Home/Ibadat/Menghidupkan Amalan di Pagi Hari Raya

Menghidupkan Amalan di Pagi Hari Raya

Selepas Solat Subuh.

Baca istighfar, 100 x:

أسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيمَ الَّذِي لاَ إلَهَ إلاَّ هُوَ، الحَيُّ القَيُّومُ، وَأتُوبُ إلَيهِ

Al-Allamah Syaikh Abdul Hamid Quddus dalam kitabnya, Kanz an-Najah wa as-Surur13 (ms. 194) menyebutkan bahawa Syaikh Al-Wanna’i mengatakan sesiapa yang membaca istighfar 100 x selepas solat Subuh pada hari raya, dosa dalam buku catitannya akan dihapuskan (diampunkan) dan dia selamat daripada siksaan Allah pada hari kiamat nanti.

Al-Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa’id al-Linggi juga menyebutkan perkara yang sama dalam kitabnya Tuhfah al-Authan wa al-Ikhwan (ms. 91).

Mandi Sunat Hari Raya.

Sunat mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya (walaupun sudah mandi pada tengah malam tadi).

Sunat mandi sunat hari raya kepada perempuan yang masih dalam keadaan haid dan nifas dan kepada orang yang tidak pergi menunaikan solat sunat Aidil Fitri. (Lihat Al-Kunuz al-Hashinah, ms. 186.)

Memakai Pakaian yang Paling Baik.

Sunat mengenakan pakaian yang paling baik walaupun tidak baru, sama ada kepada sesiapa yang hendak keluar menunaikan solat sunat hari raya atau tidak, kepada kanak-kanak atau orang tua. (Lihat Al-Kunuz al-Hashinah, ms. 186.)

Memakai Wangi-Wangian.

Sunat memakai wangi-wangian, sama ada kepada sesiapa yang hendak keluar menunaikan solat sunat hari raya atau tidak, kepada kanak-kanak atau orang tua. (Lihat Al-Kunuz al-Hashinah, ms. 186.)

Makan Pada Pagi Hari Raya.

  • Sunat makan sedikit sebelum menunaikan solat sunat hari raya Aidil Fitri.
  • Sunat makan selepas menunaikan solat sunat hari raya Aidil Adha.
  • Sunat memakan tamar (kurma) dengan bilangan ganjil. Jika tidak ada tamar, maka boleh makan apa-apa makanan yang ada.

Solat Sunat Hari Raya.

Imam Nawawi mengatakan Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat sunat hari raya dan umat Islam sepakat akan pensyariatannya. Ia ditunaikan selepas 16 minit daripada waktu matahari terbit (waktu syuruq). Sebahagian ulama’ mengatakan selepas 17 minit. Ia sunat dilakukan secara berjemaah dan boleh juga secara bersendirian (munfarid).

Untuk solat sunat hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha):

  1. Rakaat pertama: Selepas takbiratul ihram dan membaca doa iftitah, hendaklah bertakbir 7 kali dan bertasbih 6 kali.
  2. Rakaat kedua: Selepas takbir intiqalat, hendaklah bertakbir 5 kali dan bertasbih 4 kali.
  3. Bagi makmum yang masbuq (datang lambat) dan contohnya sempat mengikut takbir ke-3 imam pada rakaat pertama, dia akan hanya sempat bertakbir sebanyak 5 kali sahaja ketika imam selesai bertakbir 7 kali. Dia tidak perlu lagi untuk menambah 2 kali takbir yang tidak sempat dilakukannya.

Untuk musim PKP ini,

  1. Solat sunat sunat hari raya Aidil Fitri boleh didirikan di rumah masing-masing secara berjemaah.
  2. Sunat melakukan khutbah hari raya.
  3. Sunat juga solat sunat hari raya Aidil Fitri untuk sesiapa yang duduk seorang di rumah atau berdua dengan isteri tetapi isteri dalam keadaan uzur syar’i (haid).

Menggunakan Jalan yang Berbeza.

Sunat pergi untuk solat sunat hari raya Aidil Fitri melalui jalan yang berbeza dan jalan pergi lebih jauh daripada jalan ketika pulang. (Lihat Al-Kunuz al-Hashinah, ms. 186-187).

Sunat juga pergi dan balik dengan berjalan kaki.

Antara hikmah perbuatan ini ialah:

  1. Pahala pergi menunaikan solat sunat hari raya Aidil Fitri lebih besar daripada pahala balik.
  2. Kedua-dua jalan tersebut akan menjadi saksi pada hari kiamat atas perbuatan baik yang dilakukan oleh seorang hamba di dunia.
  3. Dapat memberi sedekah kepada fakir dan miskin yang dijumpa di jalan.
  4. Jika dia termasuk di kalangan ulama’, maka masyarakat boleh bertanya tentang hukum hakam agama kepada mereka.
  5. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
  6. Bersalam-salam dan bertegur sapa dengan sesiapa sahaja yang dijumpa di kedua-dua jalan yang berbeza, di samping dapat menziarahi sanak saudara dan rakan taulan untuk menghubungkan dan mempererat tali silaturrahim.

Bertakbir dari Rumah ke Tempat Solat Sunat Hari Raya.

Daripada Imam Az-Zuhri meriwayatkan secara mursal berkata:
“Nabi keluar (untuk menunaikan solat) pada hari raya Aidul Fitri sambil bertakbir sehingga sampai di tempat solat dan sehingga solat hendak didirikan. Apabila solat hendak didirikan, Baginda berhenti bertakbir.” (Riwayat Imam Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf. Hadis daripada Imam Az-Zuhri ini adalah hadis mursal, tetapi memiliki syawahid yang sanadnya bersambung.)

Saling Bermaaf-Maafan.

  • Ia suatu perkara yang sangat baik untuk menginsafi kesalahan yang pernah dilakukan, di samping mempererat hubungan silaturrahim dalam keluarga, jiran tetangga dan kawan-kawan. Memaafkan kesalahan orang lain adalah salah satu ciri orang yang bertaqwa.
  • Ia juga salah satu jalan untuk masuk ke dalam syurga.

Mengucapkan Ucapan yang Baik.

Disunatkan mengucapkan tahniah (ucapan selamat) dan ucapan yang baik ketika bertemu dengan sesiapa sahaja, bermula ketika masuk matahari (Maghrib) malam hari raya. Ia sangat baik, bahkan termasuk di dalam adab menyambut hari raya.

Oleh itu, antara ucapan yang boleh diucapkan pada hari raya ialah:

  1. تقبل الله منا ومنكم
    “Semoga Allah menerima amalan daripada kami dan daripada kamu.”
  2. عيد مبارك
    “Selamat hari raya yang diberkati (Allah).”
  3. من العائدين والفائزين
    “Semoga kita tergolong di kalangan orang yang kembali kepada Allah (bertaubat) dan orang yang berjaya.”
  4. كل عام وأنت بخير
    “Semoga setiap (atau sepanjang) tahun kamu selalu berada dalam kebaikan.”
  5. “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin”
    kerana semuanya termasuk di dalam ucapan yang baik dan mengandungi niat serta doa yang bagus.
    Boleh juga mengucapkan apa-apa ucapan yang baik selain daripada beberapa contoh di atas.

Bersedekah.

Banyakkan bersedekah pada hari yang mulia ini. Memberi duit kepada kanak-kanak juga dianggap sebagai sedekah jika memberinya dengan niat sedekah.

Menziarahi Kubur Orang Tua dan Kerabat.

(a) Sangat baik untuk menziarahi kubur kedua orang tua yang sangat berjasa kepada anak-anak mereka. Juga menziarahi kubur kaum kerabat yang pernah berjasa dalam kehidupan mereka.
Menziarahi kubur boleh mendatangkan keinsafan dengan mengingati kematian, di samping menambahkan amal ibadat sebagai persiapan menuju ke alam akhirat.

(b) Tidak mengapa (boleh) menziarahi kubur pada hari raya Aidil Fitri.

(i) Di dalam Fatawa al-Azhar (8/391) dinyatakan:
“Dari sini kita mengetahui bahawa ziarah orang ramai ke kubur selepas solat hari raya, jika untuk menjadi pelajaran dan mengingat orang yang telah mati, yang dahulu mereka bersamanya ketika hari-hari perayaan dan merasa bahagia dengan kehidupan mereka, serta memintakan rahmat (daripada Allah) untuk mereka dengan doa, maka hukumnya boleh selamanya.”

(ii) Al-Allamah al-Faqih Syaikh Athiyyah Saqr, mantan Ketua Majlis Fatwa al-Azhar ketika ditanya hukum menziarahi kubur selepas solat sunat hari raya menjawab (ringkasan jawapan beliau adalah seperti berikut) Lihat jawapan beliau dalam kitabnya, Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 6/646-647.

  • Hukum asal ziarah kubur adalah sunat kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.
  • Ziarah kubur tidak mempunyai waktu yang tertentu.
  • Jika dengan tujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah meninggal dunia yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah untuk mereka dengan berdoa, maka ia tidak mengapa (boleh).
  • Jika untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, maka ia dilarang.

(iii) Sebahagian ulama Salaf daripada tabi’in juga telah menziarahi kubur selepas solat sunat hari raya.
Sayyidina Atha’ bin As-Sa’ib berkata:
“Aku solat Subuh di masjid ini pada hari raya Aidil Fitri. Tiba-tiba (aku bertemu) Abu Abdur Rahman dan Abdullah bin Ma’qil. Selepas kami mendirikan solat, keduanya keluar dan aku juga keluar bersama mereka berdua menuju ke tanah perkuburan.” (Lihat Al-Mushannaf Ibn Abi Syaibah, 2/70.)

(c) Bacaan ketika menziarahi kubur

  • Para ulama’ menganjurkan untuk membaca Al-Qur’an seperti surah Yaasin ketika menziarahi kubur. Jika tidak berkesempatan, maka bacalah umpamanya 11 x surah Al-Ikhlas. Pahala membacanya diniatkan semoga Allah sampaikan kepada yang empunya kubur dan muslimin muslimat yang sudah meninggal dunia.
  • Mengikut sebahagian ulama’ lain, menziarahi kubur kaum kerabat terutama ibu bapa adalah sunat muakkad. Semakin bertambah pahalanya jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat atau hari raya41 dan dibaca surah Yaasin di sisinya42.
  • Mengikut sebahagian ulama’ yang lain pula, ziarah kubur afdhal dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Khamis.
  • Sunat menziarahinya serta berdoa dalam keadaan berdiri seperti mana yang telah dilakukan oleh Rasulullah
    ketika menziarahi Perkuburan Baqi’.
  • Disunatkan juga ketika menziarahi kubur membaca surah Yaasin. Sunat juga dibaca ayat-ayat Al-Quran yang lain seperti Al-Fatihah, ayat Kursi, surah At-Takatsur, Al-Ikhlas dan sebagainya.

(d) Tidak mengapa (boleh) berniat untuk menziarahi kubur setiap kali hari raya Aidil Fitri umpamanya kerana:

  • Tidak ada dalil yang melarang atau mengharamkan pengkhususan tersebut.
  • Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan tidak mengapa (boleh) mengkhususkan ziarah kubur pada hari dan waktu tertentu.
  • Sebahagian ulama’ mazhab Hanafi mengatakan sunat menziarahi kubur pada hari raya. (Lihat Al-Fatawa al-Hindiyyah, 6/350.)

Menziarahi Sanak Saudara serta Rakan Taulan Sesama Islam.

Ia adalah satu cara untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara sanak saudara, kaum kerabat, rakan taulan, sesama agama.

Oleh : Ustaz Muhadir bin Haji Joll

By |2020-05-23T20:55:56+00:00May 23rd, 2020|Ibadat|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia
Sidang Redaksi Darul Ulum Malaysia terdiri daripada beberapa orang sukarelawan yang meguruskan perjalanan laman sesawang DUM.
Go to Top