Home/Ibadat/Rajab dan Sya’ban

Rajab dan Sya’ban

Apabila melihat anak bulan Rajab, Rasulullah صلى الله عليه وسلم akan memulakan persiapan bulan Ramadhan.

Doa Pada Bulan Rajab

Sayyidina Anas Ibn Malik رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم akan berdoa dengan doa yang berikut apabila bermulanya bulan Rajab:

اَللّٰهُمَّ بَارِكْ لَناَ فِيْ رَجَبَ وَشَعْبانَ وَبَلّغْنَا رَمَضَانْ
Allahumma barik lana fi Rajaba wa Sha’bana wa balligh-na Ramadan“Ya Allah! Kurniakan keberkatan kepada kami pada bulan Rajab dan Sya’ban, and sampaikan kami kepada Ramadhan.”
(Syu’ab ul-Iman: 3534, Ibnu Sunni: 660, Mukhtasar Zawaid Bazzar: 662, sila lihat Al-Azkar: 549)

Hafiz Ibnu Rajab rahimahullah mengatakan bahawa riwayat ini mencukupi untuk membuktikan akan sunatnya membaca doa ini. Lataif: 172. Mengatakan bahawa doa ini tiada sandaran adalah suatu kenyataan yang ekstrim.

Bulan Haram (Bulan yang Dimuliakan)

Rajab ialah bulan yang kedua antara empat bulan Haram dalam Kalendar Islam yang dinyatakan sebagai,

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرٗا فِي كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٞۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُۚ … ٣٦
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus…,” (Taubah: 36)

Bulan yang lain ialah: Zul-Qa’dah, Zul-Hijjah dan Al-Muharram.

Dalam menerangkan kepentingan bulan-bulan ini, para ulama mengatakan bahawa kebaikan pada bulan-bulan ini diganjari dengan ganjaran yang besar dan keburukan yang dilakukan pada bulan ini sangat-sangat dibenci oleh Allah سبحانه وتعالى. (Lataif ul-Ma’arif: 163)

Seorang yang soleh telah jatuh sakit sebelum bulan Rajab. Dia telah berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى memberikan kesempatan untuknya hidup sehingga bulan Rajab kerana dia telah mendengar bahawa Allah سبحانه وتعالى membebaskan hamba-hambanya daripada azab pada bulan Rajab. Allah سبحانه وتعالى telah mengabulkan doanya. (Latif ul-Ma’arif: 173)

Sya’ban

Berkenaan bulan Sya’ban, hadis-hadis sahih telah menerangkan kepentingan malam 15 Sya’ban. (Risalah khusus berkenaan malam ini akan diterbitkan)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda,

يَطْلُعُ اللَّهُ إِلَى خَلْقِهِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Allah سبحانه وتعالى melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampuni mereka semua kecuali mereka yang menyekutukan-Nya dan mereka yang berhasad dengki dan melahirkan permusuhan.”
(Sahih Ibnu Hibban: 5665, At-Targhib: 3: 459, Majma’ uz-Zawaid: 8: 65 dan Lataaif ul-Ma’arif: 194)

Imam ‘Ataa Ibn Yasar رحمه الله – seorang tokoh tabi’in berkata, “Selepas Lailat ul-Qadr, tiada malam yang lebih baik daripada malam nisfu Sya’ban .” (Ibid: 197)

Doa Maqbul

Imam Syafi’i رحمه الله mengatakan, “Aku mendengar bahawa Allah سبحانه وتعالى mengabulkan permintaan hamba-Nya pada lima malam:
1) Malam Jumaat,
2) Malam Hari Raya ‘Idul Adha
3) Malam Hari Raya ‘Idul Fitri
4) Malam pertama bulan Rajab,
5) Malam Nisfu Sha’ban (15 Sya’ban),
(Lataif ul-Ma’arif: 196)

Bahkan, pengalaman manusia semasa zaman jahiliyyah (masa sebelum kedatangan Islam) juga menunjukkan bahawa Allah سبحانه وتعالى mengabulkan doa pada bulan Rajab. Imam Ibn Abi Dunya رحمه الله telah menyebutkan beberapa kisah dalam kitabnya: “Mujabu Da’wah”.(ibid)

Ibadat Khusus

Tiada solah yang khusus yang dinyatakan perlu dilakukan pada bulan Rajab atau pada malam Nisfu Sya’ban. Seseorang boleh melakukan apa sahaja jenis ibadah yang diingini pada malam ini. (Lataif ul-Ma’arif: 168, Islamic Months by Mufti Taqi Uthmani: 63 & 79)

Para Sahabah رضي الله عنهم dan para Tabi’in رحمهم الله akan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Rajab dan khususnya bulan Sya’ban sebagai persediaan menyambut Ramadhan. (Lataif ul-Ma’arif: 192)

Permulaan Musim Baharu

Anak bulan Rajab sebenarnya tanda satu ‘Musim Baharu’ iaitu musim harapan, rahmat dan keampunan untuk orang-orang yang beriman. Musim ini berakhir dengan kedatangan Hari Raya.

Shaykh Abu Bakr Balkhy رحمه الله mengatakan,
“Rajab ialah bulan kita menanam benih kebaikan, dengan memperbanyakkan ibadah. Kita mengairinya pada bulan Sya’ban dan menuainya pada bulan Ramadhan.” (Lataif: 173)

Ditulis oleh : Maulana Muhammad Abas Omar
Diterjemah oleh : Ustaz Abdullah Marbuqi

By |2020-03-13T03:01:48+00:00March 13th, 2020|Ibadat|0 Comments

Kongsi di dalam media sosial anda

Go to Top