Home/Muzakarah Tafsir/Muqaddimah Muzakarah Tafsir Surah al-‘Alaq

Muqaddimah Muzakarah Tafsir Surah al-‘Alaq

Alhamdulillah dengan rahmat, taufiq dan hidayah daripada Allah subhanahu wa ta’ala, pada hari ini, 10 Jumada al-awwal 1443H selepas solat Subuh secara berjemaah di Masjid Nabawi, dapat dimulakan Muzakarah Tafsir kita yang akan dimulakan dengan muzakarah Surah al-‘Alaq.

Surah al-‘Alaq ini adalah surah yang pertama diturunkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Para ulama secara ijmak berpendapat bahawa surah ini adalah surah Makkiyyah iaitu surah yang diturunkan sebelum daripada hijrah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Dan secara jumhurnya iaitu sebilangan besar para ulama berpendapat bahawa surah ini adalah surah al-Quran yang pertama diturunkan iaitu berdasarkan pendapat Sayyidina Abu Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu dan Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.

Surah ini mengandungi 19 ayat. Surah ini diturunkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan Jibril alaihi as-salam di Jabal Nur, iaitu semasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertahannus dan mengasingkan diri beribadah di gua Hira.

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama mengenai surah atau ayat yang pertama turun dalam al-Quran.

Pendapat jumhur ialah surah al-‘Alaq. Iaitu 5 ayat yang pertama daripada surah al-‘Alaq ialah ayat-ayat yang pertama yang turun kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Pendapat yang lain mengatakan bahawa, ayat surah al-Muddassir adalah ayat yang pertama yang turun kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ

Ini adalah berdasarkan daripada riwayat Sayyidina Jabir radhiyallahu ‘anhu. Perkara ini dibincangkan secara terperinci di dalam permulaan tafsir surah al-Muddassir.

Pendapat yang lain mengatakan bahawa surah al-Fatihah adalah surah pertama yang turun dalam al-Quran berdasarkan pendapat Hadrat Abu Maisarah al-Hamdani rahmatullah alaihi.

Mengikut satu riwayat (قيل) daripada Sayyidina Ali radhiyallahu ‘anhu, ayat yang pertama turun dalam al-Quran ialah ayat 151 surah al-An’am iaitu,

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ (سورة الأنعام: 151) الأية

Pendapat yang sahih sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Qurtubi rahmatullah alaihi dalam tafsirnya ialah pendapat yang pertama iaitu pendapat jumhur para ulama.

InsyaAllah kita akan bincangkan wajh jama’ bagaimana untuk kita menyelaraskan pendapat-pendapat yang berbeza mengenai ayat yang pertama turun dalam al-Quran.

Oleh: Ustaz Abdfaqir Abdullah Marbuqi
10 Jumada al-Awwal
Masjid Nabawi

By |2021-12-20T07:26:38+00:00December 20th, 2021|Muzakarah Tafsir|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top