Home/Ibadat/Sunat Menghidupkan Malam Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha)

Sunat Menghidupkan Malam Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha)

Pendapat Imam Nawawi

Al-Hafizh al-Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya Al-Azkar:
“Ketahuilah bahawasanya mustahab (sunat) menghidupkan kedua malam dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan berzikir kepada Allah Ta’ala dan solat serta selain daripada keduanya daripada segala ketaatan kerana hadis yang warid tentang perkara itu iaitu (ertinya): “Sesiapa menghidupkan kedua malam dua hari raya, hatinya tidak akan mati pada hari hati-hati akan mati.” Dan diriwayatkan juga (ertinya): “Sesiapa mendirikan kedua malam dua hari raya (dengan solat dan amal ibadah lain) kerana Allah, dengan mengharapkan pembalasan daripada-Nya, hatinya tidak akan mati ketika hati-hati akan mati.”

Begitulah hadis dalam riwayat (Imam) Asy-Syafi’i dan (Imam) Ibnu Majah dan ia adalah hadis dhaif. Kami meriwayatkannya daripada riwayat (Sayyidina) Abu Umamah (al-Bahili) secara marfu’ dan mauquf dan kedua-duanya adalah dhaif, tetapi hadis-hadis tentang fadha’il (fadhilat-fadhilat amal) ditoleransikan padanya (maksudnya boleh beramal dengannya) seperti mana yang telah kami sebutkan tentangnya dahulu di awal kitab ini.”(Lihat Al-Azkar, ms. 265.)

Pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani

Al-Hafizh al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyebutkan di dalam kitabnya Al-Talkhish al-Habir (2/160):
“Diriwayatkan oleh Al-Khallal – di dalam kitab Fadhl Rajab (Kelebihan Bulan Rejab) yang ditulis olehnya – daripada jalan Khalid bin Ma’dan (seorang tabi’in) berkata, “Ada 5 malam dalam setahun yang sesiapa yang melazimi beramal padanya, mengharapkan pahalanya dan membenarkan janji-janji (Allah) padanya, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. (Malam-malam itu ialah) awal malam bulan Rejab, dengan berqiyamullail pada malamnya dan berpuasa pada siangnya, malam hari raya Aidil Fitri, malam hari raya Aidil Adha, malam Asyura’ dan malam Nisfu Sya’ban.”

Al-Khathib meriwayatkan dalam Ghunyah al-Multamis dengan sanad kepada Umar bin Abdul Aziz bahawa dia menulis (surat) kepada Adi bin Arthah, “Hendaklah kamu mengambil berat dengan 4 malam dalam setahun kerana sesungguhnya Allah mengurniakan rahmat padanya (iaitu): malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam hari raya Aidil Fitri dan malam hari raya Nahar (Aidil Adha).”

Sunat menghidupkan kedua malam hari raya menjadi kesepakatan (ittifaq) 4 mazhab.

Kadar mendapat fadilat menghidupkan kedua malam hari raya.

  • Imam Nawawi berkata:
    “Para ulama’ khilaf dalam kadar yang mendapat fadhilat menghidupkannya (malam hari raya). Pendapat yang Azhhar: Ia tidak didapatkan melainkan membangunkan kebanyakan malam. Qil (ada pendapat lain mengatakan): Ia didapatkan walapun dengan sekejap.”(Lihat Al-Azkar, ms. 265.)
  • Pendapat para ulama’ lain pula mengatakan, sekurang-kurangnya solat Isya’ berjemaah dan berazam untuk menunaikan solat Subuh pada pagi hari raya esoknya.
  • Sebahagian yang lain mengatakan, sekurang-kurangnya solat Isya’ dan solat Subuh berjemaah. (Lihat Al-Kunuz al-Hashinah fi al-Ad’iyah ats-Tsaminah, karangan Syaikhuna, Al-Faqih Sayyid Muhammad Amin bin Idrus al-Husaini, ms. 185.)

Apa yang dilakukan pada malam hari raya.

Selesaikan urusan zakat fitrah.

Selesaikan urusan zakat fitrah pada malam hari raya bagi yang belum membayarnya kerana dibimbangi amil zakat akan sibuk pagi esoknya walaupun waktu afdhal membayar zakat ialah sebelum didirikan solat sunat hari raya.

Mandi.

Setelah berbuka puasa, sangat elok mandi (biasa) dengan niat supaya badan menjadi segar dan menghilangkan rasa mengantuk untuk membangunkan malam hari raya dengan amal ibadah.

Hidupkan malam hari raya dengan amal ibadah.

Usahakanlah tidak tidur pada malam hari raya untuk mengisinya dengan amal ibadah dan supaya dijaga hati daripada mati daripada mengingati Allah. Antara amal ibadah yang boleh dilakukan untuk menghidupkannya termasuklah:

  1. Solat sunat qabliyyah dan ba’diyyah Maghrib.
  2. Solat Maghrib.
  3. Bertakbir.
    Selepas solat Maghrib, sunat bertakbir dengan suara yang nyaring bagi lelaki ketika berada di rumah, di masjid atau surau, di pasar, di jalan raya dan tempat-tempat lain. Waktu takbir mursal ini bermula daripada ghurub asy-syams (tenggelam matahari iaitu masuk solat Maghrib) sehingga imam mendirikan solat sunat Aidil Fitri esok harinya.
  4. Solat sunat Awwabin 6 rakaat.
  5. Solat sunat qabliyyah Isya’.
  6. Solat Isya’ berjemaah.
  7. Solat sunat 4 rakaat selepas solat Isya’.
    Jangan tinggalkan solat sunat 4 rakaat selepas (ba’diyyah) solat Isya’ kerana pahalanya seperti mengerjakannya pada malam Lailatul Qadar.
  8. Membaca Al-Qur’an.
  9. Berdoa.
    Imam Syafi’i berkata:
    “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: “Sesungguhnya doa diijabahkan pada 5 malam: malam Jumaat, malam hari raya Aidil Adha, malam hari raya Aidil Fitri, awal malam bulan Rejab dan malam Nisfu Sya’ban.”(Lihat Al-Umm, 1/264.)
  10. Berusahalah mengkhatamkan zikir-zikir tertentu.
  11. Membaca ratib.
  12. Mandi sunat hari raya
    Waktu sunat untuk mandi bermula selepas masuk tengah malam hari raya. Lebih afdhal mandi sunat hari raya ketika hendak menunaikan solat sunat hari raya esok harinya. Antara hikmahnya ialah badan terasa segar untuk meneruskan pengisian malam hari raya dengan pelbagai amal ibadah dan taqarrub kepada-Nya.Lafaz niat mandi sunat hari raya Aidil Fitri:
    َ”Sahaja aku mandi hari raya Aidil Fitri sunat kerana Allah Ta’ala.”
  13. Kerjakanlah solat-solat sunat: Tahajjud, Taubah, Tasbih, Hajat dan Witir.
  14. Banyak-banyakkan beristighfar, berselawat dan bermunajat serta semua kebaikan yang termampu.

Oleh : Ustaz Muhadir bin Haji Joll

By |2020-05-23T20:14:41+00:00May 23rd, 2020|Ibadat|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top