Home/Sejarah, Wanita/Sumayyah wanita pertama syahid dalam Islam

Sumayyah wanita pertama syahid dalam Islam

Sayyidatina Sumayyah binti Khayyat radhiyallahu anha (Bahasa Arab: سمية بنت خياطّ‎, meninggal dunia 615M) dikenali dalam tradisi Islam sebagai orang pertama dalam sejarah yang syahid kerana memeluk agama Islam di Mekah sebelum Hijrah.

Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha ialah isteri kepada Sayyidina Yasir bin Amir radhiyallahu anhu dan ibu kepada Sayyidina Ammar bin Yasir radhiyallahu anhu, kedua-duanya yang terkenal sebagai antara yang terawal memeluk Islam. Catatan ini ditulis oleh ulama sirah, Ibnu Ishaq (meninggal dunia 761M)

Menjelang tahun 615M, lima tahun selepas pengisytiharan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam, penganiayaan terhadap pengikut agama Islam mencapai fasa aktif apabila anggota masyarakat yang paling lemah, seperti hamba habsyi Bilal bin Rabah radhiyallahu anhu, telah mengalami penyeksaan dari penduduk tempatan.

Para pemimpin mengisytiharkan larangan perdagangan dengan orang Islam, melarang rakyat Mekah daripada menyediakan makanan dan ubat-ubatan kepada umat Islam. Ini diikuti dengan pembunuhan Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha oleh ketua suku Mekah iaitu Abu Jahal.

Nama Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha tidak disebutkan secara jelas dalam catatan Ibn Ishaq. Ia adalah potongan daripada rujukan kepada anaknya sebagai Ammar “ibn” Sumayyah, yang bermaksud Ammar “anak kepada” Sumayyah, dalam catatan Ibn Ishaq.

Sejarah keluarganya

Tiga orang bersaudara berangkat dari Yaman untuk pergi ke Mekah. Mereka mendengar tentang bandar ini dan ingin merasai budayanya dan menyertai pelbagai aktiviti sosialnya. Salah seorang daripadanya bernama Yasir dan dua lagi bernama Harith dan Malik. Dua saudaranya meninggalkan Mekah untuk pulang ke Yaman selepas beberapa lama, tetapi Yasir sangat menyukai untuk tinggal di sana sehingga dia memutuskan untuk menetap selama-lamanya di Mekah.

Mengikut kebiasaan pada masa itu dia mendapat perlindungan dan sokongan daripada Abu Huzaifah bin Abdullah Makhzumi dan menjadi temannya. Apabila mereka lebih mengenali antara satu sama lain, hubungan mereka bertambah rapat. Abu Huzaifah mempunyai seorang budak perempuan yang sangat cerdik dan bijak di rumahnya, Sumayyah. Selepas beberapa masa, Sumayyah berkahwin dengan Yasir.

Ia adalah perkahwinan yang bahagia dan tidak lama kemudian mereka mempunyai seorang anak lelaki yang mereka namakan Ammar. Abu Huzaifah adalah seorang yang sangat baik, penyayang dan pemurah, dan dia membebaskan keluarga Sumayyah dari perhambaannya namun dia terus mengekalkan hubungan baik dengan mereka dan sangat kerap membantu mereka juga. Yasir mempunyai dua lagi anak lelaki yang diberi nama Abdullah dan Harith. Kedua-duanya dibunuh sebelum kedatangan Islam.

Antara yang terawal memeluk Islam

Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha adalah antara tujuh orang yang pertama mendapat pencerahan Islam dan berbaiah kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam. Beliau adalah antara Sahabiah yang paling terkemuka. Daripada yang menerima Islam adalah tujuh orang yang terawal iaitu:

  1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu anhu
  2. Sayyidina Ali bin Abi Talib radhiyallahu anhu
  3. Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu anha
  4. Sayyidina Zaid bin Harithah radhiyallahu anhu
  5. Sayyidatina Sumayyah binti Khayyat radhiyallahu anha
  6. Sayyidina Ammar bin Yasir radhiyallahu anhu
  7. Sayyidina Bilal bin Abi Rabah radhiyallahu anhu

Penyeksaan kaum muslimin di Mekah

Orang Quraisy Makkah tidak dapat memudaratkan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam kerana kedudukan bapa saudaranya Abu Talib. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu anhu juga seorang yang sangat berkuasa kerana kekayaan sukunya dan pengaruh peribadinya sendiri. Tetapi umat Islam biasa, sama ada lelaki atau perempuan tidak terlepas daripada sebarang penyeksaan yang boleh dibayangkan.

Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha, suaminya Sayyidina Yasir radhiyallahu anhu dan anaknya Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu sering menjadi sasaran kekejaman kaum Quraisy. Pada suatu ketika sewaktu Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam melalui kawasan pasar, baginda melihat ketiga-tiga ahli keluarga itu mengalami penyeksaan yang paling teruk. Baginda hanya dapat menenangkan mereka dengan balasan Syurga yang menanti.

Sebagaimana suaminya Sayyidina Yasir radhiyallahu anhu dan puteranya Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu, beliau juga telah menanggung berbagai-bagai penderitaan dan kesusahan demi kerana Islam. Namun demikian, cintanya yang sejati terhadap Islam yang telah tertunjang dalam hati tidak mengalami kekurangan walaupun sedikit.

Kadang-kadang beliau dibaringkan di atas anak-anak batu di padang pasir di bawah kepanasan matahari pada waktu tengah hari. Kadang-kadang beliau dipakaikan baju besi dan dibiarkan berdiri di bawah pancaran matahari yang terik agar penderitaannya itu akan bertambah perit apabila baju besi itu kepanasan akibat pancaran cahaya matahari yang terik.

Sekiranya Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam lalu di sisi mereka Baginda sallallahu alaihi wa sallam akan berpesan kepada mereka supaya bersabar dan Baginda sallallahu alaihi wa sallam juga menyampaikan janji syurga kepada mereka.

Abu Jahal membunuh Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha

Abu Jahal menyeksa Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha dengan seksaan yang amat teruk, tetapi Sumayyah radhiyallahu anha tidak goyah walau sedetik pun dan tetap teguh seperti batu. Abu Jahal cuba menekannya, memujuknya dan mengancamnya untuk kembali kufur namun Sumayyah radhiyallahu anha terus-terang menolak. Sungguhpun beliau telah tua lagi lemah tetapi si bedebah itu tidak menghiraukan apa-apa pun.

Pada suatu ketika, semasa Sayyidatina Sumayyah radhiyallahu anha sedang berdiri, Abu Jahal telah lalu di sisinya. Abu Jahal telah memaki hamunnya dan kemudian dalam keadaan marah Abu Jahal telah melembing kemaluannya. Disebabkan kecederaan itulah beliau telah meninggal dunia.

Sumayyah binti Khayyat radhiyallahu anha mempunyai keistimewaan sebagai wanita pertama yang syahid dalam Islam. Peristiwa ini berlaku tujuh tahun sebelum Hijrah. Kemudian suaminya juga menjadi mangsa seksaan kaum Quraisy dan beliau pun meninggal dunia.

Sayyidina Ammar bin Yasir radhiyallahu anhu

Selepas kesyahidan kedua orang tuanya, Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu mendapat tempat yang istimewa di sisi Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam. Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam pernah memanggilnya dengan penuh kasih sayang sebagai Ibn Sumayyah. Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam sering menyebut keluarga Yasir dengan pujian yang paling tinggi.

Masjid yang pertama dibina dalam Islam juga ialah hasil usaha Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu. Semasa Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam berhijrah ke Madinah, Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu ingin membina tempat berteduh untuk Baginda sallallahu alaihi wa sallam agar Baginda sallallahu alaihi wa sallam boleh singgah, berehat pada waktu tengah hari dan boleh bersolah di bawah teduhan itu. Mulanya Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu telah mengumpulkan batu-bata dan kemudian beliau membina sebuah masjid di Quba.

Sayyidina Ammar radhiyallahu anhu juga telah menyertai peperangan dengan penuh semangat. Sekali beliau datang dan berkata dengan penuh keseronokan, “Sekarang aku akan pergi dan bertemu dengan kawan-kawanku. Aku akan berjumpa dengan Muhammad dan jemaah Baginda sallallahu alaihi wa sallam.”

Seketika kemudian beliau berasa dahaga dan meminta air daripada seseorang. Walau bagaimanapun, beliau telah diberi susu. Beliau telah meminum susu itu sambil berkata, “Saya telah dengar Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda, “Minuman kamu yang terakhir di dunia ialah susu.”

Selepas itu beliau telah syahid. Pada masa itu umur beliau ialah 94 tahun. Sesetengah riwayat menyatakan bahawa beliau meninggal dunia pada umur 93 tahun atau 93½ tahun.

Kesimpulan

Sepatutnya kita kagum dengan sifat sabar, tabah dan cekal yang ada pada seorang wanita. Rahsianya ialah apabila sesuatu perkara bertunjang ke dalam hati maka setiap sesuatu yang berkaitan dengan perkara itu akan menjadi mudah.

Sekarang ini pun masih boleh didengari tentang berpuluh-puluh kisah cinta yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk mati demi cintanya.

Walau bagaimanapun, sekiranya pengorbanan nyawa itu dilakukan di jalan Allah dan untuk agama Allah maka pengorbanan itu akan menjadi sebab kebahagiaan dan kemuliaan dalam kehidupan yang akan datang yang bermula selepas kematian.

Sekiranya pengorbanan itu dilakukan untuk tujuan keduniaan maka dunia sememangnya telah terkorban malah akhirat juga turut binasa.

By |2022-01-12T05:51:42+00:00January 12th, 2022|Sejarah, Wanita|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top