Home/Tulis dan Menang Syawal 1441/Satu Hati Satu Cinta

Satu Hati Satu Cinta

Langkah kaki dibawa perlahan. Menyelusuri jalan yang masih asing baginya. Matanya ralit memerhatikan keindahan bangunan dan alam sekitarnya. Tanggal 2 Mei 2017 mengubah satu lembar daripada lembaran hidupnya. Memulakan langkah sebagai seorang mahasiswa di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi(IPT) yang terletak di Terengganu. Berjauhan dengan keluarga buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mudah. Namun demi cita-cita dan amanah yang tergalas di bahu, digagahkan jua kaki melangkah.

“Amalina.” Dari jauh kelihatan sahabat baiknya, Nusaibah berlari-lari anak menuju ke arahnya. Sahabat barunya itu ditemui sewaktu Minggu Haluan Siswa dua minggu yang lepas. Tidak sukar untuk mereka menjadi rapat kerana mereka berasal dari negeri kelahiran yang sama iaitu Kelantan. Ditakdirkan pula mereka berdua mengambil jurusan yang sama di institut tersebut. Minat yang mendalam dalam bidang hafazan Al-Quran mendorong mereka mengambil kursus Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat.

“Jom ke masjid.” Amalina mengerling jam ditangannya. Sudah hampir jam satu tengahari.

“Jom, sempat lagi untuk qailulah ni.” Amalina dan Nusaibah beiringan menuju ke masjid. Masjid utama di institut tersebut cukup terkenal dan mesra pengunjung. Istimewanya masjid itu kerana membuka peluang kepada penduduk kampung yang berdekatan untuk turut serta menunaikan solat berjemaah lima waktu. Mereka tidak lagi perlu bersusah payah mencari masjid yang jauh untuk menunaikan solat terutamanya solat Jumaat.

Jauh di sudut hati Amalina dia sangat bersyukur dipertemukan dengan sahabat sebaik Nusaibah yang sering membantunya dan mengajak ke arah kebaikan. Dia yang pada awalnya liat untuk ke masjid kini sudah tidak culas lagi berkat bimbingan berterusan daripada sahabatnya itu.

*****

Setahun berlalu, dalam tidak sedar Amalina kini sudah berada di tahun kedua pengajiannya. Semakin hari semakin banyak perkara baru yang dipelajarinya. Juzuk Al-Quran yang dihafaznya turut bertambah. Semakin besarlah amanahnya untuk mengulang-ulang ayat-ayat Al-Quran yang dihafaznya atau istilah arabnya ‘murajaah’ Quran.

Akhir-akhir ini Amalina merasakan semangat yang berlainan dalam dirinya. Mungkin kerana dirinya kini berada di tangga teratas hafazan terbanyak dalam halaqah tasmiknya. Pagi ini dia akan memperdengarkan 2 maqra’ daripada juzuk yang ke 15 sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain masih lagi berhempas pulas menghabiskan juzuk ke 14. Seramai 14 orang ahli dalam halaqah tasmiknya di bawah bimbingan Ustazah Norhayati atau lebih mesra dipanggil Ustazah Yati.

Sudah menjadi lumrah dalam menghafaz Al-Quran, ada yang dipermudahkan urusan dalam menghafaz namun kurang pula murajaahnya. Ada juga yang lambat dalam menghafaz namun diberi kekuatan untuk istiqamah dalam memurajaahnya. Beruntunglah buat mereka yang istiqamah dalam mengulang hafazan Al-Quran mereka. Bertambah beruntung buat mereka yang beramal dengan isi kandungannya.

Langkah kaki di daki menaiki tangga menuju ke kelasnya yang terletak di tingkat ketiga. Tingkat yang khusus buat pelajar-pelajar yang mengambil kursus Diploma Tahfiz. Kelas mereka diletakkan agak berjauhan dengan kelas pelajar-pelajar yang mengambil kursus yang lain bagi mengelakkan sebarang gangguan. Jadual pembelajaran antara mereka juga agak berbeza dimana bagi kursus Diploma Tahfiz, dua jam pertama merupakan waktu bagi mereka untuk menghantar hafazan baru kepada ustazah tasmik mereka.

Amalina dan sahabat-sahabatnya menunggu ustazah tasmik mereka dengan penuh sabar. Masing-masing sibuk memantapkan hafazan yang bakal diperdengarkan sebentar lagi. Bergema suara mereka ke seluruh kelas. Untung saja hanya muslimat yang berada di dalam kelas tersebut kerana halaqah muslimin ditempatkan di masjid utama institut. Amalina bangkit mendekati sahabatnya, Nusaibah untuk melancarkan hafazannya.

Seketika kemudian datang Ustazah Norhayati, manis dan ayu memakai baju kurung berwarna ungu. Ketua halaqah mereka, As-Syifa membacakan doa memulakan pembelajaran serta doa sebelum mula menghafaz Al-Quran. Penuh yakin Amalina memulakan langkah menuju ke bahagian hadapan kelas. Dia duduk di atas kerusi di hadapan ustazahnya dengan penuh sopan. Senyum lebar menghiasi dua ulas bibirnya. Mengaburi mata ustazahnya walaupun di dalam hatinya sudah  bergetar hebat. Debaran yang sentiasa dirasakan oleh dia dan sahabat-sahabatnya sewaktu hendak menperdengarkan bacaan tasmik dihadapan ustazah mereka.

Penuh teliti Amalina memperdengar hafazannya. Satu muka. Dua muka. Tiga muka. Empat muka. Aduh. Hati Amalina sudah tidak keruan. Bacaannya yang tadinya lancar mulai tersekat-sekat. Dia meramas-ramas tangannya sendiri. Kipas yang terpasang sudah tidak mampu menyejukkan badannya yang berpeluh. Sudah hampir 15 minit dia berada dihadapan ustazahnya berbanding kebiasaan masa yang diambil hanyalah lima hingga sepuluh minit.

“Amalina, jumpa saya lepas kelas nanti.” Amalina hanya menundukkan kepalanya. Tangan ustazahnya itu dicium lembut. Dia cukup kenal watak ustazahnya itu sewaktu dalam halaqah tasmik. Tegas dan berdedikasi. Ustazah Yati cukup pantang jika hafazan anak didiknya tidak lancar sewaktu tasmik. Mata Amalina sudah berkaca-kaca. Sebak dirasakan di dalam dada. Bacaannya lancar sahaja sewaktu dia tasmik di hadapan Nusaibah sebelum itu. Apa yang tidak kena dengan dirinya ini?

Dia kembali duduk ditempatnya. Semangatnya yang tadi membara mulai pudar sedikit demi sedikit. Istighfar diulang berkali-kali. Waktu yang berlalu dirasakan lambat sekali. Jarang sekali dia memperdengarkan hafazan yang tidak lancar di hadapan ustazahnya demi menjaga kemuliaan Al-Quran dan thiqahnya sebagai seorang penghafaz Al-Quran. Tangan diletakkan didada. Allahku, beri aku petunjuk.

*****

Pintu bilik pensyarah ditolak perlahan. Dengan lafaz bismillah, Amalina melangkah mendekati meja Ustazah Norhayati. Muka tenang ustazahnya dipandang kasih. Menanti kalimah demi kalimah yang bakal dituturkan ustazahnya.

“Amalina, awak ada masalah?” Soalan pertama ustazah mengundang kebingungan. Serasanya kebelakangan ini dia baik-baik sahaja. Dengan keluarganya tiada masalah. Dengan sahabat-sahabatnya yang lain juga dia baik-baik sahaja apatah lagi dengan ustaz dan ustazahnya. Segala tugasan yang diberikan disiapkan dengan segera.

“Hmm. Tidak ada ustazah. Semuanya baik-baik sahaja.” Dahinya berkerut-kerut mencari kemungkinan masalah yang sedang dihadapinya.

“Tapi rekod tasmik awak kurang memberangsangkan. Sudah dua minggu hafazan yang awak hantar tidak lancar. Ya betul. Awak istiqamah tasmik tapi bacaan awak agak teruk. Ustazah sudah lama memerhatikan awak. Cuba jujur dengan ustazah. InshaAllah, ustazah sedia membantu.”

Amalina diam membisu. Masih memikirkan kemungkinan perkara yang menjejaskan prestasi hafazannya. Atau mungkinkah perkara yang satu itu? Bibirnya diketap rapat. Mana mungkin dia menceritakan perkara itu kepada ustazahnya. Terlalu peribadi baginya.

“Atau awak bercinta Amalina?” Amalina tersentak. Aduh. Kepalanya bagaikan diketuk tukul besi. Kelu lidahnya seribu bahasa. Bahang terasa ke seluruh wajahnya.

“Sebenarnya ustazah, saya tidak bercinta. Tapi saya memang ada berhubungan dengan seorang ajnabi. Salah seorang muslimin di sini juga.” Tidak mampu lagi dia menyimpan segala-galanya. Barangkali ustazahnya itu mempunyai kasyaf, bisa menebak hati seseorang.

“Berhubung? Atas urusan apa?” Serius bicara Ustazah Norhayati.

“Kami pernah berurusan kerana menguruskan satu program. Program tersebut telah selesai lima bulan lepas tapi kami masih berhubung sampai hari ini. Jujurnya saya senang dengan peribadi dan perwatakannya dia. Dia selalu memberi nasihat kepada saya.”

“Astaghfirullahala’zim. Inilah masalah awak yang sebenarnya tapi awak tidak menyedarinya. Masalah hati. Awak telah menduakan Al-Quran dalam hati awak. Dan paling penting awak telah menduakan Allah dalam hati awak. Awak sedar tak, Amalina?”

Amalina tersentak. Sungguh dia tidak menyedari hal tersebut. Sangkanya perkara tersebut hanyalah suatu perkara yang kecil. Berbalas mesej serta saling memberi nasihat dan semangat, sehingga dalam diam dia sudah jatuh hati dengan muslimin tersebut.

“Awak perasan ayat yang awak tasmik hari ini tentang apa?” Amalina menggeleng perlahan. Dia terlalu teruja untuk menghantar hafazannya hingga tidak menghiraukan maksud disebalik ayat yang dihafaznya.

“Wala taqrabuzina. Dan janganlah kamu mendekati zina. Ayat tentang zina. Ustazah bukan menuduh awak berzina tapi kalau perhatikan betul-betul maksud ayat ini, Allah berfirman janganlah kamu mendekati zina. Dekat saja pun tidak boleh apatah lagi berzina. Apa yang awak lakukan sekarang ini membuka jalan menuju zina, berhubung tanpa urusan. Mungkin awak rasa perkara ini kecil tapi ingat Allah Maha Pengasih. Dia takkan biarkan kalamNya diduakan dengan kemaksiatan. ”

Amalina sudah tidak mampu menahan air matanya daripada merembes keluar. Hanya Allah yang tahu perasaan dia ketika itu. Rasa bersalahnya menggunung tinggi di hadapan ustazahnya itu. Ustazah Norhayati menggenggam tangan Amalina, cuba menyalurkan kekuatan dari dirinya. Dengan berhati-hati dia menyambung bicaranya.

“Kita hanya punya satu hati dan dalam satu hati itu hanya boleh ada satu perkara dalam satu masa. Jika awak pilih untuk menjaga Al-Quran, maka tidak boleh ada perkara lain yang mendampinginya. Begitu juga sebaliknya jika awak memilih untuk mempertahankan sesuatu selain Al-Quran, maka awak akan kehilangan Al-Quran. Awak yang memilih untuk berada di jalan ini, ingat kembali kenapa awak berada di sini. Tajdid niat kenapa awak menghafaz Al-Quran dan paling penting amanah dan harapan ibu bapa awak untuk melihat kejayaan awak. Allah itu Maha Penyayang sebab itu Dia beri petunjuk melalui hafazan awak yang tidak lancar.” Amalina memeluk erat Ustazah Norhayati. Sungguh dia bersyukur dikurniakan ustazah yang prihatin dan memahami.

“Terima kasih ustazah kerana menegur saya. Saya tak sangka perkara ini boleh menjejaskan hafazan saya. InshaAllah saya akan ubah diri saya jadi lebih baik selepas ini.  Saya akan ingat nasihat ustazah sampai bila-bila. Maafkan saya juga ustazah. Terima kasih sekali lagi ustazah.” Amalina mencium tangan ustazahnya lama.

“Sama-sama Amalina. Bukan saya yang patut memaafkan awak tapi Dia. Nanti jangan lupa solat sunat taubat. Lepas ni kalau ada apa-apa masalah, datanglah jumpa ustazah. InshaAllah, ustazah sentiasa sedia membantu semua anak murid kesayangan ustazah.” Amalina mengundurkan diri.

Sekilas dia mengamit kembali saat perkenalan dia dengan ajnabi tersebut sewaktu sama-sama diamanahkan untuk menjadi fasilitator bagi satu kem kepimpinan. Tidak terniat dihatinya untuk terus berhubung namun aura jejaka tersebut cukup kuat baginya hingga dia akhirnya tewas dengan ketegasan dirinya sendiri. Astaghfirullahala’zim. Bagaimana mungkin si dia tidak terpikat jika sang mawar tidak tegas menghunuskan durinya. Bagaimana mungkin si dia menjadi soleh dambaan syurga jika sang mawar berterusan menyebarkan wangiannya.

Khilaf terasa seorang Amalina. Sememangnya dia merahsiakan perkara tersebut daripada semua orang termasuk sahabat karibnya, Nusaibah. Betapa Allah masih menyayanginya, menghantar teguran melalui Ustazah Norhayati. Bukan dia tidak sedar perubahan yang berlaku pada dirinya. Urusan hafazannya dipermudahkan namun setiap kali dia ingin memperdengarkan bacaannya, lidahnya kelu bagaikan di gam dengan gam gajah. Apa yang dibaca seperti tidak pernah  dihafaz, kabur dan kosong. Untuk murajaah Quran juga dirasakan berat dan malas sekali. Benarlah kata Ustazah Norhayati, tidak boleh ada dua perkara dalam satu hati.

Kata putus diberi untuk mengakhiri perhubungan yang tidak pasti dan sia-sia. Tekad dan nekad. Sudah terlalu banyak waktu yang dibazirkan sedangkan tanggungjawabnya masih banyak yang belum terlaksana. ‘First thing first’. Pesanan ayahanda yang hampir dilupakan disemat kembali. Al-Quran diambil, dicium dan dipeluk. ‘Maafkan aku kekasihku, menduakanmu dengan kemaksiatan.’

Nota:

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab:

مَّا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ

Ertinya: “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi lelaki, dua buah hati dalam rongganya…”

(Surah Al-Ahzab: 4)

والله اعلم

NAMA: NAJIHAH BINTI ABDUL FATAH

By |2020-06-16T05:43:25+00:00June 15th, 2020|Tulis dan Menang Syawal 1441|0 Comments

Penafian : Pihak Darul Ulum Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulis di dalam laman sesawang ini. Ia adalah hak milik penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Darul Ulum Malaysia.

About the Author:

Najihah binti Abdul Fatah
Go to Top