Hadiqatun Nisa’ berpindah ke tempat lain iaitu di 2 buah rumah apartment di kawasan Kampung Pandan. Dan pada masa ini juga pihak Mudir membuat keputusan untuk mengambil hanya pelajar-pelajar baru yang belum pernah belajar hafizah di mana-mana madrasah lain atau yang baru habis menduduki peperiksaan UPSR.

Tanggal Disember 2015 Madrasah Hadiqatun Nisa’ sekali lagi berpindah ke lokasi baru iaitu di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. 2 buah rumah teres 2 tingkat disewa memandangkan jumlah pelajar telah mencecah 40 orang.

Setakat ini staf madrasah hanya terdiri daripada 2 orang sahaja iaitu seorang Mudir dan seorang Ustazah yang juga merangkap sebagai tukang masak dan warden. Dalam masa yang sama pihak Mudir dan Ustazah juga dibantu oleh pelajar-pelajar yang sudah tamat pengajian dan juga pelajar-pelajar Syahadah.

Sejak awal penubuhannya Madrasah Hadiqatun Nisa’ tidak mengenakan apa-apa yuran kepada para pelajarnya. Kerana itu di awal-awal penubuhannya, Madrasah Hadiqatun Nisa’ mengalami sedikit masalah dari segi kewangan.

Namun demikian dengan izin Allah perjalanan pembelajaran Tahfiz Al-Quran (Hafizah) di sini berjalan dengan lancar dan masih mampu menghasilkan hafizah-hafizah dan lulusan syahadah dalam masa yang singkat.

Kebiasaannya para pelajar di sini berjaya menghafaz Al-Quran dalam tempoh yang singkat iaitu dari satu setengah tahun ke dua setengah tahun sahaja. Manakala pelajar Syahadah pula tamat sekitar 4 ke 5 bulan sahaja.

Semasa Madrasah Hadiqatun Nisa’ berpindah ke Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, pihak Mudir meletakkan yuran minimum RM100 untuk setiap orang pelajar bagi memberikan rasa tanggungjawab serta sifat pengorbanan dari pihak ibu bapa untuk agama.

Namun demikian pihak madrasah masih lagi mengutamakan pengambilan pelajar daripada kalangan keluarga-keluarga yang susah sehinggakan ada di kalangan mereka yang tidak mampu untuk membayar yuran sepenuhnya.

Dengan izin Allah kini Madrasah Hadiqatun Nisa’ telah pun bertukar lokasi ke tempat sendiri yang lebih kekal di kawasan Kampung Sungai Kembung, Bangi Lama.

Bangunan seluas lebih kurang 5,000 kaki persegi di atas kawasan tanah seluas 12,000 kaki persegi itu mampu memuatkan ruang asrama dan kelas untuk lebih kurang 50 orang pelajar wanita. Tanah ini telah dihibahkan oleh tuan tanah yang dermawan kepada mudir madrasah Hadiqatun Nisa.

Kini pihak madrasah masih lagi membuka peluang untuk umat Islam yang lain membuat sumbangan dan khairat bagi menampung perjalanan pengajian pada masa akan datang.

Sebarang sumbangan boleh dibuat pada akaun bank berikut.

Nama Bank : Maybank
Nama Akaun : Hadiqatun Nisa Enterprise
Nombor Akaun : 564548137274
Emel : mdrsh_hadiqatunnisa@yahoo.com
Nama Mudir : Ustaz Abu Ubaidillah
No. Telefon : 012-320 1773 / 011-1225 7375
FB : https://web.facebook.com/mbhquran/

By |2020-05-05T11:01:45+00:00March 25th, 2020|Madrasah Hafizah, Tahfiz|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top