Home/Ibadat/Amalan Masyaikh Semasa Bulan Ramadhan

Amalan Masyaikh Semasa Bulan Ramadhan

Ramai hamba Allah subhanahu wa ta’ala yang masih ada kelapangan untuk menunaikan semua amalan tersebut pada masa-masa yang disebutkan tadi (isyraq, dhuha, awwabin (selepas maghrib) dan tahajjud).

Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri rahimahullah ta’ala

Saya telah melihat amalan guru saya Hadrat Maulana Khalil Ahmad rahimahullah ta’ala dalam beberapa bulan Ramaḍan. Walaupun sudah tua dan uzur, namun beliau masih lagi mampu  membaca al-Quran dalam solah atau memperdengarkan bacaannya kepada orang ramai sebanyak satu dan satu perempat (1¼) juz al-Quran selepas solah maghrib. Selepas itu, setelah menyempurnakan makan minum dan keperluan-keperluan lain yang mengambil masa lebih kurang setengah jam, beliau akan menghabiskan dua hingga dua satu perempat (2¼) jam untuk bersolah tarawih semasa tinggal di India dan selama tiga jam untuk solah ʿisyak dan tarawih semasa tinggal di Madinah.

Selepas itu, mengikut perubahan musim, setelah berehat selama dua hingga tiga jam, beliau akan membaca al-Quran di dalam solah tahajud dan setengah jam sebelum subuh beliau akan makan sahur. Selepas bersahur sehinggalah ke subuh, kadang-kadang beliau membaca al-Quran secara hafalan dan kadang-kadang beliau sibuk berwirid dan berzikir.

Dalam kekaburan fajar beliau akan menunaikan solah subuh dan terus duduk sehingga isyraq dalam keadaan muraqabah. Selepas isyraq beliau berehat selama lebih kurang satu jam. Setelah itu sehinggalah pukul dua belas, atau pukul satu tengah hari semasa musim panas beliau sibuk menulis kitab Bazl ul-Majhud ‘بذل المجهود’[1] dan memperhatikan surat-surat serta merencanakan jawabannya. Selepas itu beliau berehat sehingga ke zohor.

Dari zohor hinggalah ke ʿasar beliau mentilawah al-Quran. Dari ʿasar hingga ke maghrib beliau sibuk dengan bertasbih dan melayan para tetamunya. Setelah selesai penulisan kitab Bazl ul-Majhud, sebahagian daripada waktu paginya dihabiskan dengan membaca al-Quran dan sebahagian lagi untuk menelaah kitab. Biasanya kitab Bazl ul-Majhud dan Wafaʾ-ul-Wafaʾ ‘وفاء الوفاء’ yang menjadi tumpuan perhatiannya.

Pada bulan Ramaḍan pula tiada perubahan yang khusus dalam amalan-amalannya. Solah sunatnya itu adalah salah satu amalan yang berterusan dan beliau mengambil berat solah-solah tersebut sepanjang tahun. Cuma rakaat-rakaat solah sunat diperpanjangkan semasa bulan Ramaḍan. Selain itu terdapat ahlullah yang mempunyai amalan-amalan yang khusus untuk bulan Ramaḍan yang memang berat bagi setiap orang untuk mengikuti mereka.

Syaikh ul-Hind Maulana Mahmud ul-Hasan Ganggohi rahimahullah ta’ala

Syaikh ul-Hind Maulana Mahmud ul-Hasan Ganggohi rahimahullah ta’ala pula akan menyibukkan diri selepas sahaja solah tarawih sehingga ke subuh dengan solah sunat dan mendengar bacaan al-Quran daripada para hafiz.

Maulana Shah ʿAbd ul-Rahim Raipuri rahimahullah ta’ala

Sementara Hadrat Maulana Shah ʿAbd ul-Rahim Raipuri rahimahullah ta’ala pula sibuk dengan hanya membaca al-Quran sepanjang siang dan malam pada bulan Ramaḍan sehingga surat menyurat pun dihentikan dan beliau tidak begitu suka untuk ditemui. Cuma murid-muridnya yang khusus sahaja diizinkan untuk bertemu dengan beliau, itu pun ketika beliau minum secawan dua teh selepas solah tarawih.

Syaikhul Hadis, Maulana Zakariyya Kandhlawi rahimahullah

Kitab Fadhilat Ramadhan

[1] Kitab Bazl ul-Majhud adalah kitab yang ditulis dalam bahasa ʿArab, syarah yang lengkap kepada Sunan Abi Daud. Kitab ini telah dicetak di Mesir dalam 20 jilid.

By |2020-04-27T06:27:49+00:00April 23rd, 2020|Ibadat|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top